Jalinan Kerjasama UMP dan Institusi Jerman jalin kerjasama lonjak pendidikan TVET aras tinggiUniversiti Malaysia Pahang (UMP) jalin kerjasama dengan Pusat Kecemerlangan Asia bagi Teknologi Pintar (ACES) Wilayah Ekonomi Pantai Timur bagi mengukuhkan kerjasama dalam bidang berkaitan Revolusi Industri (IR 4.0), teknologi pintar dan inisiatif digital membabitkan aktiviti pembangunan sumber manusia di Wilayah Ekonomi Pantai Timur dan juga Asia Tenggara. ACES merupakan pusat usaha sama antara ECERDC dan TUM International GmbH Jerman dalam menghubungkan agensi kerajaan dan pihak industri serta universiti dalam meningkatkan kemahiran, latihan teknologi pintar dan perundingan terutamanya berkaitan IR 4.0 dalam pendigitalan dan automasi. Majlis menyaksikan Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Baidzawi Che Mat dan Ketua Pegawai Eksekutif TUM International GMBH Jerman, Daniel Gottschald pada 17 Oktober 2019 yang lalu di Jerman. Hadir sama menyaksikan majlis ialah Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik yang dalam rangka lawatan rasmi ke Jerman. “Kerjasama ini dapat memanfaatkan UMP dalam berkongsi kepakaran bagi menepati keperluan industri pada masa depan termasuk beberapa projek yang akan dilaksanakan terutamanya berkaitan produk pengkomersialan, program eksekutif 4.0 dan program latihan teknikal dan vokasional,” ujar Profesor Ir. Dr. Wan Azhar. Bersempena kunjungan rasmi delegasi UMP ke Jerman ini juga menyaksikan UMP menjalinkan kerjasama dengan pihak institusi Jerman, Karlsruhe University of Applied Science (HsKA), Jerman dan The Knowledge Foundation@Reutlingen University Germany (KFRU). Mewakili HsKA adalah Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Mekatronik, Profesor Dr. Robert Weis manakala pihak KFRU diwakili Profesor Ing. Dr. Daniel Palm. Program ini adalah hasil kesinambungan daripada program dwiijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Automotif dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik yang kini diperluas dengan penawaran program baharu bagi dwiijazah sarjana dalam bidang Kejuruteraan Automotif. Ia bakal memanfaatkan masyarakat di negara ini dalam mengembangkan model pendidikan Kejuruteraan Jerman yang bercorak Fachhochschule ke dalam sistem pendidikan Kejuruteraan di universiti ini. Keberkesanan sistem ini dalam melahirkan graduan Kejuruteraan yang kompeten di Jerman dilihat sebagai model terbaik universiti ini dalam menerajui pendidikan kejuruteraan yang sesuai sebagai salah satu daripada empat buah Universiti Awam (UA) dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN). Info Sekitar Kampus Food Bank Siswa UMP bantu mahasiswaInisiatif Food Bank Siswa dalam menyalurkan bantuan lebihan makanan kepada mahasiswa mendapat sambutan baik dalam usaha membantu meringankan bebanan kos sara hidup yang ditanggung oleh mahasiswa dalam dan luar kampus. Bagi pelaksanaan program ini, UMP menggunakan konsep Food Pantry yang digerakkan oleh Sukarelawan UMP Campus Pantry. Food Bank Siswa UMP telah dilancarkan pada 16 Oktober 2019 yang lalu oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersempena Majlis Wacana Bersama Menteri dan Pelancaran Food Bank Siswa UMP di Dewan Astaka, UMP Kampus Gambang. Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin, Ahli Lembaga Pengarah UMP, Profesor Dato’ Dr. Rosli Mohd. Yunus dan Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian Pengurusan dan Kepenggunaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rostam Affendi Dato’ Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Food Bank Malaysia, Abd. Waha Long. Menurut Datuk Seri Saifuddin, kementerian melalui Yayasan Food Bank Malaysia telah mengambil inisiatif untuk menghubungkan pihak industri yang terlibat bukan sahaja pasar raya malah pengeluar produk makanan, restoran dan hotel dengan penggerak yang terlibat dalam membantu menyalurkan bantuan makanan kepada pihak universiti. “Inisiatif Food Bank Siswa ini berkonsepkan 'Daripada Mahasiswa kepada Mahasiswa' yang mana kita mengalu-alukan pelajar yang ingin terlibat dalam menjayakan Food Bank Siswa ini terutamanya dari Persatuan-persatuan Pelajar untuk sama-sama membantu golongan pelajar yang memerlukan,” katanya. Program ini telah dilancarkan di 17 buah Universiti Awam (UA) dan UMP merupakan universiti ke-18 yang mempunyai Food Bank. Sehingga kini, seramai 6,570 pelajar dari seluruh UA termasuk 1,400 di UMP telah menerima manfaat daripada program ini. Pihaknya juga berbesar hati dengan penglibatan Tunas Manja Group, 99 Speedmart Sdn. Bhd., Adabi Kuantan Distribution Sdn. Bhd., Palma Unggul Enterprise, Hock Ho Hiap Kee Oil Mill Sdn. Bhd., Nurfirman Sdn. Bhd., Nirwana Group, Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd., Legasi Z Sufi Marketing dan Syarikat Gean Ming Sdn. Bhd. sebagai rakan penaja bagi program ini. Sementara itu, Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, dalam menjayakan usaha ini, Portal UMP Campus Pantry turut dibangunkan sepenuhnya oleh pelajar sendiri bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung UMP Campus Pantry. “Ia bukan sahaja memudahkan orang perseorangan atau alumni untuk menyumbang dalam bentuk wang ringgit mahupun barangan makanan. “Sehingga kini, seramai 1,400 orang pelajar B40 yang telah menerima manfaat daripada Campus Pantry ini untuk mengurangkan kos sara hidup yang dihadapi oleh mereka terutamanya di penghujung semester. “Sejak beroperasinya UMP Campus Pantry pelbagai program telah dilaksanakan antaranya jualan amal yang mana barangan baharu atau terpakai yang masih elok dijual dengan harga serendah RM1 dan hasil jualan tersebut disumbangkan kepada Campus Pantry,” ujar beliau. Tambah beliau lagi, potongan gaji bagi staf UMP pula adalah sebagai galakan dalam menyumbang melalui Tabung MyGift atau Yayasan UMP. “Begitu juga dengan inisiatif Food For All iaitu makanan percuma di masjid disediakan pada setiap Isnin hingga Jumaat (pagi) dan setiap hari Isnin dan Khamis untuk berbuka puasa (iftar jamaie) di masjid UMP. “Bukan itu sahaja inisiatif Projek Kongsi Rezeki memberi peluang pelajar mendapatkan makanan tengah hari dengan harga serendah RM1,” katanya. KPDNHEP melalui Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) mengalu-alukan penglibatan pelbagai pihak untuk ikut serta bersama program Food Bank Malaysia sebagai usaha Kementerian menyelamatkan lebihan makanan dan membantu golongan yang memerlukan. KPDNHEP dan YFBM percaya semangat kesukarelawanan yang tinggi dapat dibentuk menerusi program ini dan berharap inisiatif ini dapat diperluaskan ke 123 lokasi lain termasuk Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Kolej Universiti, Maktab Perguruan dan Politeknik pada masa akan datang. Akademik dan Antarabangsa Confucius Institute UMP dilancarPelancaran Confucius Institute Universiti Malaysia Pahang (UMP) bukan sahaja berperanan sebagai sebuah institut bahasa Mandarin malahan ianya juga akan menyediakan silibus pengajaran dan pembelajaran bahasa Mandarin dalam pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET). Ia turut membantu bakal graduan universiti ini dengan pelbagai kemahiran komunikasi bahasa yang memberi peluang tambah nilai dan penempatan pekerjaan dengan lebih luas buat mereka. Hadir merasmikan penubuhan Confucius Institute (CI) UMP ialah Setiausaha Bahagian, Perancangan dan Penyelarasan Dasar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Normah Osman pada 14 Oktober 2019 yang lalu di UMP Pekan. Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad, Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, Pengarah Kebudayaan Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia, Feng Jun, Naib Presiden Hebei University, Profesor Dr. Shen Shigang, Pengarah Confucius Institute China, Profesor Gui Fuliang dan Pengarah Confucius Institute UMP, Yong Ying Mei. Menurut Profesor Ir. Dr. Wan Azhar, institut ini akan turut menyediakan ujian kefasihan bahasa Mandarin-Hanyu Shuiping Kaoshi (HSK) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa kepada seluruh warga Malaysia. “Selain itu menawarkan perkhidmatan latihan kepada guru bahasa Mandarin dan menjadi pusat penyelidikan bahan pengajaran bahasa Mandarin. Pihaknya yakin hubungan baik China dan Malaysia ini bakal memanfaatkan bidang pendidikan dan budaya menjelang pengumuman tahun 2020 merupakan Tahun Pelancongan dan Kebudayaan di China. Dalam pada itu, Normah berkata, pihak kementerian amat menghargai usaha UMP dan Hebei University dalam menubuhkan Confucius Institute ini yang memberi nilai tambah kepada seluruh warga universiti dan juga masyarakat setempat. Beliau mengharapkan CI ini sebagai gedung ilmu yang dapat diserlahkan dan disedari kepentingannya kepada para pelajar dan masyarakat dalam pertukaran budaya, penjanaan ekonomi dan pengukuhan ilmu pengetahuan dalam bidang Sains dan Teknologi melibatkan dua negara. “Terdapat tiga lagi Confucius Institute di Malaysia pada masa ini iaitu di UM, Segi University dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menyumbang terhadap pembelajaran bahasa Mandarin dan pertukaran kebudayaan dengan negara China. “Saya percaya UMP sebagai sebuah universiti teknikal dapat menggarap pelbagai peluang hasil penubuhan Confucius Institute ini melalui perkongsian kepakaran teknikal dan juga perpindahan teknologi, pengetahuan, pembangunan dan penyelidikan juga pengkomersialan produk yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara. “Selain itu, usaha ini juga bakal menjayakan Malaysia sebagai hab pendidikan antarabangsa dalam mempromosikan pertukaran bahasa dan budaya selain memacu usaha ke arah menggalakkan program mobiliti pelajar serta staf universiti,” ujar beliau. Bersempena dengan itu juga, UMP turut menganjurkan Festival Seni Budaya Malaysia-China melibatkan pelajar Hebei University yang menampilkan citra warna persembahan kebudayaan dan warisan Cina termasuk kesenian kaligrafi Cina, lukisan, persembahan seni tari Tarian Singa serta seni mempertahankan diri seperti Taichi dan Wushu serta penganjuran forum yang dilihat sebagai medium perkongsian budaya. Akademik dan Antarabangsa Festival Seni Budaya Malaysia-China pamer warisan seni kebudayaan dua negaraOleh: SITI NURFARMY IBRAHIM, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT. Penganjuran Festival Seni Budaya Malaysia-China 2019 yang diadakan bersempena pelancaran Confucius Institute (CI) UMP bukan sahaja dilihat dapat meningkatkan kemahiran berbahasa Mandarin dan pertukaran budaya malahan dapat memperkukuhkan hubungan baik antara dua negara serta kolaborasi antara Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan rakan strategik, Hebei University China. Festival yang berlangsung di Dewan Astaka UMP Kampus Gambang pada 12 Oktober 2019 yang lalu itu berjaya menampilkan citra warna persembahan kebudayaan dan warisan Cina termasuk kesenian kaligrafi, lukisan, persembahan seni tari Tarian Singa serta seni mempertahankan diri seperti Taichi dan Wushu serta penganjuran forum yang dilihat sebagai medium perkongsian budaya yang mencerminkan kepelbagaian adat resam dan budaya yang boleh dibanggakan masyarakat di negara ini. Hadir merasmikan majlis Dekan Perkhidmatan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Dr. Mansor Sulaiman. Hadir sama Timbalan Pengarah International Cooperation & Exchange Office, Hebei University, Profesor Madya Liang Wei Ge, Pengarah Pusat Sukan & Kebudayaan, Profesor Dato’ Ts. Dr. Rosli Abu Bakar, Pengurus Besar Jabatan Hal Ehwal Akademik & Antrabangsa, Abd Hamid Majid, Pengarah Confucius Institut UMP, Yong Ying Mei dan Pengarah Confucius Institute China, Profesor Guo Fuliang. Menurut Dr. Mansor, keunikan masyarakat majmuk di Malaysia dapat menarik minat para pelancong untuk berkunjung ke negara ini bagi menyaksikan kepelbagaian warisan etnik yang menjadi kebanggaan bersama. “Dalam hubungan ini, para mahasiswa yang berada di dalam kampus mempunyai kewajipan untuk menyuburkan perpaduan dan silaturahim antara kaum dalam erti kata yang sebenarnya melalui gerak kerja yang dijalankan. “Wawasan Kemakmuran Bersama yang mendasari pentadbiran Malaysia pada hari ini merupakan rujukan yang amat berguna kepada kita untuk belajar menghargai kepelbagaian yang ada sebagai landasan pemerkasaan bangsa Malaysia,” katanya. Sementara itu turut diadakan forum kebudayaan Malaysia-China yang disampaikan oleh Dr. Fan Yuguang daripada Hebei University dan Dr. Ahmad Rahman Hamzah daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sementara Mohd Zaki Ahmad selaku moderator. Turut diadakan pameran seni budaya yang menampilkan pameran seni budaya, penggunaan chopstick, Chinese knot dan permainan tradisional Malaysia di samping pelbagai jenis persembahan kebudayaan melibatkan mahasiswa di kedua-dua universiti. Jejak Alumni Kejayaan yang tertangguh, Amir Ashraf bangkit bergelar UsahawanBak kata pepatah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan, begitulah perumpamaan yang sesuai dikaitkan dengan Pengarah Urusan Profix Engineering Sdn. Bhd., Amir Ashraf Hamzah, 35 yang bangkit meneruskan perjuangan dalam perniagaan sehingga mampu menempatkan diri sebaris dengan usahawan yang berjaya. Bermula dengan pengalaman yang sukar, anak muda yang berasal dari Kampung Tok Hakim Padang Midin, Terengganu ini terus gigih walaupun pernah diduga suatu ketika dahulu berdepan situasi tiada langsung wang di tangan untuk membeli susu buat anaknya yang masih kecil. Pelajar lepasan Ijazah Sarjana Muda Elektrik dan Elektronik, Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada tahun 2007 ini sememangnya menyimpan cita-cita untuk membuka syarikat peniagaan sendiri sejak kecil lagi. Anak kepada pasangan Tuan Haji Hamzah Othman dan Hajah Hasmah Mohamad ini memilih perniagaan dalam bidang Kejuruteraan dan Pembinaan suka mencuba benda baharu dan mencabar. Ujarnya sememangnya pada mulanya beliau mendapat tentangan yang hebat dari orang sekeliling apabila memilih bidang peniagaan sebagai kerjaya. “Kebanyakannya menganggap perniagaan ini berisiko tinggi, namun beliau menganggap ia merupakan satu cabaran untuk ditempuhi. “Secara jujurnya, pada mulanya minat saya bukan kepada Kejuruteraan. Tetapi keadaan itu berubah apabila saya jatuh cinta pada bidang tersebut semasa bekerja sebagai jurutera di beberapa buah syarikat di ibu kota. “Pengalaman berkerja selama lima tahun inilah menjadikan saya memberanikan diri untuk membuka syarikat kontraktor pada tahun 2011 dengan nama syarikat Profix Engineering Sdn. Bhd. Pada masa itu, kereta Myvi itulah pejabat pertama saya,” ujar Amir Ashraf. Namun menurutnya, menubuhkan syarikat ini tidaklah seindah drama yang kita saksikan di kaca televisyen. “Pada masa itu, saya masih terlalu mentah dalam dunia perniagaan. Namun, langit tidak selalu cerah, perniagaan saya mengalami masalah dan diduga dengan bebanan hutang serta kehilangan rakan kongsi. “Ketika itu, saya merasakan dunia ini gelap, nasihat dan dorongan kedua ibu bapa menjadi pedoman. “Masih segar dalam ingatan saya pesanan ibu pada masa itu untuk jangan putus asa dan teruskan perjuangan kerana tiada orang yang gagal dalam perniagaan tapi ia hanya kejayaan yang tertangguh sahaja. Ini menguatkan lagi semangat saya untuk bangkit semula,” ujarnya. Beliau turut menasihati agar jangan takut untuk memulakan sesuatu, kerana jika takut menguasai diri pastinya kita tidak akan berani untuk melangkah. Pada masa yang sama, kita juga perlu bersama dengan orang-orang yang positif kerana aura positif akan tempias dan terdorong untuk berjaya. Amir Ashraf mengakui perniagaan ini mempunyai banyak cabaran sebab kita akan mudah terdedah dengan ujian dan cabaran. “Namun, jika kita lihat masalah ini sebagai masalah, kita tidak akan kemana-mana dan ia tetap menjadi masalah. “Justeru, kita perlu tukar masalah kepada cabaran dan menganggap ia sebagai satu peluang yang kita perlu kecapi,” katanya. Pengalaman berharga ini banyak dikongsikan dalam ceramah motivasi yang disampaikannya. Berbekalkan pengalaman seorang jurutera sahaja tidak mencukupi untuk membangunkan sebuah syarikat. Beliau turut berkongsi tip kejayaan untuk membuka syarikat kejuruteraan dan pembinaan. “Kita bukan sekadar mempunyai semangat dan pengetahuan, tapi kita juga perlu mempunyai pengalaman mengurus syarikat. Dengan gabungan tiga kombinasi ini dapat membuka syarikat yang bagus. “Pada zaman persekolahan, selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya telah menyambung pengajian di Kolej Matrikulasi Johor dan kemudiaannya menyambung pengajian dalam bidang Kejuruteraan Elektrik UMP,” katanya. Hasil perkongsian hidup dengan isterinya, Syarifah Mahfudzah Syed Mafdzot, 34 mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Ainul Syuhada, 6, Ainul Raudhah, 4, dan Amir Ar- Rayyan, 3. Kini, Profix Engineering Sdn. Bhd. mempunyai seramai 12 staf yang terdiri daripada jurutera, penyelia projek dan staf pentadbiran bertempat di Seri Kembangan, Selangor. Selain memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Profix Engineering Sdn. Bhd., beliau kini merupakan Pengerusi Industry Network Alumni Platform (INAP) UMP, Penasihat Industri untuk Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) Dungun, Terengganu dan Panel Gas Kontraktor & Consultant untuk Istana Negara, One Menerung Condominium Bangsar dan Sri Penaga Condominium Bangsar. |
- 75 views