UMPSA komited memperkasa sekolah angkat MADANI melalui pelaksanaan SCITECH4U STEM Camp MOSTI 2025
KUANTAN, 19 November 2025- Seramai 183 pelajar sekolah rendah telah menyertai Program SCITECH4U STEM CAMP MOSTI 2025 yang dianjurkan oleh Pertubuhan Pemupukan dan Pemerkasaan Rakyat (PEMEKAR) dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Cherok Paloh, Kuantan.
Menurut Pengarah Pusat Hubungan Komuniti (PHK) UMPSA, Dr. Daing Mohamad Nafiz Daing Idris, program ini yang memberi tumpuan kepada pendedahan awal dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Ia bertujuan menyemarakkan minat para pelajar terhadap inovasi teknologi masa depan.
“Penganjuran program ini juga adalah bersempena dengan Projek Sekolah Angkat MADANI UMPSA 2025 yang menjadi platform penting dalam mengeratkan kerjasama antara agensi kerajaan, NGO dan institusi Pendidikan,” ujarnya.
Guru Penolong Kanan SK Cherok Paloh, Muhammad Rashid Omar yang mewakili Guru Besar, Borhanuddin Aziz menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MOSTI, PEMEKAR dan UMPSA atas kesudian memilih SK Cherok Paloh sebagai lokasi penganjuran dan sebagai Sekolah Angkat Madani UMPSA yang menerima peruntukan RM100,000.
“SK Cherok Paloh merupakan salah satu daripada dua buah Sekolah Kurang Murid (SKM) di daerah Kuantan dan walaupun berstatus SKM, sekolah ini sentiasa berusaha memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak kampung Cherok Paloh.
“Dengan adanya program STEM seperti robotik dan dron, saya berharap imej sekolah luar bandar dapat terus diperkukuh dan berdaya saing dengan sekolah-sekolah utama di bandar.
“Semua pembelian peralatan dan kemudahan yang dirancang telah berjaya direalisasikan, termasuklah pemasangan papan pintar (smartboard) yang kini digunakan di sekolah yang dilihat mampu meningkatkan kualiti proses pengajaran dan pembelajaran serta menyokong usaha menaik taraf prasarana sekolah,” ujarnya.
Sepanjang berlangsungnya SCITECH4U STEM CAMP MOSTI 2025, para pelajar telah mengikuti pelbagai pengisian menarik yang dikendalikan oleh pensyarah dan fasilitator UMPSA serta pasukan daripada MOSTI dan PEMEKAR.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk sesi Pocket Talk berkaitan aeroangkasa, teknologi dron dan teknologi roket yang disampaikan oleh Dr. Amir Aziz, Dr. Yusrizal Yusof dan Dr. Zuhairi Sulaiman.
Selain itu, para pelajar turut berpeluang menyaksikan demonstrasi racing drone, pelancaran roket, operasi dron DJI serta menyertai pertandingan roket dan kapal terbang kertas.
Pembelajaran secara praktikal melalui aktiviti seperti Fly Drone Like A Pro memberi pengalaman hands-on yang sangat berharga kepada para pelajar.
Program ini menjadi bukti jelas bahawa UMPSA komited dalam memperkukuh literasi STEM dalam kalangan generasi muda, khususnya para pelajar di sekolah luar bandar.
Melalui penglibatan aktif para pensyarah, fasilitator dan pakar teknologi, UMPSA bukan sahaja menyampaikan ilmu, tetapi turut membawa pengalaman pembelajaran yang jarang dapat dinikmati oleh para pelajar di kawasan pedalaman.
Komitmen UMPSA dalam memacu agenda STEM ini selari dengan aspirasi MOSTI dan PEMEKAR untuk merapatkan jurang pendidikan melalui pendedahan awal terhadap teknologi aeroangkasa, dron dan inovasi masa hadapan.
Pendekatan hands-on, demonstrasi teknikal serta sesi interaktif yang dijalankan sepanjang program telah membuka ruang kepada para pelajar SK Cherok Paloh untuk membina minat kukuh terhadap sains dan teknologi, sambil menanam keyakinan bahawa mereka juga mampu melangkah jauh dalam bidang berteknologi tinggi.
Turut hadir menjayakan program, Presiden PEMEKAR dan mantan Naib Canselor UMPSA, Profesor Emeritus Dato’ Sri Dr. Daing Mohd. Nasir Daing Ibrahim.
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 16 views
Reports by: