Skip to main content
HEADER CREATE

Penyelidikan dan Inovasi

PhyMill dicipta khas untuk bantu juruterapi dan pesakit kanak-kanak jalani rawatan fisioterapi

PhyMill dicipta khas untuk bantu juruterapi dan pesakit kanak-kanak jalani rawatan fisioterapi

Simpati terhadap nasib kanak-kanak yang menghadapi gangguan kebolehan mengawal kedudukan dan pengaktifan badan disebabkan kerosakan pada otak yang sedang berkembang atau lebih dikenali sebagai Palsi Cerebrum (Cerebral Palsy) telah mendorong sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Pahang  (UMP) menghasilkan produk Smart Physio-Treadmill (PhyMill) bagi membantu pesakit menjalani latihan pergerakan berjalan.
 
Menurut Ketua Penyelidik yang juga merupakan pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif UMP, Ts. Dr. Mohd Azrul Hisham Mohd Adib, PhyMill adalah alat senaman automatik untuk melatih pergerakan berjalan bagi pesakit yang sedang menjalani rawatan. 

“PhyMill ini juga dicipta khas untuk membantu juruterapi dalam melakukan latihan rehabilitasi ke atas pesakit semasa sesi fisioterapi terutamanya yang melibatkan pergerakan lower extremity atau di bahagian bawah anggota badan.

PhyMill dicipta khas untuk bantu juruterapi dan pesakit kanak-kanak jalani rawatan fisioterapi

“Sehingga kini, kebanyakan produk rehab yang dicipta memerlukan penjagaan dan bantuan pengelolaan daripada pihak juruterapi. 

“Alat-alat rehab yang sedia ada ini juga adalah manual dan kebanyakkanya diperoleh dari luar negara dengan harga yang sangat tinggi.
 
“Penghasilan produk ini dapat dijayakan dengan bantuan dan nasihat dari pakar fisioterapi, Kuantan Physical Therapy-Physiotherapy Center iaitu Narimah Daud.

“Gabungan idea  antara pakar fisioterapi dan penyelidik  menjadikan  penghasilan PhyMill untuk lebih mudah digunakan dan memenuhi keperluan pesakit,” katanya dalam majlis serahan PhyMill untuk kegunaan pusat ini pada 17 Januari 2020 di Kuantan.

PhyMill dicipta khas untuk bantu juruterapi dan pesakit kanak-kanak jalani rawatan fisioterapi

Tambah beliau lagi, dengan saiznya yang agak kecil mudah untuk dibawa mengikut kehendak dan keperluan pesakit.
 
“PhyMill ini mempunyai tiga mode pengendalian iaitu mode pertama ianya dapat mengawal pergerakkan pesakit berjalan ke arah hadapan dan ke arah belakang. 

“Pergerakkan ini dikawal secara automatik sepenuhnya dengan hanya menekan butang khas yang disediakan. Kawalan kelajuan juga diwujudkan bagi memudahkan pesakit melaras kelajuan berjalan mengikut aras latihan rehabilitasi yang ditentukan oleh pihak juruterapi.
 
“Manakala mode kedua pula adalah penyelarasan ketinggian automatik. PhyMill turut menyediakan kemudahan bagi pesakit untuk menentukan aras pemegang mengikut ketinggian tubuh mereka. 

“Bagi mode ketiga adalah tersedianya skrin paparan khas untuk menarik perhatian pesakit serta mengelakkan kebosanan pesakit semasa menjalankan sesi latihan rehabilitasi. 
 
“PhyMill juga dapat digunakan oleh kanak-kanak seawal usia empat hingga tujuh tahun dan dapat menampung beban sehingga 30 kilogram,” katanya.

Beliau berharap produk ini akan menjadi sebuah produk perintis dalam bidang perubatan rehabilitasi di Malaysia di samping berfungsi sebagai alat pemudah cara kepada juruterapi dalam mencapai hasrat ke arah sasaran mereka iaitu zero lifelong treatment untuk semua pesakit.

PhyMill dicipta khas untuk bantu juruterapi dan pesakit kanak-kanak jalani rawatan fisioterapi

Dalam pada itu, menurutnya sebagai penyelidik semestinya mempunyai perancangan untuk menambah baik prototaip yang sedia ada ini, terutama dari segi nilai estetik dan juga fungsinya. 

“Dengan menambah beberapa lagi fungsi khas seperti remote control, menggunakan cahaya ke atas pergerakan kaki pesakit dapat menjadikan produk ini mencapai spesifikasi ke arah rawatan pergerakan aktif pesakit.
 
“Saya juga berhasrat untuk mengkomersialkan produk ini bagi memudahkan penggunaannya kepada pakar fisioterapi kanak-kanak di Malaysia. 

“Walau bagaimanapun, kerjasama daripada pihak industri atau agensi kerajaan mahupun swasta amatlah diperlukan terutama pihak hospital dan pusat-pusat rehabilitasi,” katanya.
 
Produk ini turut mendapat pengiktirafan di pameran penyelidikan dengan meraih pingat perak dalam Pameran Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX 2019) dan juga dalam International Festival of Innovation in Green Technology (i-FINOG 2019).
 
PhyMill ini dihasilkan sepenuhnya oleh Tim Rehab di bawah Human Engineering Group (HEG) dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif yang dibantu oleh Dr. Nurul Shahida Shalahim, Idris Mat Sahat, Dr. Zakri Ghazalli, Dr. Muhammad Hilmi Jalil dan siswazah di bawah Integrated Design Project (IDP) iaitu Afiq Ikmal Zahir, Ahmad Hijran Nasaruddin, Muhammad Shazzuan Sharudin dan Muhammad Rais Rahim.


Penyelidikan dan Inovasi

AGRISOFT bantu petani dan penternak elak kerugian

AGRISOFT bantu petani dan penternak elak kerugian

Prihatin terhadap permasalahan yang biasa dihadapi oleh  para petani, peladang atau penternak dalam memantau dan mengawal selia tanaman atau ternakan, mendorong penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP) menghasilkan IoT enabled Farmer Digital Expert System@AGRISOFT bagi menyelesaikan masalah kerugian yang dialami disebabkan oleh berlakunya perubahan pada persekitaran tanaman atau ternakan mereka yang tidak dipantau lebih awal sehingga menyebabkan ianya rosak.
 
Menurut Ketua Penyelidik yang juga merupakan Pengarah Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE) Kluster Elektrik dan Elektronik, Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Fahmi Samsuri, idea penghasilan produk bermula apabila melihat kebanyakan petani atau penternak di Malaysia masih banyak bergantung kepada sistem konvensional dan berasaskan buruh dalam mengusahakan tanaman atau ternakan mereka.
 
“Ini menyebabkan mereka mengalami kerugian yang tinggi apabila tanaman sekiranya faktor-faktor persekitaran itu dikenal pasti lebih cepat, tindakan pencegahan dan pembetulan dapat dibuat dengan lebih cepat dan hasilnya tanaman atau ternakan mereka itu dapat diselamatkan dan dapat dijual kepada pelanggan. 
 
“Selain itu, melalui penggunaan teknologi moden ini, ia dapat meningkatkan produktiviti hasil pengeluaran, di samping dapat mengurangkan  kebergantungan kepada tenaga buruh yang ramai. 

AGRISOFT bantu petani dan penternak elak kerugian

“Di Eropah dan Amerika Syarikat misalnya, pertanian dan penternakan di sana telah menggunakan teknologi moden dalam industri mereka, dan ini membantu negara mereka menjadi pengeluar hasil tanaman dan akuakultur yang terbesar di dunia,” katanya.
 
Tambahnya lagi, dengan menggunakan sistem ini dapat membantu mereka melalui bacaan yang diperoleh daripada sensor yang dipasang kepada sistem ini, yang mana akan membaca parameter-parameter tertentu berkaitan persekitaran tanaman atau ternakan seperti suhu, kelembapan udara, tahap Ph (tanah atau air), konsentrasi oksigen, tahap kekeruhan (air), tahap konduktiviti elektrik (air) dan juga tahap potensi pengoksidaan dalam tanah, mahupun air.
 
“Melalui bacaan yang dibuat, sistem akan merekod data yang dikutip dan seterusnya akan mencadangkan kepada pengguna untuk mengambil tindakan yang sepatutnya diambil bagi mengatasi masalah-masalah yang timbul akibat dari perubahan yang berlaku pada parameter yang diukur itu.
 
“Sebagai contoh, julat pH yang sesuai bagi sesuatu tanaman adalah antara 6 hinggga 8 pH, dan didapati daripada bacaan pH telah melonjak melebihi 8, maka sistem ini akan menyampaikan maklumat itu kepada pengguna melalui mesej dan informasi di dalam telefon, dan seterusnya mencadangkan tindakan yang seharusnya diambil, seperti menurunkan pH semula ke paras yang sesuai dengan menambah baja yang mengandungi zat sulfur, besi dan aluminium ke dalam tanah tersebut,” ujarnya.

AGRISOFT bantu petani dan penternak elak kerugian

Jelas beliau, sistem ini amat sesuai digunakan bagi membantu para petani atau penternak yang terlibat dalam bidang pertanian (tanaman sayur-sayuran, tanaman komoditi seperti kelapa sawit dan juga tanaman moden seperti hidroponik) dan penternakan dalam sangkar (ikan, udang atau haiwan akuakultur yang lain).
 
“Sistem ini beroperasi dengan mengutip data-data dari sensor-sensor yang diletakkan di serata kawasan tanaman atau sangkar ternakan. Bacaan boleh ditentukan sama ada diambil setiap minit, jam atau hari bergantung kepada keadaan atau keperluan tanaman atau ternakan tersebut. 

“Sekiranya berlaku sesuatu kepada tanaman atau ternakan, sensor akan mengesan apa yang berlaku, seterusnya menghantar isyarat amaran kepada sistem kawalan induk.
 
“Semua ini boleh dihubungkan sama ada melalui sambungan wayar atau tanpa wayar (broadband). Seterusnya, sistem komputer kawalan induk akan memproses maklumat tersebut dan kemudian menghantar pesanan dan juga cadangan tindakan yang harus diambil oleh pengguna melalui sistem pesanan ringkas telefon mudah alih. 

“Semua komunikasi adalah melalui Internet dan ini membolehkan pengguna mendapat pemakluman dari mana, di mana dan bila-bila masa sahaja,” ujarnya. 
 
Tambahnya lagi penyelidikan ini telah bermula sejak tahun 2015 ini telah dibangunkan dalam beberapa peringkat. 

“Peringkat pertama telah siap pada tahun 2016, manakala peringkat kedua telah siap pada awal tahun 2019. 

“Ketika ini, penyelidikan sedang dilakukan bagi menyiapkan penyelidikan ini pada peringkat yang ketiga,” katanya. 
 
Dalam pada itu, pihaknya berhasrat membangunkan satu sistem holistik yang menggabungkan teknologi Internet tanpa wayar dengan sistem pangkalan data icloud. 

Pada peringkat ketiga ini, satu sistem aplikasi dalam talian (mobile apps) akan dibangunkan, yang mana pengguna boleh mengakses dan mengawal tanaman atau ternakan mereka dengan menggunakan mobile apps yang dipasang dalam telefon mudah alih mereka. 

Segala data dan maklumat pula disimpan dalam pangkalan data icloud, dan ini membolehkan data-data itu diakses dari mana-mana lokasi dan pada bila-bila masa. Segala proses boleh diurus dan dikawal melalui sentuhan di hujung jari.
 
Anak kelahiran negeri Perak Darul Ridzuan ini merancang ada masa akan datang untuk meluaskan fungsi sistem ini agar boleh juga digunakan untuk industri-industri yang lain seperti ternakan haiwan tenusu (lembu, kambing), burung walit dan sebagainya. 

Beliau berharap sistem ini dapat dibangunkan untuk membantu para petani dan penternak kecil-kecilan dalam mengoptimumkan hasil pengeluaran mereka dengan kos yang lebih rendah melalui penggunaan teknologi moden.
 
Pihaknya mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan sokongan geran penyelidikan daripada UMP-Community Technology Solution Platform Evaluation Fund/Lab2Market Seed Fund berjumlah RM80,000.00 bagi menjayakan projek ini. 

Bagi yang berminat untuk memiliki sistem ini, pada masa ini satu sistem yang lengkap berharga dalam lingkungan RM1,500 hingga RM3,000 bergantung kepada model dan juga jenis dan jumlah sensor yang diperlukan.
 
Sepanjang penghasilan, sistem ini banyak mendapat pengiktirafan antaranya seperti meraih pingat emas dalam pertandingan Pameran Creation, Innovation, Technology and Research Exposition (CITREX) tahun 2016 dan 2019 manakala pingat perak di pertandingan Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA) 2019. 

Lain-lain pingat perak dalam Pertandingan International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX 2019) dan pingat emas serta memenangi Anugerah Khas CARIFF di Citrex 2016.