UMPSA anjur program perkasa kerjaya dan kebajikan pelajar
PEKAN, 8 April 2026 – Program Feed The Mind, Fuel The Future: Empowering Career and Community Impact telah berjaya dianjurkan di Dewan Kuliah DK300, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Pekan.
Program yang berlangsung dari jam 9.00 malam hingga 11.00 malam ini mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan seramai 150 penghuni Kolej Kediaman 5.
Program ini bertujuan membantu pelajar meningkatkan kemahiran kerjaya serta menjaga kebajikan mereka.
Ia menggabungkan dua komponen utama iaitu Feed The Mind dan Fuel The Future.
Program ini dijalankan dengan kerjasama MyNext Campus Ambassador dan Pusat Kerjaya UMPSA bagi memastikan pengisian lebih relevan dengan keperluan pelajar serta kehendak industri semasa.
Melalui komponen Feed The Mind, pelajar mengikuti sesi LinkedIn Masterclass yang dikendalikan oleh Neellesh Ram Saravanan.
Beliau berkongsi cara membina profil LinkedIn yang menarik termasuk penulisan headline, susunan pengalaman dan penggunaan kata kunci yang sesuai untuk meningkatkan kebolehlihatan kepada majikan.
Selain itu, sesi teknik temu duga oleh Syahida Dhila Ismail memberi pendedahan tentang cara menjawab soalan dengan yakin, berkomunikasi dengan baik serta menghadapi soalan mencabar majikan.
“Keyakinan diri dan cara penyampaian yang jelas amat penting untuk berjaya dalam temu duga,” katanya.
Sesi lain turut melibatkan Amirul Irfan yang mewakili MyNext dalam perkongsian mengenai fungsi platform tersebut dalam membantu pembangunan kerjaya pelajar.
Peserta juga berpeluang menyertai sesi live profile review dengan beberapa profil pelajar dinilai secara langsung oleh penceramah.
Sesi ini membantu pelajar menambah baik profil mereka secara lebih efektif serta memahami penggunaan platform MyNext dengan lebih mendalam.
Bagi menjadikan program lebih menarik, satu sesi kuiz interaktif turut diadakan yang berjaya meningkatkan penglibatan pelajar dalam suasana santai.
Dalam komponen Fuel The Future, sebanyak 150 kit makanan yang mengandungi roti, air mineral dan biskut telah diagihkan kepada pelajar.
Usaha ini bukan sahaja membantu meringankan beban pelajar, malah memupuk nilai empati dan keprihatinan dalam kalangan warga kampus.
Peserta turut menerima mata merit (Adab Point), e-sijil penyertaan serta peluang menyertai cabutan bertuah dengan hadiah berupa baucar.
Program ini turut mendapat sokongan daripada TalentCorp Malaysia melalui inisiatif MyNext di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), yang berperanan dalam memperkasa kebolehpasaran graduan dan pembangunan bakat masa hadapan.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai matlamat dalam membantu pelajar meningkatkan ilmu, kemahiran dan kesejahteraan diri dan diharap dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar serta melahirkan graduan yang berkualiti dan berdaya saing.
Oleh: Neellesh Ram Saravanan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik Dan Elektronik (FTKEE)
- 2 views