PBM UMPSA komited laksana Gotong-royong Perdana EKSA Siri 1
PEKAN, 12 Februari 2026 – Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan Gotong-royong Perdana (Big Cleaning Day) EKSA Siri 1 Zon PBM 2026 yang berlangsung di Bangunan Pusat Bahasa Moden (PBM), UMPSA Pekan bermula jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang.
Program ini dilaksanakan selaras dengan perancangan yang telah ditetapkan oleh Pusat Pengurusan Strategik dan Kualiti (PPSK) sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) peringkat universiti bagi tahun 2026.
Penetapan tarikh tersebut menjadi punca kuasa pelaksanaan Big Cleaning Day di setiap zon, termasuk Zon PBM bagi memastikan penyelarasan, pemantauan dan pemerkasaan amalan EKSA dapat dilaksanakan secara menyeluruh, sistematik dan berimpak tinggi.
Inisiatif ini memberi fokus kepada usaha mewujudkan persekitaran kerja yang bersih, teratur dan kondusif selaras dengan agenda universiti dalam memperkasa amalan hijau serta pengurusan sisa secara mampan.
Bermula dengan sesi pendaftaran dan taklimat oleh Jawatankuasa Unit EKSA PBM, diikuti Sesi Perkongsian Pengurusan Aset oleh Marziah Ramli yang menekankan pengurusan aset secara sistematik, kemas kini rekod dan tatacara pelupusan aset rosak dan lusuh secara teratur serta sesi ‘SFR – Safe, Flex & Ready!’ oleh Mohd Shafeirul Zaman Abd Majid yang memfokuskan aspek keselamatan, fleksibiliti ruang kerja dan kesiapsiagaan warga.
Seterusnya, ahli Zon EKSA PBM melaksanakan aktiviti mengemas stor, mengenal pasti aset untuk pelupusan dan mengasingkan bahan kitar semula sebelum pengumpulan akhir dibuat.
Menurut Dekan PBM, Profesor Madya Dr. Zuraina Ali, program sebegini memainkan peranan penting dalam membentuk budaya kerja yang lebih berdisiplin dan bertanggungjawab.
“EKSA bukan hanya tentang kebersihan fizikal ruang kerja, tetapi tentang membina budaya kerja yang sistematik dan mampan.
“Apabila warga memahami kepentingan pengurusan aset dan pengurangan sisa, ia memberi impak jangka panjang terhadap kecekapan operasi dan kesejahteraan organisasi.
“Usaha berterusan seperti ini menyokong aspirasi UMPSA ke arah kampus lestari dan pengurusan persekitaran yang lebih efisienm” ujarnya.
Sementara itu, Guru Bahasa Jerman PBM, Amir Haikal menyifatkan program ini sebagai platform yang mengeratkan hubungan sesama warga kerja.
“Program ini memberi kesedaran secara praktikal.
“Apabila kita sendiri terlibat dalam menyusun, mengasing dan mengenal pasti bahan untuk dilupuskan atau dikitar semula, kita lebih menghargai kepentingan pengurusan sumber secara berhemah.
“Semangat gotong-royong yang terjalin juga mengukuhkan kerjasama dalam pasukan,” ujarnya.
Penganjuran Gotong-royong Perdana EKSA Siri 1 ini menjadi langkah awal bagi tahun 2026, dengan siri kedua akan memfokuskan program kitar semula sebagai kesinambungan pembudayaan amalan kerja lestari dalam kalangan warga PBM.
Inisiatif ini selaras dengan aspirasi universiti ke arah kampus lestari serta pengurusan yang cekap dan berkualiti.
Disediakan Oleh: Fathiah Izzati Mohamad Fadzillah, Jamilah Bebe Mohamad dan Amy Zulaikha Mohd Ali, Pusat Bahasa Moden (PBM)
- 19 views
Reports by: