Skip to main content
UMP E-Newsletter

MyGift

UMP cakna terhadap kebajikan pelajar dan komuniti

BIL. 17 FEB 2019

Sentiasa cakna terhadap menangani masalah dan isu pelajar berlapar, Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) dengan kerjasama Skuad MyGift Universiti Malaysia Pahang (UMP) melaksanakan Program Food for All dalam membantu pemberian makanan sarapan pagi dan makan tengah hari percuma untuk mahasiswa UMP yang memerlukan dan tidak berkemampuan pada setiap hari di kedua-dua masjid UMP di Gambang dan Pekan. 

Bukan itu sahaja, lebih menarik UMP juga menyediakan juadah makan malam pada setiap hari Khamis sebagai juadah berbuka puasa bagi pelajar yang menunaikan ibadah puasa sunat.  

BIL. 17 FEB 2019

Sebagai menyokong usaha universiti terhadap kebajikan pelajar, pelbagai inisiatif dijalankan di peringkat jabatan bukan sahaja di masjid, malahan pelajar juga boleh mendapatkan makanan percuma di fakulti dan jabatan lain sekitar kampus. 

Projek ini juga sebagai menyokong program MyGift UMP yang giat dijalankan UMP khususnya dalam membantu mahasiswa dan komuniti setempat.
 
Malah, Program Kongsi Rezeki turut dijalankan pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) dengan kerjasama kafeteria universiti dengan menyediakan pek makanan untuk diagihkan kepada para pelajar UMP di kedua-dua kampus UMP di Gambang dan Pekan khususnya bagi mereka mempunyai masalah kewangan yang kritikal dan layak untuk menerima manfaat ini. 

BIL. 17 FEB 2019

Begitu juga Inisiatif Sarapan Percuma daripada Perwakilan Kolej Kediaman (PEKA) dalam membantu mahasiswa yang mempunyai masalah kewangan pada waktu tertentu.
 
Manakala Projek Gerobok Rezeki #BPACare juga menyasarkan mahasiswa UMP yang kurang berkemampuan. Melalui projek ini, satu almari ditempatkan di Pejabat BPA Gambang dan Pekan bagi membolehkan mahasiswa mengambil apa sahaja barangan keperluan yang dikehendaki secara percuma.
 
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin, universiti berfungsi melahirkan tenaga profesional untuk pembangunan negara. 

“Oleh itu, pelajar di universiti perlu menumpukan pengajian dengan selesa dan bersesuaian. Hakikatnya terdapat pelajar yang kurang bernasib baik dalam meneruskan pengajian sama ada menghadapi masalah akademik atau kurang perbelanjaan.

BIL. 17 FEB 2019

“Bagi pelajar yang kurang berkemampuan sememangnya universiti bertanggungjawab bagi memastikan mereka terus menamatkan pengajian. Tanggungjawab sosial ini dalam menghadapi tekanan hidup, ia bukan lagi satu opsyen tetapi tindakan yang perlu dilakukan dan kebanyakan bantuan diterima dalam pelbagai dimensi dan keupayaan universiti.
 
“Universiti memberi bantuan dalam bentuk zakat, biasiswa, bantuan khas memulakan pengajian, kongsi rezeki, bantuan kebajikan untuk yuran atau kesihatan,” ujar beliau.

Jelas beliau lagi, di samping itu juga pelajar turut digalakkan berniaga dengan ruang perniagaan dan kotak-kotak perniagaan atau biz box. 

“Juga bagi yang kurang berkemampuan peluang bekerja sambil belajar diwujudkan bagi memberi peluang untuk mendapat pendapatan untuk perbelanjaan tanpa mengorbankan akademik mereka.
 
“Dalam pada itu, keutamaan belajar merupakan yang amat penting, justeru mereka perlu tahu membahagikan masa dan pandangan Kaunselor universiti perlu diperoleh bagi mengawasi prestasi akademik mereka. Selain dari memberi peluang perniagaan mereka juga dilatih dan diberikan pendedahan perniagaan agar urusan mereka tidak mengganggu sesi pembelajaran mereka.
 
“Sementara itu, penyelaras inisiatif Food for All, Siti Nazira Hazudin dari PIMPIN berkata, pihaknya menyediakan makanan seperti makanan seperti biskut, roti, keropok, buah-buahan dan air minuman di masjid hasil sumbangan orang ramai serta pihak NGO lain yang menyumbang sama ada berbentuk makanan atau tunai untuk dimanfaatkan pelajar,” katanya ditemui baru-baru ini semasa menyampaikan sumbangan insentif pendidikan khas untuk pelajar baharu yang mendaftar masuk ke UMP.

UMP mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak termasuk warga UMP, pelajar, alumni dan individu serta badan-badan korporat sama ada di dalam mahu pun luar negara dalam menyokong pembudayaan menderma demi memakmurkan ilmu pendidikan di universiti ini. 

Orang ramai boleh turut sama menyumbang melalui perbankan Internet dengan melayari portal MyGift di laman web universiti www.ump.edu.my untuk mendapat maklumat lanjut mengenai program ini.

FAKTA ENDOWMEN BIASISWA PELAJAR 

Penajaan Biasiswa Kepada Pelajar Miskin Cemerlang
UMP akan menawarkan biasiswa kepada pelajar miskin yang cemerlang bagi membantu mereka dalam pembelajaran di UMP dan di peringkat yang lebih tinggi. Penajaan ini meliputi yuran pendidikan, asrama dan sara diri mengikut program sepanjang pengajian.
 
Pemberian Insentif Pendidikan
Pemberian Insentif sebanyak RM1,000 kepada bakal mahasiswa yang mengalami masalah kewangan dan ingin melanjutkan pelajaran di UMP. Ia sedikit sebanyak membantu mereka dalam pembayaran yuran atau sara diri untuk pembelajaran di UMP.
 
Jenis Endowmen/Tabung MyGift UMP
1.    Endowmen Kursi
2.    Endowmen Biasiswa Pelajar
3.    Endowmen Makmal/Kemudahan
4.    Tabung Ramadan
5.    Tabung Masjid
6.    Tabung Bencana
7.    Tabung Wakaf
8.    Tabung Komuniti
9.    Tabung Sumbangan Prasarana


Penyelidikan dan Inovasi

Baja kompos dari sisa kilang kelapa sawit untuk tanaman

BIL. 17 FEB 2019

Umum telah mengetahui tanaman kelapa sawit merupakan tanaman pertanian terbesar di negara ini. 

Justeru, penggunaan kelapa sawit untuk menghasilkan minyak secara besar-besaran pasti meninggalkan sisa tandan kosong yang banyak. 

Malah, hanya 10 peratus sahaja minyak dapat dihasilkan, manakala 90 peratus lagi merupakan sisa pertanian yang dikenali sebagai biomas.

Sesetengah sisa tersebut dijadikan makanan haiwan siap diproses namun selebihnya akan dibuang begitu sahaja.

Menyedari situasi tersebut, memberikan cetusan  idea kepada penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP),  Dr. Nor Hanuni  Ramli@Said, 34, menjalankan kajian mengenai penghasilan baja organik daripada sisa kilang kelapa sawit.

BIL. 17 FEB 2019

Menurut Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli (FKKSA) ini, menerusi penyelidikan ini juga dapat mengatasi masalah pencemaran alam sekitar dan pengurusan sisa kilang banyak terdapat di kilang-kilang kelapa sawit di sekitar UMP dan seluruh negeri Pahang.

“Kompos yang terhasil adalah 100 peratus organik. Ia dihasilkan melalui Kaedah Pengomposan iaitu proses penguraian (pengoksidaan) sisa buangan organik kepada bahan akhir yang stabil serta boleh digunakan semula untuk tanaman.

“Aktiviti penguraian atau pengoksidaan bahan ini dipengaruhi unsur mikro organisma pengudaraan, kelembapan dan nutrien atau bahan dikompos yang bersesuaian,” katanya. 

“Selain itu, kompos yang terhasil memiliki keperluan asas nutrien yang diperlukan oleh tumbuhan, dan mempunyai water holding capacity yang tinggi,” katanya. 

Tambahnya lagi produk ini turut menerima geran daripada Lab2Market Grant UMP bagi tujuan menghasilkan produk ini bagi tujuan komersial.

“Kami telah memasarkan baja ini dalam dua jenis saiz iaitu yang bungkusan  berat 1 kilogram (RM10) dan bagi bungkusan 10 kilogram berharga RM50,” katanya yang pernah membawa produk ini mengikuti Pameran MAHA 2016.

“Kita dapat lihat kesedaran masyarakat Malaysia terhadap produk-produk organik terutamanya sumber makanan adalah masih rendah berbanding dengan negara lain seperti di United Kingdom, Amerika Syarikat dan Singapura.

“Di sana, sayur-sayuran dan buah–buahan organik dijual dengan harga sehingga tiga kali ganda lebih mahal berbanding harga sayuran dan buah–buahan yang ditanam yang tidak organik,” tambahnya lagi.

BIL. 17 FEB 2019

Jelas beliau lagi, penghasilan produk-produk berasaskan organik ini dapat memberikan pendedahan dan mendidik masyarakat untuk menghasilkan sayur-sayuran dan buah-buahan yang organik melalui penggunaan baja organik.

“Walaupun terdapat banyak produk kompos di pasaran tetapi tidak semuanya tulen. Ini kerana ada pengusaha yang menambah beberapa nutrien daripada sumber yang bukan organik ke dalam baja kompos mereka,” katanya.

Beliau berharap ia  dapat mendidik masyarakat tentang penggunaan bahan-bahan  berasaskan organik dalam kehidupan seharian di samping  menggalakkan masyarakat menanam sendiri sayuran-sayuran yang lebih sihat dan jimat serta meningkatkan ekonomi masyarakat.

 
Newsletter Image
BIL. 17 FEB 2019