Skip to main content
CREATE HEADER 2020

Info Sekitar Kampus

Ramadan dalam PKP penuh hikmah

BIL. 78 MEI 2020

Ramadan adalah bulan yang sangat indah dan cukup istimewa di hati orang umat Islam. Inilah bulan pendidikan dan bulan peningkatan iman, bulan mujahadah diri dengan modul latihan yang terbaik bagi melahirkan generasi yang mempunyai jati diri yang tinggi bagi berdepan dengan cabaran dalam kehidupan.

Namun bulan Ramadan yang disambut tahun ini agak berbeza berbanding tahun lalu yang dimeriahkan dengan amal ibadat secara berjemaah, pengimarahan masjid dengan majlis-majlis ilmu. Ia berubah serta-merta kerana penularan wabak COVID-19 yang melanda di seluruh dunia.

Bagi mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP), Muhammad Nazhif Mohd Azan, Ramadan kali ini memberi kesan yang positif buatnya dan keluarga apabila berpeluang menjalani ibadah berpuasa bersama keluarganya di Wakaf Baharu, Kelantan.

BIL. 78 MEI 2020

“Suasananya berbeza kerana sudah menjadi kebiasaan bagi keluarganya menyambut hari pertama Ramadan di kampung bersama-sama saudara mara terdekat, namun pada kali ini kami hanya mampu menyambutnya dengan keluarga kecil kami sahaja di rumah kerana perlu mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan demi keselamatan negara,” katanya.  

Menurut Muhammad Nazhif, pertama kali di Kelantan, masjid-masjid menjadi sunyi pada bulan Ramadan akan tetapi amalan yang kebiasaannya dilakukan di masjid masih diteruskan. Amalan itu diadakan di rumah masing-masing bersama sekeluarga bertarawih di rumah bersama ayah, ibu dan adik-beradik. 

Begitu juga tiada bazar Ramadan seperti kelaziman yang menghidangkan pelbagai juadah dan menu istimewa. Walaupun sambutan agak kurang meriah namun ia membawa seribu makna apabila dapat meluangkan lebih banyak masa bersama-sama keluarga.

Ujarnya, kelainan ini merupakan hikmah yang Allah SWT turunkan di antaranya diberikan peluang untuk lebih fokus terhadap amalan sunat dan memperbaiki diri menjadi lebih baik. Muhammad Nazhif bersyukur kerana dapat berpuasa bersama keluarga di rumah sendiri memandangkan lebih ramai lagi mahasiswa masih terkandas di universiti.

Begitu juga dengan Yasmin Izureen Ibrahim, beliau berkongsi kenangan seronok menjalani ibadah puasa bersama rakan-rakan di kampus dan berpeluang untuk membeli juadah berbuka di bazar Ramadan UMP yang dibuka di hadapan Kolej Kediaman 3. 

BIL. 78 MEI 2020

Beliau yang berada di kampung bersyukur kerana diberikan kesempatan untuk bersama-sama menyambut dan meraikan kedatangan bulan Ramadan pada kali ini bersama keluarga tercinta. 

Mengimbas kenangan semasa di kampus, pastinya berbuka puasa bersama rakan-amat amat dirindui. Apatah lagi ketika membeli juadah berbuka di bazar Ramadan UMP terletak di hadapan Kolej Kediaman 3.

Tambahnya, walaupun Ramadan pada tahun ini disambut ketika negara masih ‘berperang’ dengan wabak COVID-19, kita perlu memandang dari sudut positif dan mengadaptasi norma baharu ketika di dalam bulan Ramadan tahun ini. 

Sebagai contoh, jika sebelum ini solat tarawih diadakan di masjid dan surau, pada tahun ini kita masih boleh menunaikan solat tarawih di rumah.

Selain itu, disebabkan oleh ketiadaan bazar Ramadan pada tahun ini, kita boleh memasak di rumah bersama keluarga yang pastinya dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. 

Majlis-majlis ilmu juga masih dapat diadakan menggunakan platform media sosial sebagai contoh siaran langsung dalam aplikasi media sosial seperti Facebook dan Instagram.

Manakala bagi pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses, Muhammad Haziq Mohamad Nazri yang tinggal di kampus UMP keadaan ketika PKP turut memberikannya pengalaman baharu berbanding sebelum ini. 

Saban tahun pelajar tidak melepaskan mengekalkan tradisinya di bulan Ramadan dengan bergotong-royong menyediakan juadah berbuka puasa dan berbuka puasa beramai-ramai dengan talam di Masjid UMP Kampus Gambang dan UMP Pekan.

Namun, beliau tetap bersyukur kerana dikurniakan kesihatan yang baik dan lebuh menggembirakan mendapat perkhabaran ahli keluarganya juga dalam keadaan sihat. 

Ramadan kali ini juga sungguh istimewa kerana beliau apabila dapat mempelajari ilmu baharu, menjadi imam solat tarawih dan mencari hobi baharu.  

Sebagai mematuhi peraturan kesihatan dan keselamatan terutamanya dalam menjaga jarak sosial akibat penularan wabak COVID-19, tiada sebarang aktiviti dijalankan di masjid. 

Pihak Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) menganjurkan program secara atas talian melalui penganjuran Festival Ramadan yang menampilkan program Ramadan Challenge, Da’I Interaktif Challenge, Qiam On9 Challenge, Jom Tanya Pakar, Kuliah Dhuha, Khatam al-Quran, Nuzul Quran dan Siswi Circle bersesuaian dengan pelaksanaan PKP di negara kita.  


Akademik dan Antarabangsa

“Kami ok, jangan risau” – pelajar UMP di Jerman

VOL. 77 APR 2020

Pelajar Fakulti Pengurusan Industri Universiti Malaysia Pahang (UMP), Batrisyia Elena Roslan, 22, yang sedang menyambung pengajian di Jerman sejak 10 September tahun lalu bersama 11 mahasiswa lain kini berada dalam keadaan selamat.

Beliau meminta keluarga dan rakan-rakan di Malaysia tidak risaukannya kerana keadaan di tempat tinggalnya masih terkawal. 

Negara Jerman masih mencatatkan kadar jangkitan wabak COVID-19 antara lima tangga tertinggi dunia setakat ini.
 
Elena adalah antara 19 pelajar yang sedang mengikuti pengajian program dwiijazah hasil kerjasama UMP dengan dua institusi Jerman iaitu Karlsruhe University of Applied Science (HsKA) dan Hochschule Reutlingen University.

VOL. 77 APR 2020

Setelah dua tahun menuntut di UMP, kini Elena berada di Hochschule Reutlingen University selama dua tahun dan dijangka kembali ke Malaysia pada Disember tahun depan. 

Turut bersamanya termasuklah Abdufotikh Akhmedov, Syukri Aiman Abdul Rahman dan Darshinii Manikam.

Menurut Elena, pengkuliahan di sini dilakukan secara atas talian pada waktu sekarang. 

“Kami menggunakan platform seperti Zoom, Microsoft Teams dan juga Webex. 

“Tarikh pengkuliahan secara fizikal masih dalam perbincangan pihak universiti dan kerajaan negeri Baden-Württemberg,” katanya.
 
Beliau berkata, pada waktu permulaan pandemik, beliau menghadapi kesukaran untuk membeli roti. 

“Namun barang keperluan asas masih mudah untuk didapati. Di sini tiada sekatan pergerakan (lockdown), namun digalakkan untuk duduk di rumah. 

“Kedai kebanyakannya masih belum dibuka dan kedai makanan hanya dibenarkan untuk take away sahaja.
 
“Kebajikan pelajar di sini turut dijaga baik oleh kedua-dua universiti. Mereka sentiasa bertanya khabar berita kami di sini,” katanya.

Malah katanya lagi, mereka juga telah menerima pelitup muka dan makanan daripada UMP, antaranya makanan seperti sardin dan biskut.
 
Pada waktu ini, beliau dan rakan-rakan memanfaatkan masa ini dengan mempelajari bahasa Jerman khasnya sebagai persediaan untuk menduduki peperiksaan TestDaF tahun ini serta melakukan senaman secara individu di dalam bilik. 

Elena turut menasihatkan para pelajar sama ada di Malaysia atau pun yang menuntut di negara lain untuk bersabar dengan situasi penularan Covid-19 yang melanda banyak negara.
 
“Sibukkan diri dengan perkara yang dapat memanfaatkan diri sendiri di samping mempertajamkan bakat yang dimiliki,” ujarnya. 

Beliau yang sentiasa berpandangan positif dan melihat situasi ini sebagai satu peluang di samping bersama-sama berdoa agar dipermudahkan urusan dan situasi ini akan berakhir secepatnya. 

Beliau turut berkongsi pengalaman pertama berpuasa di perantauan dengan tempoh berpuasa yang panjang selama 17 jam.

VOL. 77 APR 2020

Sementara itu, alumni UMP, Syakiela Ahmad, 24 yang berasal dari Kuala Lumpur telah menetap lebih tiga tahun di Jerman. 

Beliau yang telah mengikuti program dwiijazah UMP-Reutlingen University itu ini sedang mengikuti program Pre-Master di Robert Bosch GmbH, Stuttgart. 

Di sini beliau perlu bekerja selama satu tahun untuk menimba pengalaman industri sebelum menyambung pengajian di peringkat sarjana. 
 
Berdepan dengan situasi wabak Covid-19, menurutnya setakat ini masih terkawal, hanya dua orang maksimum boleh keluar bersama, dengan syarat pasangan suami isteri atau pasangan rapat.
 
Ujarnya, di Stuttgart, aktiviti beriadah masih dibenarkan dengan syarat tiada perkhemahan. 

“Namun, bercuti tidak dibenarkan malahan hanya perjalanan sehari tanpa hotel masih dibenarkan. 

“Semua kedai masih dibuka dan tiada masalah mendapatkan bekalan asas namun tiada pusat membeli-belah dibuka. 

“Selain itu, sempadan negara Jerman masih ditutup setakat ini untuk keluar negara.
 
“Kebanyakan pekerja diberi arahan untuk mengurangkan masa bekerja, iaitu standard adalah 35 jam seminggu namun pada masa ini dikurangkan kepada 27 jam tanpa gaji,” katanya. 

Beliau lega apabila program pre-Master tidak termasuk dalam peraturan ini,” katanya berkongsi pengalaman bekerja di Jerman.
 
Akibat penularan wabak Covid-19, semua pekerja juga perlu melaksanakan Home Office (Work from Home) yang berkemungkinan dilanjutkan sehingga bulan Mei depan berbanding sebelum ini beberapa syarikat melaksanakan Home Office pada setiap hari Jumaat.  
 
Bagi mengisi aktivitinya, Syakiela masih boleh berbasikal ke tasik, taman dan indoor gardening mahupun beriadah di kawasan pergunungan. 

Menjelang Ramadan ini beliau banyak memasak di rumah seperti rendang, kari, gulai, tomyam semuanya mudah diperoleh melainkan ikan kerana kebanyakan yang ada di sini hanya jenis salmon.
 
Berkongsi pengalaman di sini, menurutnya orang Jerman turut menyediakan makanan percuma buat gelandangan (homeless). 

Dalam pada itu, mereka juga mudah untuk mendapatkan rawatan atau perubatan memandangkan sistem di sini menetapkan temu janji dan kita tidak akan nampak ramai berada dalam satu masa di mana-mana klinik.
 
Negara Jerman mengambil langkah kembali normal baru-baru ini dengan membenarkan kedai kecil di beberapa wilayah dibuka semula setelah penutupan dalam tempoh sebulan, apabila negara itu mengisytiharkan COVID-19 ‘dalam kawalan’. 

Selain itu melarang perhimpunan lebih dua orang dan syarat untuk berdiri lebih dari 1.5 meter daripada yang lain dalam kawasan awam tetap dilaksanakan.


Info Sekitar Kampus

Pasangan rusa peliharaan UMP lahir anak kedua

VOL. 77 APR 2020

Pasangan rusa dikenali sebagai Pekan dan Chini yang dipelihara di Mini Deer Park di dalam kampus Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Pekan kini melahirkan anak kedua pada 22 April 2020, tepat jam 7.00 pagi dengan berat 7kg selepas kelahiran anak pertama pada Jun tahun lalu.

Tiga tahun lalu, UMP telah menerima pasangan Rusa Bintik atau dikenali dengan nama Saintifik Axis-Axis sumbangan daripada Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sebagai usaha menjadikan universiti sebagai pusat pelancongan pendidikan (Edu-Tour). 

Projek ini merupakan salah satu daripada 30 komponen Strategi Pemantapan Serambi-Bandar Pekan-Kuala Pahang.  

Menurut Ketua Unit Kelestarian dan Penghijauan Kampus UMP, Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH), Ts. Mohd Nurulakla Mohd Azlan, kehadiran pasangan rusa ini menjadi daya tarikan kepada pengunjung memandangkan ia terletak berdekatan laluan pintu masuk UMP dan laluan ke Kuala Pahang.

“Rusa merupakan haiwan ternakan yang mudah membiak dan kaedah menternak rusa bukanlah sesuatu yang sukar kerana haiwan itu tidak perlu mempunyai penjagaan yang rapi.

“Rusa ini kami hanya memberi makan tiga kali sehari. Makanan utama rusa ini adalah palet yang kaya dengan nutrisi bagi menjamin kesihatannya. 

“Selain itu, rusa tersebut turut diberi makanan dari sumber tumbuhan di dalam UMP seperti daun pokok Akasia dan rumput Napier,” katanya.

Kebiasaannya, ia memerlukan sekitar 10 hingga 15kg daun pokok Akasia dan rumput Napier. 

Malahan di sekitar UMP Pekan terdapat lebih 2,000 pokok Akasia dan pada masa yang sama rumput Napier juga turut ditanam di dalam kawasan UMP.

Dalam pada itu, kandang rusa dibersihkan seminggu sekali bagi menjamin keselesaan rusa-rusa ini di kandang. 

Pihak universiti sedang dalam perancangan untuk meluaskan lagi kawasan ini selain menambah baik kandang rusa yang sedia ada.

Pihaknya mendapat kerjasama baik daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pahang yang diketuai oleh Dr. Khairul Anuar Muhamad yang merupakan Pegawai Veterinar, Bahagian Kesihatan Veterinar bagi memantau anak serta ibu rusa dalam keadaan sihat.

UMP sentiasa menitik beratkan keseimbangan dalam teknologi bagi menjamin kehidupan flora dan fauna bagi menjadikan universiti ini sebagai kampus lestari.  


Penyelidikan dan Inovasi

Amalkan penjagaan diri dan kebersihan

VOL. 77 APR 2020

Oleh: TS. DR. NORASHIKIN MAT ZAIN, FAKULTI TEKNOLOGI KEJURUTERAAN KIMIA DAN PROSES

Sentiasa amalkan penjagaan diri dan kebersihan dalam kehidupan seharian memandangkan banyak permukaan yang kita sentuh terdedah kepada bakteria atau virus yang boleh menjadi punca penyebab penyakit. 

Bakteria atau virus boleh melekat di tangan ketika berjabat tangan, memegang pemegang pintu, paip, perkakas dapur, peralatan tandas dan lain-lain. 

Tangan boleh bertindak sebagai ejen pemindahan bakteria atau virus apabila menyentuh muka terutama mata, hidung atau mulut. 

Membasuh tangan merupakan salah satu langkah penting yang boleh kita ambil untuk mengelakkan penyebaran penyakit. 

Tindakan mencuci tangan dengan sabun perlu dijadikan amalan seharian, bukan hanya untuk mencegah penularan wabak COVID-19 semata-mata.
 
Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses Universiti Malaysia Pahang (UMP), Ts. Dr. Norashikin Mohd Zain berkata, budaya membasuh tangan hendaklah dipraktikkan dalam kalangan semua peringkat umur. 

“Kanak-kanak khususnya mudah terdedah pada penyakit berjangkit kerana mereka kurang berhati-hati ketika menggosok mata atau mengesat hidung selepas menyentuh benda atau individu lain. 

“Mereka juga perlu dididik mengenai kepentingan membasuh tangan dengan cara yang betul terutama sebelum makan dan selepas penggunaan tandas.
 
“Sebagai ibu bapa kita juga perlu mempunyai kesedaran dalam menjaga kebersihan tangan dan berperanan dalam mendidik anak-anak mereka. 

“Amalan membasuh tangan dengan cara yang betul juga patut diteruskan contohnya di pusat jagaan kanak-kanak,” katanya.

Tambah beliau lagi, ini kerana kanak-kanak prasekolah mudah terdedah kepada penyakit yang mudah merebak apabila bergaul antara mereka. 

“Ia juga perlu diterapkan di sekolah-sekolah bagi menjaga kesihatan pelajar. Begitu juga apabila berada di rumah semasa bersama anak kecil, para ibu digalakkan membasuh tangan selepas menukar lampin bayi.
 
“Tangan kita mungkin kelihatan bersih, tetapi ini tidak bermakna ia bebas dari mikro organisma berbahaya. 

“Semua orang mengetahui membasuh tangan itu penting khususnya dalam menghalang penularan jangkitan penyakit. 

“Namun, sejauh mana kita mempraktikkan kaedah membasuh tangan yang betul? Membasuh tangan dengan sabun dan air adalah cara terbaik untuk menyingkirkan kotoran, bakteria atau virus daripada permukaan kulit. 

“Tangan yang bersih dapat mengelakkan penyebaran mikroorganisma antara individu kepada individu yang lain,” katanya.
 
Menurut beliau, terdapat juga banyak produk pembersihan atau pencuci di pasaran dan kita perlu mengetahui setiap produk mempunyai kandungan dan fungsi yang berbeza serta bergantung kepada kesesuaian kulit pengguna.
 
Beliau yang mempunyai pengalaman dalam penyelidikan lebih sepuluh tahun di UMP turut berkongsi kejayaan penghasilan tiga produk berkaitan pencuci iaitu pencuci tangan anti mikrob, pembersih badan anti mikrob (antimicrobial body wash) dan semburan pembersih ruang (antimicrobial spray) di bawah jenama Aureiz keluaran Syarikat Medieva Sdn. Bhd. dengan pembiayaan geran Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUBERB) di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).

Menurutnya, produk pencuci tangan yang dihasilkan ini menggunakan bahan anti mikrob yang selamat dan dapat membersihkan tangan dari kotoran, bakteria atau virus penyebab penyakit. 

“Ia menggunakan formulasi lembut yang membersihkan kulit tanpa mengeringkan kulit. Pencuci tangan ini terdapat dalam pelbagai pilihan aroma yang menenangkan seperti lavender dan vanila.
 
“Manakala bagi pembersih badan ia terdapat dalam pelbagai pilihan aroma yang menenangkan seperti lavender, ros dan vanila. 

“Terdapat perbezaan produk pembersih badan ini berbanding produk lain iaitu produk ini tidak mengandungi sodium lauryl sulfate (SLS), sodium laureth sulfate (SLES), paraben atau alkohol. 

“Natural surfactant digunakan untuk penghasilan buih. Ia selamat untuk pengguna dan bahan-bahan yang digunakan juga memelihara alam sekitar. Bahan antimicrobial yang terdapat di dalam produk ini membantu membunuh kuman,” ujar beliau. 
 
Bagi membantu membunuh bakteria di permukaan dan ruang, pihaknya menghasilkan semburan anti mikrob. 

Ia terdiri daripada cairan yang mengandungi beberapa bahan anti mikrob bagi membasmi kuman. 

Malahan cairan ini mengandungi ekstrak semula jadi bagi menggantikan penggunaan bahan kimia untuk memberikan bau yang harum. 

Semburan anti mikrob ini juga boleh digunakan untuk menyembur kawasan seperti di ruang tamu, bilik tidur, tilam, tandas, permainan anak-anak, kawasan tong sampah, di dalam kereta atau di mana-mana permukaan untuk tujuan pembersihan. 

Semburan anti mikrob ini terdapat dalam dua pilihan bau yang menyegarkan iaitu lavendar dan vanila.
 
Ketiga-tiga produk ini telah mendapat kelulusan notifikasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari Biro Pharmasitikal dan juga telah lulus Recognition Programme untuk Lab Tested dari agensi Bioeconomi Corporation bagi mengesahkan kandungan bahan-bahan adalah selamat.

Beliau menasihatkan orang ramai sentiasa menjaga kebersihan diri, keluarga dan persekitaran. 

Bagi penjagaan diri amalkan tujuh langkah yang perlu diikuti untuk membasuh tangan dengan cara yang betul seperti yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu membasuh tangan dengan sabun dan air yang bersih secukupnya, gosok tapak tangan, setiap jari dan celah-celah jari dan gosok kuku pada tapak tangan juga belakang tangan. 

Setelah itu, bilas dengan air bersih yang mencukupi dengan sempurna dan keringkan tangan dengan tuala yang kering dan bersih atau alat pengering tangan.


Artikel/Rencana Pilihan

Sambung Belajar Itu Mudah

BIL. 78 MEI 2020

Oleh: DR. HASNAH HUSSIIN
e-mel: hasnah@ump.edu.my.

BIL. 78 MEI 2020

Tuntutlah ilmu walau sehingga ke negeri China. Itu adalah perumpamaan yang menunjukkan betapa pentingnya menuntut ilmu dalam kehidupan kita. Menuntut ilmu itu tiada noktah, iaitu bukan tamat setelah anda menggenggam ijazah, tetapi ilmu perlu dicari setiap masa. Dewasa ini sudah ramai rakyat Malaysia yang berjaya menyambung pengajian sehingga ke peringkat sarjana muda sama ada di dalam atau luar negara. 

Berbeza dengan zaman 1980-an, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) sudah cukup untuk seseorang itu mencari pekerjaan. Kini tidak lagi kerana memegang segulung ijazah sarjana muda belum boleh menjanjikan anda mudah mendapat pekerjaan. Dewasa ini, seseorang itu perlu mempunyai tahap pendidikan yang lebih tinggi bagi membolehkan mereka bersaing dalam dunia pekerjaan yang lebih mencabar.
 
Isu yang mungkin bermain di fikiran generasi muda adalah menyambung pengajian itu sesuatu yang membebankan. Jika anda memikirkan tentang yuran, anda silap kerana dewasa ini jika anda kakitangan kerajaan, maka majikan akan menanggung segala perbelanjaan pengajian anda. Terdapat juga majikan yang bukan badan kerajaan yang memberikan peluang kepada stafnya untuk menyambung pengajian dengan pelbagai insentif. Pihak universiti juga turut menyediakan pelbagai kemudahan kewangan untuk membiayai pengajian anda. Jadi, yuran bukan masalah besar untuk menyambung pengajian.
 
Perkara yang kedua perlu diberi perhatian adalah pengajian peringkat sarjana (masters) dan Doktor Falsafah (PhD) itu sebenarnya lebih mudah dari peringkat Sarjana Muda. Anda bayangkan semasa di peringkat sarjana muda anda perlu mengambil banyak subjek yang berlainan dengan jumlah kredit yang tertentu. Secara amnya, ia sangat mencabar minda, masa dan tenaga kerana anda harus menguasai semua subjek tersebut dalam satu semester. Tetapi pada peringkat sarjana dan PhD anda hanya perlu menguasai beberapa subjek sahaja dan jika penyelidikan sepenuh masa, maka anda hanya tertumpu kepada satu isu dalam bidang yang anda minati. Jadi anda akan jadi seorang pakar dalam bidang anda sahaja. Pengajian juga lebih terfokus. Tidakkah ini akan memudahkan anda?
 
Bagi mereka yang telah melalui pengajian peringkat sarjana atau PhD, sudah pasti akan ada isu jangka masa pengajian yang akan mengambil masa yang agak panjang mungkin dalam masa tiga tahun, empat tahun atau lima tahun. Ada juga sampai tujuh dan sepuluh tahun bagi peringkat PhD. Bagi sesetengah individu jangka masa ini sungguh menakutkan dan mematahkan semangat untuk mereka menyambung pengajian. Soalannya, pernahkah kita dengar ada pelajar yang mampu menamatkan pengajian peringkat Sarjana atau PhD dalam masa dua tahun? Percaya atau tidak perkara ini memang wujud. Cuma kebanyakan kita sering ditakutkan dengan sesetengah individu yang gagal tidak sempat habiskan pengajian dan juga jangka masa untuk tamat yang memakan masa sehingga lima hingga tujuh tahun. Dalam hal ini, kita perlu berfikiran positif dan perlu tahu bahawa setiap individu itu mempunyai kebolehan, nasib dan rezeki yang berlainan. Isunya adalah kita mampu menamatkan pengajian dalam masa yang singkat jika kita mempunyai pelan pengajian yang teratur dan juga penyelia yang cekap menyelia pelajarnya.

Kepada bakal pelajar sarjana atau PhD sebenarnya ada jalan yang mudah untuk diikuti bagi memastikan kita tamat pengajian dalam masa yang telah ditetapkan ataupun lebih awal dari itu. Berikut dikongsi di antara tips khusus untuk pelajar yang mengambil mod penyelidikan sepenuh masa. Antaranya ialah disiplin. Dalam hal ini, diri kita sendiri perlu mempunyai disiplin yang tinggi jika kita mahu menyambung pelajaran sehingga ke tahap ini iaitu PhD. Jika kita tidak berdisiplin, maka pengajian kita akan terhenti di tengah jalan dan kita juga tidak ada semangat untuk meneruskan pengajian. Disiplin sangat penting kerana tanpa disiplin yang ketat masa pengajian banyak terbuang begitu sahaja. Dalam hal ini, seseorang pelajar itu perlu membuat jadual aktiviti yang perlu dilakukan setiap hari. Dengan membuat jadual, seseorang pelajar akan tahu arah tuju, apa yang perlu dilakukan, di mana harus bermula, bilakah masa untuk mengumpul data, menganalisis data dan sebagainya. Apa yang hendak ditekankan di sini adalah pelajar perlu mempunyai jadual kerja yang khusus sebagai pelajar pasca siswazah yang bekerja menyiapkan tugasan mengikut garis masa yang telah ditentukan.
 
Selain dari itu, kita juga perlu mempunyai minat yang tinggi untuk menyambung pelajaran, jangan sambung belajar kerana paksaan majikan atau kerana melihat orang lain sambung belajar maka kita pun harus sambung belajar. Apabila seseorang itu minat untuk belajar, secara tidak langsung dia juga akan rajin berusaha dan tidak patah semangat. Dewasa ini ramai yang sambung belajar sebab desakan majikan semata-mata, maka didapati ramai yang tidak mampu memikul tanggungjawab untuk menghabiskan pengajian.
 
Selain itu, peranan penyelia (supervisor) adalah sangat penting. Oleh itu, sebelum kita memilih untuk menyambung pengajian, pemilihan penyelia adalah sangat penting. Seseorang pelajar sepatutnya terlebih dahulu membuat serba sedikit kajian tentang penyelia yang ingin kita pilih. Selidik dahulu latar belakangnya, terutamanya tentang pelajar di bawah seliaan beliau, adakah beliau menjalankan kerja-kerja penyeliaan dengan baik dan berdisiplin terhadap skop kerja beliau sebagai penyelia? Dalam hal ini, kesilapan memilih penyelia juga akan memberikan kesan kepada jangka masa pengajian seseorang pelajar.
 
Langkah seterusnya adalah seseorang pelajar itu perlu tahu apa yang hendak dibuat atau dikaji. Pengajian PhD yang memfokuskan kepada 100 peratus penyelidikan sepenuh masa sesungguhnya memerlukan adanya satu panduan yang khusus kerana tanpa panduan yang khusus ramai yang kandas di tengah jalan dan ada juga yang memakan masa sehingga lima tahun hingga sembilan tahun untuk disiapkan. Sebab itulah sering kali terdengar desas-desus orang bercakap PhD itu seumpama Permanent Head Damage. Menakutkan bukan? Dalam hal ini, apa yang perlu kita fikirkan dan lakukan adalah jangan buat kajian yang tidak pernah orang buat, jangan buat kajian seolah-olah kita nak ubah dunia, jangan buat kajian yang tajuknya menarik tetapi kita sendiri tak tahu nak membuat, jangan buat tajuk yang menarik, tapi susah untuk mendapatkan bahan dan responden dan jangan buat kajian yang kita sendiri tidak mampu untuk membuat kerana batasan waktu, tenaga dan wang ringgit.
  
Pesanan penulis, buatlah kajian yang biasa-biasa saja, mudah untuk kita buat kajian, bahan semua ada, mudah untuk dapatkan responden dan kita tahu proses untuk melakukannya. Kita mesti tahu setiap proses yang akan berlaku dalam kajian kita sehingga tamat kajian. Dalam hal ini, biar kajian kita tajuknya ringkas dan padat, kita mudah menyiapkan dan mempunyai impak yang besar kepada masyarakat dan negara. Kadang-kadang kita tak perlu pun menyambung pengajian di luar negara jika tidak mampu, kerana syarat asas untuk berjaya dalam sarjana atau PhD adalah diri kita sendiri.
 
Marilah kita bersama menyahut seruan kerajaan bagi membentuk Malaysia negara maju dengan menjadikan diri kita warganegara yang berkepakaran tinggi bagi merealisasikan Revolusi Industri 4.0 tidak lama lagi.
 
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang (UMP). 

FOOTER CREATE 2020

Newsletter Image
BIL. 78 MEI 2020