Keindahan pokok Tecoma, ibarat Sakura di Jepun serikan UMPSA Pekan
PEKAN, 11 April 2025 – Keindahan pokok Tecoma merah muda yang sedang mekar sekitar kampus Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Pekan menarik perhatian warga kampus dan para pengunjung.
Suasana indah ini memberikan gambaran seolah-olah berada di negara Jepun yang terkenal dengan bunga Sakura.
Kehadiran deretan pokok Tecoma yang berbunga lebat bukan sahaja mencantikkan persekitaran, malah menjadi latar bergambar pilihan pelajar dan staf universiti.
Pokok Tecoma yang berbunga lebat di sepanjang jalan utama kampus dan sekitar kawasan asrama mencipta panorama yang cukup memukau dan menjadikan ia sebagai lokasi pilihan untuk merakam gambar kenangan.
Menurut Nurul Syahidah Nor Ibrahim, Pembantu Tadbir, Pejabat Naib Canselor (PNC), setiap tahun beliau akan tunggu musim ini tiba.
“Rasa tenang sangat bila berjalan di bawah pokok-pokok ini, macam berada di luar negara,” katanya.
Pihak universiti turut menggalakkan warga kampus untuk menghargai keindahan alam ini dengan menjaga kebersihan dan tidak merosakkan kawasan sekitar.
Fenomena bunga Tecoma ini dijangka bertahan selama dua hingga tiga minggu, bergantung kepada keadaan cuaca.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 109 views