Skip to main content

3,000 Botol Air Diserahkan kepada Pelajar UMPSA

GAMBANG 2 NOVEMBER 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menyerahkan sebanyak 3,000 botol air minuman kepada para pelajar sebagai sebahagian daripada inisiatif kebajikan dan kelestarian universiti sempena Majlis Perasmian Ekspokonvokesyen ke-20.

Majlis penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato' Seri Abdul bin Jaafar sebagai simbol komitmen universiti dalam menyokong kesejahteraan pelajar serta menggalakkan amalan lestari di kampus.

Turut serta, Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha, Penolong Naib Canselor (Pembangunan), Professor Dr. Mahadzir Ishak@Muhammad dan Pengarah Pusat Pembangunan Kelestarian, Dr. Suhaidah Hussain. 

3,000 Botol Air Diserahkan kepada Pelajar UMPSA

Menurut Professor Ts. Dr. Yatimah, inisiatif pemberian botol air ini bukan sahaja bertujuan membantu keperluan asas pelajar, malah turut menyokong usaha universiti dalam mengurangkan penggunaan plastik sekali guna selaras dengan agenda kampus hijau dan pembangunan lestari.

“UMPSA sentiasa prihatin terhadap kebajikan pelajar. 

“Melalui pemberian botol air ini, kami berharap pelajar dapat membudayakan penggunaan botol guna semula sekali gus menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar.

“Semoga inisiatif seumpama ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa sebagai usaha berterusan universiti dalam membentuk komuniti kampus yang lestari, berdaya tahan dan sejahtera,” katanya.

Manakala menurut Dr. Suhaidah, Majlis Ekspo Konvokesyen kali ini menerapkan konsep Reduce, Reuse dan Recycle (3R) sebagai sebahagian daripada komitmen UMPSA terhadap kelestarian alam sekitar.

“Pihak universiti telah menyediakan tong sampah 3R di lokasi strategik sepanjang penganjuran majlis, selain menggalakkan para peniaga dan pengunjung untuk mengamalkan pengurangan sisa, penggunaan bahan mesra alam serta pengasingan sisa dengan betul. 

“Usaha ini bertujuan untuk mengurangkan jumlah sisa pepejal yang dihantar ke tapak pelupusan, di samping memupuk kesedaran warga kampus dan masyarakat terhadap kepentingan amalan kelestarian dalam penganjuran acara berskala besar. 

“Pelaksanaan inisiatif ini turut mendapat kerjasama dari Kelab Eco Nexus UMPSA,” katanya.

3,000 Botol Air Diserahkan kepada Pelajar UMPSA

Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Pembangunan Lestari (SDG)

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim