MyGift Agrobank sumbang inisiatif wang saku buat 35 mahasiswa UMP terpilihSeramai 35 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima sumbangan termasuk Inisiatif Wang Saku yang diperkenalkan MyGift UMP bernilai RM17,500 hasil sumbangan zakat pihak Agrobank dalam usaha meringankan beban masyarakat yang memerlukan terutama dalam kalangan mahasiswa UMP yang memerlukan. Lebih bertuah mereka turut menerima sumbangan takaful bernilai RM385,000 sebagai manfaaat Pelan Perlindungan Kemalangan Diri dan Khairat Kematian yang diserahkan khusus buat mahasiswa daripada keluarga B40. Sumbangan telah disampaikan oleh Pengarah Agrobank Wilayah Negeri Pahang, Safaruddin Samsuddin kepada Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri. Dr. Daing Nasir Ibrahim bertempat di Dewan Bankuet, Canseleri Tun Abdul Razak, UMP Kampus Pekan pada 29 April 2019 yang lalu. Profesor Dato’ Sri. Dr. Daing Nasir melahirkan ucapan terima kasih atas inisiatif dan jalinan kerjasama ini bagi sama-sama membantu golongan pelajar yang memerlukan bantuan. “Semoga hasil sumbangan ini dapat menampung perbelanjaan dan meringankan beban pelajar ini sepanjang pengajian di UMP. “Pihak pengurusan UMP sentiasa komited untuk memasyarakatkan UMP melalui medium kepakaran teknologi dan gerak kerja kesukarelawanan. “Justeru, bagi menjayakaan agenda Universiti-Komuniti dalam kerangka perlaksanaan Pelan Strategik UMP 2016-2020, UMP sentiasa menyambut baik sebarang hasrat jabatan atau agensi yang ingin berkolaborasi dalam pelbagai bentuk faedah umum,” katanya. UMP turut mengharapkan sokongan dalam meningkatkan amal jariah menerusi wakaf pendidikan dan endowmen melalui dana MyGift UMP. Projek lain yang dilaksanakan bagi menyokong usaha ini termasuklah Food For All, Gerobok Rezeki #BPACare, UMP Campus Pantry dan MyCafe-Komuniti. Pada masa yang sama, Profesor Dato' Sri Dr. Daing Nasir turut menyerahkan sumbangan orang ramai menerusi Tabung MyGift UMP sebanyak RM140,000 kepada Pusat Islam & Pembangunan Insan (PIMPIN) bagi tujuan penyediaan Iftar kepada mahasiswa UMP sepanjang bulan Ramadan nanti. Hadir sama dalam majlis, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dan Pengarah PIMPIN, Dr. Mahyuddin Ismail. UMP juga bakal menganjurkan Festival Ramadan yang antaranya Pertandingan Video Pendek Tazkirah Ramadan, Solat Terawih Bersama Imam Jemputan, Iftar Jamaie dan Memasak Bubur Lambuk di RTC Kuala Pahang dan Masjid UMP Kampus Gambang. Bakal berlangsung juga kolaborasi strategik bersama Etiqa dan Isuzu dalam Program Indahnya Ramadan serta lain-lain program menyantuni anak yatim dan asnaf. Info Sekitar Kampus UMP santuni media dalam boling persahabatanUniversiti Malaysia Pahang (UMP) terus menyantuni pihak media menerusi penganjuran Program Boling Persahabatan UMP-Media 2019 yang berlangsung di pusat beli-belah Megamall Kuantan pada 2 Mei 2019 yang lalu dengan menyaksikan lebih 100 peserta terdiri daripada pengamal media dan pengurusan universiti bersama agensi luar mengambil bahagian dalam acara Boling yang masuk ke-7 tahun penganjuran. Acara tahunan ini dirasmikan oleh Naib Canselor UMP, Profesor Dato' Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim yang turut dihadiri Presiden Kelab Media Pahang, Dato’ Nik Naizi Husin dan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Pahang, Dato' Abdul Wahab Mohamad Ali. Hadir sama Pro-Pendaftar, Abd. Rahman Haji Safie dan Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Profesor Dato’ Dr. Zularisam Ab. Wahid. Menurut Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim, acara ini bertujuan menghargai sumbangan media dalam menghebahkan maklumat kepada orang ramai selain mewujudkan jaringan komunikasi secara berterusan bersama pihak UMP. “Ia juga sebagai platform untuk merapatkan hubungan menerusi aktiviti riadah di samping memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan peserta. “Program ini juga sebahagian daripada inisiatif UMP untuk mendekati golongan media yang selama ini berusaha keras menyalurkan berita terkini kepada semua pihak. “UMP berterima kasih kepada media kerana pembabitan mereka menyampaikan maklumat berjaya sampai kepada masyarakat. Saya harap program seperti ini dapat memperkukuhkan hubungan kerja bersama media pada masa akan datang,” katanya yang turut mengucapkan Selamat Hari Pekerja yang disambut para 1 Mei baru-baru ini. Tambah beliau lagi, dengan publisiti dan liputan meluas yang telah diberikan oleh pihak media selama tempoh tersebut, masyarakat awam kini telah mengenali UMP sebagai sebuah universiti teknologi lima bintang dalam melahirkan jurutera dan teknologis yang berdaya saing. “UMP sangat berbesar hati mendapat kerjasama yang tidak berbelah bagi daripada pihak agensi media,” ujar beliau. Beliau turut berkongsi perkembangan Program MyGift UMP yang mendapat sokongan pihak luar dalam mengumpul endowmen dan tabungan sebagai usaha yang membolehkan aktiviti keilmuan berkembang dengan pesat serta menyuburkan budaya cintakan ilmu pengetahuan. Menjelang Ramadan ini juga, Pusat Islam & Pembangunan Insan (PIMPIN) bakal menganjurkan Festival Ramadan yang antaranya Pertandingan Video Pendek Tazkirah Ramadan, Solat Terawikh Bersama Imam Jemputan, Iftar Jamaie dan Memasak Bubur Lambuk di RTC Kuala Pahang dan Masjid UMP Gambang. Bakal berlangsung juga kolaborasi strategik bersama Etiqa dan Isuzu dalam Program Indahnya Ramadan dan banyak lagi. Acara pada kali ini mempertaruhkan pasukan terbaik dan hadiah individu lelaki dan individu wanita. Lebih 10 agensi media hadir memeriahkan program boling pada kali ini termasuklah Ketua Biro Bernama Pahang, Nor Shamsiah Mohamed, Mohana Zalani Md. Atan (Astro), Mohd. Jasmi Faisal Muda (RTM), Mohd. Shariza Abdullah (Utusan) dan wakil agensi media yang lain. Info Sekitar Kampus Lebih 100 koleksi buku milik Allahyarham Prof. Dato’ Dr. Ishak Ismail disimpan di Perpustakaan UMPWarga Universiti Malaysia Pahang (UMP) terutamanya mahasiswa Fakulti Pengurusan Industri (FIM) berpeluang mendapatkan buku, jurnal dan naskhah yang boleh dirujuk bagi tujuan pembelajaran apabila terdapat lebih 100 buah buku koleksi milik allahyarham Profesor Dato’ Dr. Ishak Ismail kini disimpan sebagai bahan rujukan di Perpustakaan UMP Pekan dan Gambang pada 25 April 2019 yang lalu. Turut hadir Ketua Pegawai Operasi merangkap Pendaftar UMP, Profesor Madya Dr. Mohd Ridzuan Darun dan Pro-Pendaftar, Abd. Rahman Haji Safie. “Buku itu juga adalah penulisan daripada kajian Allahyarham, antaranya adalah 'Keberkesanan Sistem Parole Jabatan Penjara', ‘Corporate Integrity System' di sebuah agensi kerajaan, Kajian Perniagaan Kecil Di Jepun, Kajian ‘Anti-Bribery Management System’, kajian prestasi yayasan korporat terpilih dan faktor yang mempengaruhi pembayaran balik penerima pinjaman pengajian YP,” ujar beliau. Manakala bagi Dzull Zabarrod pula, pihaknya amat menghargai sumbangan buku dan bahan penerbitan sebagai rujukan. “Kami amat menghargai jasa Allahyarham yang banyak menyumbang buku di perpustakaan universiti sejak beberapa tahun lalu,” katanya. Info Sekitar Kampus Hari keluarga UMP satukan warga, rapatkan hubunganPenganjuran Hari Keluarga Universiti Malaysia Pahang (UMP) 1 Family bertemakan kebahagiaan, kasih sayang dan saling hormati-menghomati disambut meriah dengan kehadiran lebih 1,000 orang termasuk staf bersama keluarga masing-masing dalam acara yang berlangsung di padang Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang pada 27 April 2019 yang lalu. Acara bemula dengan pendaftaran peserta mengikut kumpulan rumah merah, kuning, biru, hijau, dan putih dan diikuti dengan program senamrobik beramai-ramai. Hadir memeriahkan sambutan, Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim bersama isteri, Datin Sri Fazia Ali. Turut hadir sama Pro-Pendaftar, Abd. Rahman Haji Safie. “Selain beriadah, aktiviti ini juga dapat mengeratkan hubungan baik, mengenali antara satu sama lain dan salah satu cara untuk menjaga kebajikan warga universiti. “Program seperti ini juga memberi peluang staf saling mengenali dan merapatkan ukhwah dan kebersamaan,” katanya. “Kami juga sangat berbangga dengan komitmen jawatankuasa dan sukarelawan dalam merancang pelbagai aktiviti menarik buat staf yang hadir bersama keluarga,” ujarnya. Akademik dan Antarabangsa Karnival Pemantapan Bahasa Melayu manfaat mahasiswa antarabangsaOleh: JUWAIRIAH OSMAN, PUSAT BAHASA MODEN & SAINS KEMANUSIAAN Penganjuran Karnival Pemantapan Bahasa Melayu dan Khidmat Komuniti bersama seramai 444 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bera pada 23 April 2019 yang lalu berjaya memanfaatkan program silang budaya dan komunikasi antara bahasa dan budaya Melayu dengan budaya antarabangsa. Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa dan Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan (PBMSK), Universiti Malaysia Pahang (UMP) ini melibatkan seramai 35 mahasiswa antarabangsa dari negara Yaman, Egypt, Iraq, Syria, Libya, dan Sudan. Menurut Pengarah Program, Juwairiah Osman dari Jabatan Bahasa Asing, PBMSK, program ini melibatkan mahasiswa antarabangsa dari UMP Kampus Gambang bagi semester ini yang mengambil kursus UHF1161:Malay For Beginners dan UHF2161:Malay For Intermediate. “Aktiviti lain yang diadakan ialah slot teknik menjawab soalan kertas bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), slot motivasi, ceramah hala tuju selepas SPM, pameran reruai ‘Jom Masuk UMP’, pameran inovasi bahasa Melayu antarabangsa, pameran budaya Yaman, Egpyt, Syria, Sudan, Somalia, dan China. “Program ini amat memberi kesan dan impak pada minat dan penguasaan bahasa Melayu serta mengeratkan jalinan kerjasama UMP bersama komuniti khususnya di sekolah. “Selain itu, jawatankuasa karnival yang terlibat juga merupakan para guru bahasa dari Jabatan Bahasa Asing manakala para fasilitator terdiri daripada mahasiswa yang mengambil subjek ‘Soft Skills 1’ dan Kelab Orator UMP,” katanya. Sementara itu, mahasiswa UMP, Ahmed Adel Shahnan dari Yaman yang menuntut di Fakulti Sistem Komputer & Kejuruteraan Perisian (FSKKP) berkata, beliau gembira dan berasa seronok kerana berpeluang mengenali sistem persekolahan di Malaysia, malah teruja dapat berinteraksi dengan adik-adik di sekolah ini. Manakala Ammar Abdullah Manea Alkhawlani yang juga dari Yaman kini menuntut di Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam (FKASA) berkata, beliau kini boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu. “Biasanya saya berkomunikasi dengan kawan-kawan bangsa Melayu, Cina dan India di kampus. “Kami bertuah apabila mendapat peluang keemasan untuk bertemu dengan pelajar sekolah dan guru pastinya pengalaman ini menyeronokkan,” ujar beliau. Mahasiswa juga berpeluang menimba pengalaman mempelajari bahasa Melayu di UMP, berkongsi pengalaman baharu, bercerita tentang keistimewaan negara Malaysia, negeri Pahang, universiti dan keseronokan berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Dalam meningkatkan pemahaman mahasiswa antarabangsa, pelbagai program telah dijalankan oleh UMP termasuklah Program Seronoknya Berbicara Bahasa Melayu melalui drama, puisi dan ucapan. Selain itu, program Drama Muzikal Bahasa Melayu, pengucapan awam dalam bentuk pidato turut diadakan oleh mahasiswa antarabangsa. Mahasiswa juga berpeluang mengambil bahagian dalam Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri setiap tahun sejak 2006. Penyelidikan dan Inovasi UMP TRIZ hasilkan 300 projek inovasi tingkat bakat mahasiswa dalam kemahiran insaniahPenganjuran UMP Triz Innovation Exposition 4.0 anjuran Jabatan Kemahiran Insaniah, Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan (PBMSK) menyaksikan lebih 300 projek inovasi dihasilkan membabitkan 1,200 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) dipamerkan dalam pertandingan yang berlangsung di Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang pada 4 Mei 2019 yang lalu. Dengan bertemakan membantu orang kurang upaya, mahasiswa dinilai daripada aspek kemahiran insaniah (soft skills) dalam menangani setiap permasalahan berkaitan kejuruteraan dan teknologi yang dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff. Hadir sama Naib Presiden TRIZ, Tan Eng Hoo, Pengarah Institute of Social Information and Technological Innovations, Universiti Malaysia Sarawak (UMS), Narayanan Kulathuramaiyer, Dekan Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan (PBMSK), Profesor Madya Dr. Muhammad Nubli Abdul Wahab dan Pengarah Pusat Keusahawanan UMP, Abdul Syukor Abd. Razak. Menurut Profesor Ir. Dr. Wan Azhar, pertandingan ini memperkenalkan kaedah penyelesaian secara inventif kepada mahasiswa dan masyarakat yang juga merupakan platform kepada mahasiswa untuk berinovasi dan mempamerkan kemampuan dimiliki yang mungkin dapat dikomersialkan. “Semoga pertandingan TRIZ yang diadakan ini juga dapat menghasilkan lebih banyak inovasi atau produk yang dapat diketengahkan untuk pasaran tempatan dan antarabangsa,” ujar beliau. Manakala menurut pensyarah PBMSK merangkap Pengarah Program, Imadduddin Abidin, pertandingan inovasi ini adalah kemuncak kepada sesi pengajaran dan pembelajaran Subjek UHS2021 Soft Skill II, iaitu yang berasaskan inovasi menyelesaikan masalah secara inventif. “Banyak teknik dan metodologi dalam penyelesaian masalah, dan salah satunya ialah dengan cara TRIZ iaitu Teori Penyelesaian Masalah Inventif yang dibangunkan di antara tahun 1960 hingga 1980 oleh Saintis Rusia iaitu Genrich Altshutler. “Inovasi teknologi TRIZ mempunyai banyak kebaikan antaranya meningkatkan pemasaran dalam menghasilkan produk yang kreatif, meningkatkan dengan cepat dalam pencarian penyelesaian yang inventif dan inovatif. TRIZ juga secara saintifiknya merupakan satu pendekatan yang diasaskan kepada ramalan revolusi sistem teknologi, produk dan proses,” katanya. Selain itu, sistem konvensional dan moden terhadap kajian pasaran lebih berkesan dibantu dengan TRIZ dalam analisis keperluan pasaran untuk masa hadapan. TRIZ adalah kaedah penyelesaian masalah secara inventif terkini yang menitikberatkan penyelesaian masalah secara sistematik, berstruktur dan menekankan aspek lebih baik (better), murah (cheaper) dan lebih cepat (faster). Pertandingan musim keempat ini menyaksikan projek ‘Express Pump’ ciptaan Isma Aida Akhma Ismail memenangi Anugerah Kualiti Terbaik. Beliau bersama mahasiswa lain iaitu Hannani Hasan, Muhammad Faiz Rosli dan Sultan Omar Babalghaith menghasilkan inovasi mengepam tayar motorsikal menggunakan saluran atau tiup disambung pada ekzos kenderaan dua roda. Turut menang projek ‘Medminder Pill Dispense’ meraih Anugerah Khas Kreativiti, Anugerah Komuniti diraih projek ‘Sock It Easy’ dan Anugerah Industri dimenangi projek ‘Smart Hand Glove’ manakala lima projek menang Anugerah Projek Komersial iaitu ‘Universal Arthiritics Braces’ , ‘Innovated Nail Clipper’, ‘Smart Walker’, ‘Strokable Walker’, ‘The Braille Bag’ dan ‘Meat Storage’. |
- 103 views