UMPSA bakal anjur Language and Culture Carnival 2026
GAMBANG, 9 Januari 2026 – Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bakal menganjurkan Language and Culture Carnival Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (LCC UMPSA 2026) pada 10 Januari 2026 sebagai acara tahunan yang menonjolkan aktiviti pembelajaran bahasa dan budaya di luar bilik kuliah.
Bertemakan ‘Global Voices: Languages Unite’, penganjuran LCC 2026 berperanan sebagai platform pengembangan minda dan pemikiran kritis melalui pelbagai aktiviti berteraskan bahasa, budaya serta interaksi global yang bersifat inklusif dan berimpak tinggi
.
Program ini menghimpunkan penyertaan pelajar, pensyarah, barisan juri sukarelawan dan wakil komuniti, sekali gus mencerminkan komitmen UMPSA dalam memperkasa komunikasi antara budaya serta kefahaman rentas bahasa selari dengan aspirasi pendidikan holistik universiti.
Sepanjang karnival berlangsung, para peserta akan didedahkan kepada pelbagai pengisian interaktif termasuk sembilan reruai pameran yang mewakili pelbagai bahasa dan budaya, di samping penganjuran pertandingan secara langsung LCC Got Talent yang menampilkan bakat, kreativiti dan kepelbagaian ekspresi budaya dalam kalangan peserta.
Penganjuran LCC 2026 UMPSA turut mencerminkan peranan aktif PBM dalam menyediakan ruang pembelajaran tidak formal yang dinamik, kreatif dan relevan dengan keperluan dunia global masa kini.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua jawatankuasa pelaksana dan pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan karnival ini.
Difahamkan bahawa LCC UMPSA pada asalnya dijadualkan berlangsung pada penghujung tahun 2025, namun telah ditunda ke awal tahun berikutan keadaan cuaca buruk dan banjir yang melanda sekitar Kuantan.
Sehubungan itu, seluruh warga UMPSA dan komuniti setempat dijemput hadir bagi memeriahkan penganjuran Language and Culture Carnival UMPSA 2026.
Bahasa dirai jambatan budaya,
Pelbagai suara bersatu harmoni;
LCC menyemai minda dan wacana,
Menyatu insan membina dunia lestari.
Disediakan Oleh: Jamilah Bebe Mohamad, Pusat Bahasa Moden (PBM)
- 58 views
Reports by: