Skip to main content

UMPSA perkenal Aplikasi LibGO, peminjaman buku kini lebih mudah dan pantas

PEKAN, 3 April 2026 – Selari dengan arus pendigitalan, Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melangkah ke hadapan dengan memperkenalkan kaedah peminjaman buku baharu menerusi aplikasi mudah alih LibGO. 

logo

Inisiatif ini bukan sahaja memperkasakan konsep layan diri (self-service) dan seamless user experience, malah menawarkan pengalaman pengguna yang lebih lancar, pantas dan mesra teknologi kepada warga kampus.

Melalui aplikasi LibGO, pengguna hanya perlu menggunakan telefon pintar untuk mengimbas bahan perpustakaan sebelum membuat pinjaman secara terus.

UMPSA perkenal Aplikasi LibGO, peminjaman buku kini lebih mudah dan pantas

Selain daripada peminjaman buku, LibGO menyediakan perkhidmatan pembaharuan buku, pembayaran denda dan pemakluman bahan tamat tempoh yang lebih fleksibel buat pengguna untuk mengurus peminjaman pada bila-bila masa.

Menurut Timbalan Ketua Pustakawan Noorul Farina Arifin, penggunaan aplikasi ini bagi menyokong Objektif Strategik UMPSA30, iaitu Memperkasa Penyelesaian Kampus Pintar Berasaskan Data (Objective Strategic 2A: Empowering Data-Driven Smart Campus Solutions).

“Diharapkan aplikasi LibGO menjadi pemangkin kepada transformasi perkhidmatan perpustakaan ke arah ekosistem digital yang lebih dinamik dan mampan.

“Melalui aplikasi ini, pengguna dapat mengakses perkhidmatan secara kendiri, sekali gus meningkatkan kecekapan, produktiviti serta tahap kepuasan pelajar dan pengguna Perpustakaan UMPSA,” ujarnya. 

Sementara itu, Pembantu Pustakawan Kanan, Mohd Azfarshah Azizan berkata, LibGO berpotensi menjadi platform rujukan utama pengguna bagi urusan berkaitan perpustakaan.

“Walaupun aplikasi ini bermula sebagai platform pinjaman bahan, ia boleh diperkembangkan dengan pelbagai kemudahan seperti pembayaran atas talian, maklumat terkini dan fungsi tambahan lain,” katanya.

Aplikasi LibGO boleh digunakan oleh pengguna Android dan iPhone (iOS), menjadikannya lebih mudah diakses oleh semua lapisan warga universiti tanpa mengira jenis peranti yang digunakan.
 

UMPSA perkenal Aplikasi LibGO, peminjaman buku kini lebih mudah dan pantas

  
Manakala menurut pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Haikal Mohammed Zubil, penggunaan LibGO amat memudahkan pelajar untuk mencari dan meminjam buku, malah urusan pembayaran denda juga boleh dilakukan secara dalam talian. 

“Selain itu, aplikasi LibGO turut menyediakan pautan ke sistem e-exam, yang memudahkan akses pelajar kepada perkhidmatan berkaitan,” ujarnya. 

Pengenalan LibGO merupakan sebahagian daripada usaha Perpustakaan UMPSA ke arah memperkukuh konsep self-service library dan menyokong agenda pendigitalan perkhidmatan universiti.

Disediakan Oleh: Amelia Hasan, Perpustakaan UMPSA

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri