Akademik dan Antarabangsa UMP tangguh P&P sehingga 14 April depanSusulan pelanjutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara dan arahan penutupan semua lnstitusi Pendidikan Tinggi (IPT), Universiti Malaysia Pahang (UMP) menangguhkan semua operasi perkhidmatan dan tiada aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) termasuk dalam talian dilaksanakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac sehingga 14 April 2020. Keputusan ini juga merujuk saranan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam pengendalian program akademik di setiap institusi pendidikan tinggi tatkala negara berdepan dengan pandemik penularan wabak Covid-19 di negara ini. Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin, keputusan ini mengambil kira keberadaan pelajar di lokasi masing-masing di mana majoriti pelajar telah berada bersama keluarga di kampung dan atas kepentingan keselamatan dan kebajikan pelajar. “Tempoh PKP selama lebih empat minggu dalam menangani penularan wabak Covid-19 ini pastinya memberi kesan terhadap jadual pengkuliahan di semua institusi pendidikan termasuk UMP. “Justeru, pihak universiti juga akan membuat pindaan terhadap kalendar akademik bagi Semester II Sesi 2019/2020 yang akan dibentangkan dalam Mesyuarat Senat Universiti yang bakal bersidang,” katanya. “Berdepan dengan situasi ini juga, universiti turut bersedia untuk mengaktifkan mod P&P secara dalam talian (e-Learning) dan bagi memantapkan kaedah pembelajaran ini, Pusat Sumber Pengajaran dan e-Pembelajaran (CIReL) telah mengadakan beberapa siri latihan secara dalam talian kepada staf akademik,” katanya. Ujarnya, kursus ini merangkumi kepelbagaian pelantar dan aplikasi, kaedah P&P dan pilihan dalam pengendalian penilaian secara dalam talian yang boleh disesuaikan dengan kursus pengajian yang diikuti pelajar. “Malahan setiap fakulti juga telah mengambil tindakan bagi menyediakan bahan dan aktiviti P&P secara dalam talian dengan memilih strategi yang bersesuaian untuk meneruskan keperluan tanpa mengganggu pengkuliahan. “Dari aspek aplikasi Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS) UMP yang dinamakan KALAM, sistem ini telah dibuat uji lari sejak awal Februari lalu semasa keperluan penggunaan pelajar pada tahap yang optimum secara serentak dengan capaian internet kepada sistem ini di waktu puncak. “Sehingga kini, sebanyak 65 peratus kursus yang ditawarkan oleh UMP telah mencapai tahap pembelajaran teradun yang merangkumi P&P dalam talian secara asas. “Pelajar berada dalam kelompok celik IT dan mampu mengadaptasikan penggunaan teknologi P&P yang diguna pakai selain berpengalaman dengan sistem ini,” ujar beliau. Hasil kajian maklum balas yang dijalankan universiti ke atas pelajar baru-baru ini juga mendapati lebih 80 peratus pelajar bersedia menggunakan e-Learning dan baki hampir 20 peratus kurang bersedia kerana berada di kawasan yang mempunyai liputan capaian Internet yang rendah. Untuk itu katanya, para pensyarah mempunyai beberapa alternatif sama ada untuk mengadakan sesi P&P secara segerak (synchronous) atau secara tidak segerak (asynchronous) mahupun mengadakan P&P berasaskan tugas-tugas tertentu. Berada dalam tempoh PKP ini, beliau menasihatkan pelajar memanfaatkan masa ini dengan membuat ulang kaji setelah menjalani kuliah selama lima minggu sebelum tempoh PKP tempoh hari dan sekiranya mempunyai akses Internet dapat dimanfaatkan untuk berinteraksi bersama pensyarah dan rakan dalam memantapkan pemahaman. Pihak universiti turut memastikan keselamatan dan kebajikan seramai lebih 800 pelajar yang berada di dalam kampus termasuklah menyediakan makanan, kit kebersihan dan memastikan tahap kesihatan berada pada tahap yang baik serta menjaga jarak sosial semasa berhubung bagi mengelakkan aktiviti berhimpun. Buat warga kerja, nasihatnya agar terus istiqamah dalam menjalankan kerja (work from house) selain bersedia melaksanakan arahan yang diberikan demi menjamin kualiti akademik terus terpelihara ke arah kecemerlangan universiti. Artikel/Rencana Pilihan Mengenali penyakit penyebab kematian masyarakat Malaysia di awal kemerdekaanOleh: Dr. Hasnah Hussiin Sejak akhir-akhir ini kita telah didedahkan kepada penularan wabak virus COVID-19 yang menyebabkan kematian penduduk di seluruh dunia. Penularan wabak penyakit ini telah menimbulkan ketakutan masyarakat termasuklah negara Malaysia. Sesungguhnya, penularan wabak penyakit ini bukanlah suatu yang baharu dalam masyarakat. Ia telah lama wujud dalam persekitaran masyarakat yang belum mengetahui tentang bahaya sesuatu penyakit dan tatacara menjaga kebersihan diri dan alam sekeliling. Penularan wabak penyakit sememangnya berbeza mengikut masa dan keadaan. Dalam kajian yang lain, mendapati masyarakat luar bandar juga mengalami masalah kekurangan zat makanan dan kekurangan kualiti darah. Kebiasaannya, ia berlaku dalam kalangan ibu-ibu yang mengandung dan ibu-ibu yang menyusukan anak dan juga anak-anak kecil yang berumur satu hingga lima tahun. Artikel/Rencana Pilihan Budayakan sikap menyelidiki kesahihan berita dalam diri dan keluargaOleh: DR. TUAN SIDEK TUAN MUDA Kesan daripada perkembangan teknologi, muncul pula pelbagai bentuk media komunikasi baharu pada hari ini seperti Facebook, WhatsApp, Instagram, Twitter dan lain-lain. Kemunculan pelbagai media ini mendatangkan kebaikan kepada manusia. Di samping tidak kurang juga mendatangkan keburukan. Salah satu keburukannya ialah wujudnya pelbagai fitnah dan berita-berita palsu yang tersebar dengan begitu cepat. Pada hari ini, pelbagai fitnah berkaitan dunia politik, perniagaan, hiburan termasuklah berkaitan dengan isu Coronavirus (Covid-19) tersebar dalam masyarakat. Dalam situasi kini adalah sangat baik agar ahli masyarakat mengamalkan sikap menyelidik kebenaran suatu berita atau ‘tabayyun’ supaya mereka dapat mengelakkan diri daripada terjerumus dalam mempercayai atau lebih teruk lagi turut terlibat dalam menyebarkan fitnah dan berita palsu. Al-Quran telah menyebut tentang perlunya sikap ini dijadikan amalan dalam kehidupan bermasyarakat sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”. (Surah al-Hujurat: 6). Menurut al-Zuhaili (2003), kebanyakan ahli tafsir berpendapat sebab turun ayat ini adalah berkaitan peristiwa pengutusan seorang seorang lelaki oleh Rasulullah SAW kepada kaum Bani Mustaliq untuk mengutip zakat daripada mereka. Apabila mendengar kedatangan utusan tersebut, sebahagian daripada kaum Bani Mustaliq keluar untuk menyambutnya. Walau bagimanapun, sebelum sempat utusan tersebut bertemu dengan kaum tersebut, beliau merasa takut dan kembali ke Madinah dengan memberitahu kepada Rasulullah SAW. bahawa ketua kaum tersebut enggan untuk membayar zakat dan ingin membunuhnya. Lantas Rasulullah SAW menghantar satu pasukan tentera kepada kaum tersebut. Setelah diselidiki didapati berita tersebut tidak benar dan kesannya terselamatlah daripada berlakunya pertumpahan darah. Sebaliknya, suasana menjadi tenang dan hubungan Rasulullah SAW dan hubungan kaum tersebut kekal kukuh terpelihara. Di samping ayat di atas, Allah SWT turut mengingatkan manusia agar tidak berbicara tentang sesuatu berdasarkan sangkaan semata-mata sebagai mana firman Allah yang bermaksud: “Janganlah kamu mengatakan sesuatu yang kamu sendiri tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati setiap orang kelak di akhirat akan diminta tanggungjawab.” (Surah al-Isra’:36). Semangat untuk membudayakan sikap menyelidik mencari kebenaran berita sepatutnya disuburkan di dalam masyarakat pada hari ini. Apatah lagi dalam suasana yang sangat mudah untuk membuat berita palsu dan menyebarkannya dengan menggunakan kecanggihan media komunikasi yang ada. Ingatlah pesan Baginda SAW bahawa memulakan suatu berita bohong dan menyebarkannya adalah satu perbuatan keji sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: “Sesungguhnya kebenaran membawa kepada kebaikan dan kebaikan membawa ke syurga. Seorang lelaki berterusan bercakap benar sehinga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang yang benar. Sebaliknya pendustaan membawa kepada kekejian dan kekejian membawa ke neraka. Seorang lelaki yang berterusan melakukan dusta sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai pendusta.” (Hadis Muttafaq ‘Alaih). Berdusta itu tidak semestinya memulakan berita palsu tetapi seseorang turut dikira berdusta sekiranya menyampaikan atau berkongsi share berita tersebut dengan pihak lain tanpa menyelidiki kebenarannya sebagaimana sabda Baginda S.A.W. yang bermaksud: “Memadai seseorang itu dikira sebagai berdusta sekiranya dia menyampaikan setiap yang didengarinya (tanpa menyelidiki kesahihan)”. (Hadis riwayat Muslim). Sehubungan itu, dalam suasana ahli masyarakat tinggal di rumah kerana musibah Covid-19, sepatutnya mereka juga berusaha untuk mendidik diri daripada menulis, menyebarkan dan berkongsi berita palsu. Berita palsu akan menimbulkan suasana yang tidak tenteram, takut, bimbang, gelisah, tekanan perasaan, pembelian panik, permusuhan bahkan juga dalam konteks yang lebih luas boleh membawa kepada pembunuhan dan peperangan. Budayakan menyelidiki kasahihan berita pada diri dan keluarga dengan berusaha untuk memastikan berita yang diperoleh atau berita yang hendak dikongsikan adalah berita yang sahih daripada sumber-sumber yang diyakini. Sekiranya tidak dapat dipastikan, tidak berkongsi adalah tindakan yang lebih tepat. Pada saat musibah yang melanda ini, sepatutnya ahli masyarakat berusaha menambahkan amal kebaikan dan memperbanyakan taubat serta istighfar memohon keampunan atas dosa-dosa yang telah dilakukan dan bukannya dengan menambahkan dosa dengan menyebarkan fitnah dan berita palsu. Sesungguhnya setiap yang dibuat, ditulis atau diucapkan oleh manusia sama ada baik atau buruk, kecil mahupun besar, jelas atau tersembunyi akan dibalasi oleh Allah sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihat (dalam surat amalnya). Dan sesiapa melakukan kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)”. (Surah al-Zalzalah: 7-8). Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang (UMP). Artikel/Rencana Pilihan Urus kesihatan mental harungi wabak COVID-19Oleh: PARIDAH MOHD. ALI Menjalani kehidupan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa wabak COVID-19 ini adalah sesuatu yang baharu bagi kebanyakan kita. Maklumlah mereka yang lahir pascamerdeka ini, pasti tidak pernah merasai saat-saat darurat perang seperti nenek moyang kita yang juga mengakibatkan pergerakan terbatas malahan sumber makanan juga sukar diperoleh. Apabila PKP diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia baru-baru ini, ramai golongan yang terkesan dengan perintah ini yang dilaksanakan untuk 14 hari malahan kini telah dilanjutkan selama 14 hari lagi. PKP yang diisytiharkan ini adalah bertujuan untuk mengawal dan menyelamatkan lebih banyak nyawa kerana virus corona yang mudah tersebar ini dapat diputuskan rangkaiannya. Nasihat untuk tinggal di rumah, majlis keraian dibatalkan, hadkan jarak ketika berkomunikasi antara satu sama lain, memakai topeng muka jika keluar rumah, kerap membasuh tangan dengan sabun dan sekatan di jalan raya dilihat sebagai satu perkara yang sangat mengerikan bagi mereka yang suka bersosialisasi atau kata lainnya bermasyarakat. Ini merupakan satu bentuk tekanan buat mereka. Maka dengan itu bermulalah fasa stres berlaku kepada kebanyakan orang. Kehidupan yang biasa dilalui dengan bebas, kini perlu dikurangkan dan masa banyak dihabiskan di rumah. Terdapat beberapa golongan yang mengalami tekanan (stres) pada masa ini antaranya ialah dalam kalangan ibu terutamanya suri rumah. Golongan ini mungkin merasakan tekanan tinggi kerana kesemua ahli keluarga iaitu anak-anak dan suami berada di rumah sepanjang masa. Maka rutin harian menyediakan hidangan dan mengemas rumah dan pakaian menjadi beban sekiranya ahli keluarga tidak sama-sama membantu meringankan beban mereka. Rumah yang berselerak, baju yang bertimbun untuk dilipat dan siaran televisyen yang dikuasai oleh anak-anak kecil menjadi tekanan berada di rumah sangat tinggi. Pelbagai menu perlu disiapkan bagi memenuhi selera ahli keluarga dan memastikan tiada yang kelaparan. Maka tiada lagi kesempatan buat ibu memanfaatkan masa terluang buat diri sendiri. Tetapi dari sudut positifnya mereka boleh mencuba pelbagai resepi mudah yang selama ini menjadi simpanan di dalam telefon dan buku sahaja. Malahan penjimatan wang juga dapat dibuat malahan makanan yang dihidangkan juga lebih berkhasiat kerana dimasak di rumah. Maka, faktor kebersihan menjadi keutamaan kepada keluarga. Selain itu, inilah masa yang sesuai untuk ibu-ibu membuat home cleaning terhadap barangan yang ada di dapur malahan juga untuk kain baju yang mungkin tidak muat atau sesuai untuk dipakai oleh ahli keluarga tetapi masih elok. Tanpa kita sedari mungkin ada antara kita yang mengalami tabiat suka menyimpan barang-barang lama (hoarding disorder) dan menyebabkan ruang rumah menjadi sempit. Selain itu, bagi golongan kedua iaitu mereka yang biasa bekerja di luar rumah juga akan merasa kekok apabila bangun dari tidur dan bersiap-siap untuk ke pejabat tetapi kini hanya perlu melakukan kerja dari rumah. Setiap pagi terkejar-kejar untuk menghantar anak ke sekolah dan terus ke pejabat dengan meredah kesesakan jalan raya sepanjang perjalanan ke pejabat kini tidak perlu berdepan dengan semua itu. Mereka yang biasa mengendalikan mesin atau peralatan yang tidak boleh dibawa pulang, pasti mereka ini akan rasa tidak betah untuk duduk sahaja. Konsep work from home ini sebenarnya sangat luas. Pelbagai kerja boleh dilaksanakan bukan sahaja setakat menggunakan komputer riba dan telefon untuk membalas emel, mengadakan mesyuarat atas talian dan menyiapkan kertas kerja dan menulis artikel sahaja. Aktiviti membaca buku atau apa sahaja bahan berilmiah juga boleh dikira sebagai satu aspek bekerja kerana ianya dapat menambah kemahiran dan ilmu pengetahuan malahan masa yang ada dimanfaatkan sebaiknya. Bagi golongan ketiga yang merasakan tertekan pula iaitu suami atau ketua keluarga yang perlu membeli barang di pasar kerana limitasi pergerakan iaitu seorang sahaja dibenarkan keluar membeli keperluan rumah. Bagi sang suami yang biasa berbelanja membeli keperluan untuk juadah, mungkin tiada isu besar untuk membeli barang keperluan. Tetapi bagi mereka yang hanya memberikan wang belanja kepada isteri setiap bulan akan mula merasai sedikit tekanan. Ini dapat dilihat melalui perkongsian di media sosial berkaitan kisah suami yang tidak boleh membezakan sayur-sayuran serta ikan dan bahan asas seperti bawang dan rempah ratus. Nampak melucukan tetapi inilah realiti masyarakat kita yang terlalu bergantung kepada wanita atau ibu rumah tangga. Maka pengajaran kepada ibu bapa dapat diambil untuk mula mendidik anak tidak kira jantinanya lelaki mahupun perempuan untuk dibiasakan berada di dapur dan sama-sama membantu menyiapkan juadah. Kemesraan dapat dieratkan melalui komunikasi antara ahli keluarga dan ini akan menjasi momen indah untuk dikenang suatu hari nanti. Golongan keeempat pula ialah ahli masjid yang berasa sedih kerana tidak dapat berjemaah di masjid dan menghadiri majlis ilmu. Perkara ini bukan sahaja untuk mereka yang beragama Islam, malahan bagi penganut agama lain seperti Kristian, Hindu dan Buddha juga merasakan tekanan. Ini kerana tempat-tempat seperti masjid, kuil, tokong dan gereja ini adalah tempat mereka bertemu rakan-rakan dan berbincang pelbagai isu semasa. Tetapi hikmah yang terjadi, ramai bapa yang boleh memantau ahli keluarga untuk solat berjemaah bersama-sama dan menjalankan aktiviti spiritual dengan mereka. Penggunaan teknologi juga boleh dilaksanakan untuk mendengar kuliah agama dan boleh diajak bersama ahli keluarga yang lain untuk mendengar sama. Bagi golongan yang kelima ini, iaitu mereka yang suka makan di luar dan melepak bersama rakan-rakan sehingga larut malam tetapi kini hanya boleh membeli dan makanan dibawa pulang. Kebiasaan mereka ini memesan makanan dan minuman sambil menonton bola dan berbual kosong. Pertemuan berlaku dengan bersemuka antara satu sama lain tetapi kini bertukar kepada sibuk menaik turun status di laman sosial seperti (Facebook dan Instagram) tentang aktiviti yang dilaksanakan di rumah. Bagi yang mempunyai ahli keluarga yang ramai mungkin waktu yang dihabiskan itu kurang dirasai. Tetapi bagi mereka yang tinggal keseorangan, kebosanan mula melanda mereka. Bagi mereka yang mengalami kebimbangan dan panik pula akan mudah terangsang untuk lebih berfikiran negatif. Kerisauan melanda diri mereka dan ada yang merasa takut dan risau untuk keluar dari rumah. Ada pula yang menjadi panik apabila membaca perkembangan wabak COVID-19 terutama berkaitan peningkatan kes dan juga kematian sehingga mereka merasakan virus ada di mana-mana sahaja. Maka mereka ini perlu mengurangkan sikap melihat perkembangan wabak malahan disarankan untuk berhubung atau berkomunikasi dengan mereka yang profesional seperti kaunselor dan mereka yang berfikiran positif. Ini akan membantu diri mereka menjadi lebih bersemangat dan mampu mengawal tekanan yang dihadapi. Golongan yang terakhir yang terkesan adalah pada anak-anak yang biasa dihantar ke taska atau yang sudah bersekolah. Mereka akan merasa jemu kerana tidak dapat keluar rumah dan berjumpa rakan-rakan untuk belajar, bermain dan juga makan di kantin bersama-sama. Mereka mula merasa bosan kerana terperap sahaja di dalam rumah. Maka di sini peranan ibu bapa atau ahli keluarga yang lebih dewasa perlu dimainkan. Melakukan aktiviti seperti bermain permainan berpapan seperti Saidina dan Sahibba sangat digalakkan. Selain itu, aktiviti mencuci kereta dan bercucuk tanam juga boleh dilakukan bersama anak-anak agar dapat menghilangkan kebosanan sehingga mereka merasa tertekan. Ajaklah mereka berjalan sekeliling rumah sebentar juga mampu menceriakan hati mereka. Manfaatkan waktu yang diberi dalam PKP ini untuk kita melihat semula institusi kekeluargaan kita. Moga selepas wabak COVID-19 berakhir, kehidupan berkeluarga akan menjadi lebih indah dan bahagia. Penulis adalah Pegawai Psikologi Kanan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Malaysia Pahang. |
- 316 views