Program Roadshow BKNS 2026 himpunkan lebih 300 mahasiswa di UMPSA
GAMBANG, 3 Mei 2026 – Program Roadshow Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) 2026 berjaya menghimpunkan lebih 300 mahasiswa dalam satu sesi interaksi bersama agensi kerajaan negeri di Astaka, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Kampus Gambang.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Datuk Haji Mohd Arif.
Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Norlija Danin; Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah, Datuk Malai Ali Malai Ahmad; serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam Sabah, Datuk Ramlan Awang Ali.
Hadir sama, Pengarah Kanan Strategi dan Pengembangan Akademik UMPSA, Profesor Ts. Dr. Che Ku Mohammad Faizal Che Ku Yahya; Pengarah Kanan Pembangunan Fasiliti Pelajar UMPSA, Ts. Dr. Azri Alias; Ketua Penolong Setiausaha Kanan Pejabat Tugas-tugas Khas, Awang Ku Raimy Pg. Abdul Rahman; serta Pengurus Kumpulan Bahagian Pembangunan Pendidikan Yayasan Sabah, Tuan Haji Asman Haji Dulamid.
Selain itu, turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah, Ismail Mohd Adnan; Pengarah Bahagian Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah merangkap Penyelaras Program Roadshow BKNS Zon Pantai Timur 2026, Emas Sanjongan Datu Okar; Pengarah Kanan Perkhidmatan Akademik, Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa UMPSA, Ernie Nurazlin Lizam; serta Pengarah Program Roadshow UMPSA, Muhamad Faisal Rachman.
Seramai 180 pelajar UMPSA dan 157 pelajar dari universiti lain termasuk DRB-HICOM University of Automotive Malaysia, Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah (UNIQSAAS) serta Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan telah menyertai program ini.
Program ini bertujuan memberi peluang kepada pelajar Sabah untuk berinteraksi secara langsung dengan pihak kerajaan negeri, di samping mendapatkan maklumat berkaitan tajaan pendidikan serta memantau kebajikan pelajar.
Dalam ucapan perasmian, Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Mohd Arifin menzahirkan pelbagai inisiatif negeri yang telah diberikan bagi memastikan kebajikan mahasiswa Sabah terus terpelihara, termasuk sokongan dari aspek pendidikan dan bantuan berkaitan.
Sementara itu, Muhamad Faisal dalam ucapannya menegaskan, ‘Rumah kita, kita jaga’ dan slogan tersebut bukan sekadar kata-kata tetapi satu prinsip yang dizahirkan melalui tindakan kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan mahasiswa perantau.
“Pelbagai bentuk bantuan telah disediakan oleh kerajaan negeri, bermula daripada sokongan yuran pengajian sehinggalah kepada bantuan penerbangan.
“Sebagai wakil mahasiswa Sabah, saya menyeru kepada semua sahabat agar menghargai setiap usaha dan peluang yang diberikan.
“Yakinlah bahawa setiap bantuan ini adalah tanda kepercayaan negeri kepada kita untuk melangkah lebih jauh dan mencapai impian menggenggam segulung ijazah,” katanya.
Pelbagai agensi terlibat dalam sesi taklimat termasuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS), Yayasan Sabah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Pejabat Tugas-tugas Khas Sabah, Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah, serta Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS).
Dalam program sama, MUIS turut menyampaikan sumbangan ihsan kepada para pelajar yang hadir.
Pihak Sekretariat Mahasiswa Anak Sabah dan Sarawak (SMASS) merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini dan berharap inisiatif seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan.
Oleh: Muhammad Luqman Al-Haqim Mahazam, Mahasiswa-Mahasiswa Negeri Sabah 2026
- 27 views