Skip to main content
UMP E-Newsletter

MyGift

Yayasan Bank Rakyat sedia bantuan dalam sektor pendidikan

BIL. 22 MAC 2019

Hasil kajian pensyarah Universiti Malaysia Pahang (UMP) bertajuk ‘Competitive Analysis of Selected Successful Corporate Foundation in Malaysia’ mendapati Yayasan Bank Rakyat (YBR) merupakan yayasan terbaik di Malaysia dalam menyediakan bantuan pendidikan kepada pelbagai lapisan masyarakat sama ada kepada yang berpotensi tinggi mahupun kurang berkemampuan.  

Penyelidikan membabitkan empat yayasan korporat terpilih berdasarkan daya saing dan sumbangan mereka terhadap sumber manusia dalam pengurusan pendidikan ini. 

Kumpulan pensyarah dari Fakulti Pengurusan Industri (FIM) ini diketuai oleh Profesor Dato’ Dr. Ishak Ismail yang juga Penolong  Naib Canselor (Hal Ehwal Korporat & Kualiti) bersama empat yang lain termasuk Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim, Dekan Institut Pengajian Siswazah (IPS), Profesor Dato’ Dr. Hasnah Haron, Dekan FIM, Profesor Madya Dr Mohd. Ridzuan Darun dan Dr. Mohd. Hanafiah Ahmad.

BIL. 22 MAC 2019

Hadir menyampaikan pembentangan kajian, Profesor Dato’ Dr. Hasnah berkata, YBR adalah terbaik dari segi pendekatan inovatif mereka dalam penjimatan kos dan kecekapan program melalui kerjasama pintar. 

“Malahan YBR juga menggunakan pendekatan yang holistik dalam pendidikan dengan memenuhi kehendak semua lapisan masyarakat.

“Biasiswa tidak sahaja diberikan kepada pelajar cemerlang akademik tetapi  juga kepada mereka yang kurang berkemampuan, iaitu daripada keluarga B40 yang dilihat menerusi bakat  dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya bersempena Majlis Pelancaran Biasiswa  Bank Rakyat di Kuala Lumpur pada 12 Mac 2019 yang lalu.

Selain itu katanya, UMP telah mengenal pasti cabaran dan strategi yang berjaya diguna pakai oleh yayasan korporat ini untuk mengatasi cabaran yang akan menjadi amalan terbaik yang boleh dilaksanakan di yayasan korporat yang lain. 

“Dalam pada itu, dapatan kajian juga  boleh dijadikan bahan kes yang dapat membantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

“Dalam mengatasi kekangan sumber manusia, yayasan  dan organisasi boleh melaksanakan kerjasama pintar dengan pemegang taruh secara terus. 

BIL. 22 MAC 2019

“Begitu juga dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan, yayasan atau organisasi boleh memberikan pembelajaran pengalaman bekerja sebagai persediaan mengambil mereka bekerja setelah tamat pengajian,” katanya. 

Hadir merasmikan program, Pengerusi Bank Rakyat merangkap Pengerusi YBR, Datuk Noripah Kamso dan Pengurus Besar Bank Rakyat, Norashikin Shaharudin. 

Beliau mengumumkan pihak YBR kini menawarkan Biasiswa Bank Rakyat bagi membantu pelajar cemerlang melanjutkan pengajian ke peringkat asasi dan ijazah sarjana muda di Universiti Awam (UA) serta institusi pengajian tinggi swasta di dalam atau luar negara.

Ujarnya, setiap tahun YBR memperuntukkan 70 peratus daripada dana yang diterima daripada Bank Rakyat serta ahli untuk pembiayaan pendidikan serta insentif biasiswa kepada pelajar cemerlang. 

“YBR memperuntukkan RM2.25 juta untuk program biasiswa tahun ini dan ia adalah daripada peruntukan keseluruhan pembiayaan pendidikan berjumlah RM24.88 juta.

“Saya percaya, dengan peruntukan biasiswa itu dan program modal insan yang menyeluruh akan berupaya memacu kecemerlangan dalam kalangan pelajar berpotensi sekali gus menjayakan misi kerajaan ke arah menjana modal insan berkualiti dengan minda kelas pertama,” katanya. 

Sementara itu, permohonan biasiswa berkenaan terbuka kepada warga negara Malaysia berumur 18 hingga 30 tahun yang akan melanjutkan pengajian dalam bidang data sains, pengkomputeran, kejuruteraan, teknologi maklumat, pengurusan dan kemanusiaan. 

Pemohon yang ingin melanjutkan pengajian pada peringkat asasi atau matrikulasi perlu memperoleh sekurang-kurangnya lapan A dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2018. 

Bagi pemohon peringkat ijazah sarjana muda pula perlu memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.50 dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia, asasi, matrikulasi atau diploma. 

Mereka yang berminat, permohonan kini dibuka sehingga 28 Mac ini menerusi aplikasi telefon pintar MyBR serta laman sesawang, www.yayasanbankrakyat.com.my.


Akademik dan Antarabangsa

UMP dan MUJ anjur persidangan ICAMEN

BIL. 22 MAC 2019

Oleh: DR. SAIFUL ANWAR CHE GHANI DARI FAKULTI KEJURUTERAAN MEKANIKAL DAN PEMBUATAN

Penganjuran International Conference on Advanced in Mechanical Engineering and Nanotechnology (ICAMEN 2019) pada 9 Mac 2019 yang lalu merupakan hasil kerjasama baik pihak Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Manipal University Jaipur (MUJ) yang berlangsung di Jaipur, India.

Persidangan ini mendapat penyertaan yang memberangsangkan apabila lebih 200 kertas kajian diterima dari seluruh dunia. 

Persidangan dihadiri Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim yang menyampaikan ucap tama berkaitan strategi kecemerlangan UMP khususnya dan jaringan universiti teknikal (MTUN).

Bersama delegasi UMP yang hadir terdiri daripada Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Profesor Dr. Rizalman Mamat, Dr. Saiful Anwar Che Ghani dan Dr. Daing Mohamad Nafiz Daing Idris. Mewakili MUJ pula adalah Dr. Santosh Patil dari Jabatan Mekanikal.  

Menurut Profesor Dato’ Sri Dr. Daing, persidangan ICAMEN 2019 merupakan sebuah persidangan antarabangsa dianjur bersama di antara UMP dan MUJ hasil cetusan idea keperluan kedua-dua institusi untuk memanfaatkan pengiktirafan global.

BIL. 22 MAC 2019

“Pertemuan ini memberi peluang peserta persidangan berkongsi kepakaran dalam memperkasa bidang pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan. 

“Selain itu dapat meningkatkan visibility UMP di peringkat antarabangsa,” katanya.  

Dalam pada itu, Dekan Fakulti Kejuruteraan MUJ, Profesor Dr. Jagannath Korody berkata, pihaknya sedang giat merombak kurikulum akademik dengan memasukkan elemen Outcome Based Education (OBE) yang selari dengan pendidikan vokasional (TVET) yang sedang dilaksanakan di universiti ini.

Majlis menyaksikan acara perasmian ICAMEN 2019 dengan menyiram pokok hijau sebagai simbol kelestarian pendidikan dan kerjasama di antara kedua-dua institusi dari dua negara.  

Delegasi UMP turut berpeluang mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Presiden MUJ, Profesor Dr.  JK Prabhu yang mana pelbagai perbincangan termasuk bertukar pandangan tentang amalan terbaik (best practice) dan kerjasama yang akan dibuat membabitkan pihak UMP dan MUJ. 

Turut serta dalam pertemuan ini adalah Dekan Fakulti Sains MUJ, Profesor Dr. Anoop Kumar Mukhopadhyay.  


Artikel/Rencana Pilihan

Dimensi Baharu Teknousahawan

BIL. 22 MAC 2019

Oleh: DR MOHAMAD ROZI HASSAN
e-Mel: rozi@ump.edu.my

Di Malaysia, kerajaan sangat menitikberatkan untuk membangunkan usahawan lebih-Iebih lagi dalam kalangan belia, kerana mereka merupakan golongan yang bertenaga dan berpotensi. Umumnya, belia hari ini memiliki ilmu dan pelbagai bidang kemahiran serta pengetahuan. Pengetahuan serta kemahiran yang dimiliki oleh belia masa kini akan memendekkan masa serta proses untuk mereka mudah menjadi usahawan. 

Penglibatan belia dalam bidang keusahawanan boleh ditaksirkan sebagai bukti yang mana pihak kerajaan sentiasa menyediakan pelbagai peluang dan kemudahan bagi usahawan muda dengan tujuan untuk memantapkan lagi kemahiran dalam bidang ini. Bukan itu sahaja, dana dan tabung pinjaman juga diwujudkan untuk menggalakkan penglibatan belia dalam bidang ini. 

Intipati Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) juga memberi tumpuan untuk membangunkan usahawan, khususnya kepada golongan belia ke arah meningkatkan daya saing untuk menjadi usahawan yang kompetetif diperingkat nasional dan antarabangsa.
Secara umumnya, keusahawanan sebagai proses mencipta sesuatu yang baharu dengan nilai-nilai yang tertentu, dengan menumpukan pada masa dan keupayaan, dan ia perlu seiring dengan faktor kewangan, risiko sosial dan menerima ganjaran dalam bentuk wang, kepuasan peribadi dan dilakukan secara berdikari 

Asas keusahawanan boleh juga merujuk kepada pengaplikasian proses inovasi dan penerimaan terhadap suatu fungsi menanggung risiko, berorientasikan perubahan terhadap kedua-dua aspek sosial dan ekonomi. Ringkasnya, hasil daripada inovasi tersebut akan memberikan kesan yang positif. 

Penjelasan di atas membolehkan kita mendefinisikan keusahawanan sebagai satu bidang kerjaya yang amat digalakkan oleh pihak kerajaan di mana usahawan mengendalikan urusan perniagaan untuk keuntungan sebagai sumber pendapatan diri dan keluarga dan seterusnya memperoleh kejayaan dalam dunia keusahawanan. Impaknya juga kepada pertumbuhan ekonomi negara dan peningkatan sosio kehidupan masyarakat.

Negara bukan sahaja perlu mewujudkan masyarakat Malaysia yang menjadi pengguna teknologi, tetapi juga sebagai penyumbang kepada perkembangan pengetahuan saintifik dan teknologi pada masa depan. Saranan ini membuktikan kepentingan dan mewujudkan masyarakat berbudaya keusahawanan yang mampu mengatasi cabaran-cabaran yang mendatang dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0. Maka, sinergi antara teknologi dan usahawan perlu didefinisikan sebagai agenda penting sebagai wadah model pembangunan usahawan negara melalui pemerkasaan teknousahawan.

Teknousahawan adalah bidang keusahawanan yang mengaplikasi dan menggunakan kepakaran teknologi dalam pengeluaran produk, perkhidmatan, pengurusan perniagaan dan membuat keputusan berkaitan perniagaan. Model teknousahawan adalah merupakan model untuk memperkasakan kapasiti dan kapabiliti usahawan sedia ada kepada usahawan yang berskala perusahaan kecil, sederhana (PKS) dan besar (Large Company) mengikut kluster masing‐masing yang dilaksanakan melalui kerjasama Rakan Pintar Teknologi yang merangkumi pihak Institusi Pendidikan Tinggi, Institusi Latihan Kemahiran, Agensi & Badan Kerajaan Penyedia Teknologi atau Sektor Swasta yang mempunyai kepakaran berasaskan penyelidikan dan teknologi strategik. 

Model teknousahawan bermatlamat adalah ke arah peningkatan dan pengukuhan teknousahawan sebagai peneraju atau pemain industri yang mampu menjadi penyumbang utama kepada Keluaran Domestik Kasar (GDP), kewujudan industri-industri baharu dan penyedia peluang-peluang pekerjaan baharu negara oleh PKS. Pemilihan strategi utama model teknousahawan ialah adalah faktor kritikal dalam kejayaan mencapai matlamat gagasan ini menerusi usaha-usaha mempertingkatkan kapasiti dan kapabiliti usahawan melalui pendekatan akademik, teknologi, teknikal, generik dan keusahawanan. 

Di samping itu, strategi merangkaikan teknousahawan dengan industri melalui pemadanan perniagaan, penyesuaian teknologi dan kerjasama strategik dengan peneraju industri. Model ini perlu disokong dengan skim bantuan dan kemudahan seperti Pembiayaan Perniagaan, Penyewaan Infrastruktur Perniagaan, Skim Sokongan Berpakej Industri & Perniagaan, Runding Cara Perniagaan, Khidmat Nasihat Kewangan, Pelan Strategik Perniagaan dan Pembangunan Pemasaran. 

Pelaksanaan model teknousahawan bermula daripada peringkat pembudayaan melalui seminar‐seminar kesedaran (awareness) kepada kumpulan sasar iaitu pelajar-pelajar sekolah, mahasiswa Institusi Pendidikan Tinggi, pelatih Institusi Latihan Kemahiran, dan usahawan baharu dan sedia ada yang berminat dalam mengaplikasikan penggunaan teknologi untuk meningkatkan taraf perniagaan mereka. Seminar berkaitan biasanya diadakan mengikut zon, negeri dan daerah secara berkala dengan kerjasama dengan rakan pintar teknologi. 

Usaha dan strategi ini memberi penekanan kepada pewujudan dan pembangunan teknousahawan melalui bimbingan teknologi berbentuk praktikal dan teori, perundingan teknikal, reka bentuk dan pembangunan produk, kemudahan dan sokongan penyelidikan, ruang inkubator teknologi, sangkutan (attachment), runding cara perniagaan, promosi dan pemasaran dan latihan keusahawanan. 

Kesimpulannya satu pendekatan yang lebih komprehensif perlu dirangka bagi membantu dan memantau aktiviti keusahawanan dalam kalangan usahawan belia, mahasiswa dan usahawan baharu. Berdasarkan trend analisis, didapati bahawa penglibatan golongan ini dalam bidang perniagaan adalah tinggi. Namun ianya hanya terbatas kepada perniagaan secara kecil-kecilan. Mereka menceburi bidang perniagaan semata-mata kerana ingin mendapatkan pendapatan untuk menyara kehidupan ataupun sebagai pendapatan sampingan untuk meningkatkan taraf hidup. Persepsi ini wajar diberi nafas baharu melalui pendekatan teknologi dan kemahiran yang memberi pulangan lebih besar dan berimpak tinggi.

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang. Rencana ini telah disiarkan dalam akhbar Kosmo pada 9 Mac 2019. 

 
 
Newsletter Image
BIL. 22 MAC 2019