Skip to main content

Semaian Subur dedah pengalaman kampus

Kelab InSmartive Universiti Malaysia Pahang ( UMP) menganjurkan Projek Semaian Subur dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA) dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) universiti ini. 

Program disertai oleh 89 orang pelajar  terbaik Tingkatan 5 dan 6 yang dipilih mewakili 19 buah sekolah sekitar  kawasan Kuantan dan Pekan. Antara sekolah yang terlibat adalah SMK Sultan Abu Bakar, SMK Sains Sultan Haji Ahmad Shah, SMK Seri Pekan, SMK Ahmad dan lain-lain. 

Objektif utama program ini adalah untuk memetakan halatuju akademik pelajar dalam menentukan masa depan mereka secara lebih efektif. Selain itu, ia dapat memberi pendedahan awal kepada pelajar akan suasana kehidupan di kampus. 

Presiden Kelab InSmartive, Muhammad Aizat Azed berkata, konsep program ini adalah mengibaratkan pelajar sebagai benih yang mana mereka perlu dididik mengikut kaedah yang betul supaya dapat mencorak masa hadapan yang gemilang. 

"Mereka ini seolah seperti benih -benih yang akan kami semai dengan sebaiknya supaya dapat tumbuh menjadi insan yang bermanfaat dan berjasa kepada agama dan negara,” katanya. Program yang berlangsung selama tiga hari ini  melibatkan seramai 30 ahli kelab sebagai fasilitator. 

Pengisian membabitkan sesi perkongsian ilmu bersama tokoh dan alumni UMP, lawatan di sekitar kampus, teknik berkesan dalam menyelesaikan tugasan dan proses membuat keputusan.

Dalam program ini, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato' Dr. Yuserrie Zainuddin turut berkongsi pengalaman hidup beliau dalam mencapai kejayaan. 

“Menggunakan teknik simulasi dalam kelas sebagai medium penyampaian. Kaedah  ini memerlukan pelajar hadir di dewan kuliah serta mengisi borang kehadiran seperti situasi sebenar. Ini membolehkan  pelajar merasai suasana berada di dalam kampus secara nyata,” katanya.

Sementara itu, Pengarah program, Siti Nurnabirah Amran dari Fakulti Pengurusan Industri berharap para pelajar dapat mempraktikkan apa yang dipelajari sepanjang berprogram supaya dapat menguruskan masa hadapan dengan lebih baik.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif UMP Holdings Sdn Bhd., Tuan Syed Mohamad Hamzah al-Junid Syed Abdul Rahman yang juga merupakan penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen kali ke-2 UMP. Peserta turut berpeluang berkunjung Ke Karnival Pendidikan Tinggi Negara ‘Jom Masuk IPT’ yang berlangsung di Kompleks Sukan UMP.

Disediakan oleh Nur Laila Afandi dari Pejabat Naib Canselor dan disunting oleh Bahagian Komunikasi dan Korporat.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nur Laila binti Afandi