UMPSA dan Yayasan Tun Razak jayakan TRF LEAP tingkat kepimpinan pelajar
GAMBANG, 3 Februari 2026 - Seramai 70 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpilih dari seluruh Malaysia mengikuti pemukiman Program Kepimpinan Tun Razak (TRF LEAP) 2026 Kohort Ke-31 selama enam hari di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Kampus Gambang bermula 30 Januari lalu.
Pemukiman itu dikendalikan pihak Yayasan Tun Razak (YTR), Kementerian Perpaduan Negara dengan kerjasama Kelab InSmartive UMPSA.
Ia merupakan sebahagian daripada pengisian TRF LEAP 2026 yang bermula pada 25 Januari lalu di Kuala Lumpur dan akan berakhir pada 5 Februari depan di Kuantan.
Selain modul kemahiran komunikasi dan pemerkasaan personaliti berdasarkan aspirasi dan falsafah perjuangan Perdana Menteri Malaysia kedua, Almarhum Tun Abdul Razak Hussein, pelaksanaan TRF LEAP ini turut menyaksikan sesi perkongsian pengalaman bertajuk ‘Educator, Professor Vice-Chancellor: The Journey of A Pontian Girl’ yang disampaikan oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias di Dewan Tun Fatimah, UMPSA Kampus Gambang.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YTR, Siti Hajar Abdul Rahman, Penyelaras Pembangunan dan Kepimpinan Pelajar, Fakulti Pengurusan Industri (FPI) yang juga Alumni TRF LEAP Kohort Keempat, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain, Presiden AYTR, Dickson Lau dan Presiden Kelab InSmartive UMPSA, Tuan Muhammad Aiman Tuan Asmawi,
Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah, program ini memberi peluang pelajar untuk menimba pengalaman, memupuk kepimpinan dan persediaan melangkah lebih jauh dalam membina kerjaya masa depan.
“Ikhlaskan diri dan kuatkan semangat dalam menempuh setiap cabaran yang mendatang,” katanya yang berkongsi pengalaman,

Beliau yang merupakan anak tunggal yang berasal dari Pontian, Johor menjadikan ibunya sebagai idola dan sumber inspirasi penguat semangat untuk berjaya.
Untuk rekod, TRF LEAP telah diperkenalkan oleh YTR sejak tahun 1995 bagi membangunkan generasi pemimpin masa hadapan yang berjiwa negarawan dalam kalangan pelajar cemerlang yang mewakili semua negeri seluruh Malaysia bagi mengenang sumbangan Almarhum Tun Abdul Razak sebagai Bapa Pembangunan dan seramai 2,100 alumni telah berjaya dilahirkan melalui inisiatif ini.
Pemilihan UMPSA Kampus Gambang sebagai destinasi persinggahan TRF LEAP 2026 juga amat istimewa dalam konteks sambutan 50 tahun YTR yang ditubuhkan khusus bagi mengenang kembalinya Almarhum Tun Abdul Razak ke rahmatullah pada 14 Januari 1976.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 53 views
Reports by: