UMPSA serah 200 pek makanan retort bagi Program Jejak Warisan Pahang–Lingga
PEKAN, 21 April 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dan Majlis Rekreasi Pahang (MRP) hari ini menyempurnakan penyerahan sebanyak 200 pek makanan retort inovasi kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang.
Sumbangan tersebut telah diserahkan oleh wakil UMPSA, Pensyarah Kanan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Dr. Rosmawati Naim dan diterima oleh Pegawai Operasi dan Bencana APM Pahang, Kapten (PA) Muzaidi Musa sebagai persediaan bagi pelaksanaan Kursus Jati Diri Jejak Warisan dan Silang Budaya Pahang–Lingga yang dijadual berlangsung pada 23 hingga 28 April 2026.
Program berkenaan akan diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia dan Sukan serta Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Yang Berhormat Tuan Tuan Fadzli Mohamad Kamal.
Antara pengisian utama program termasuk aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR), cabaran pendakian Gunung Daik serta sesi perkongsian budaya antara Pahang dan Lingga.
Program ini turut melibatkan penyertaan Dr. Rosmawati Naim.
Sebanyak 200 pek makanan retort yang disumbangkan akan digunakan sebagai bekalan makanan sepanjang dua hari pendakian Gunung Daik pada 25 hingga 26 April 2026 yang melibatkan seramai 50 peserta.
Menurut pihak penganjur, penajaan ini bukan sahaja membantu melancarkan pelaksanaan program, malah menjadi platform strategik dalam mempromosikan produk inovasi makanan retort UMPSA kepada peserta serta rakan kerjasama antarabangsa.
Inisiatif ini dijangka dapat meningkatkan keterlihatan dan pengiktirafan terhadap hasil penyelidikan universiti di peringkat lebih luas.
Selain itu, program ini turut memperkukuh hubungan strategik antara UMPSA dan Kerajaan Negeri Pahang, di samping membuka ruang kepada perkongsian kepakaran serta pertukaran maklumat secara lebih menyeluruh.
Usaha ini juga adalah selari dengan aspirasi universiti dalam mendekatkan teknologi kepada masyarakat melalui slogan ‘Teknologi untuk Masyarakat’.
Penyerahan ini juga mencerminkan komitmen berterusan UMPSA dalam menyokong agenda kelestarian melalui penghasilan makanan inovatif yang efisien, mudah digunakan serta mampu mengurangkan pembaziran, khususnya dalam pelaksanaan aktiviti luar seperti ekspedisi dan program komuniti.
Oleh: Wallid Wahidi Hamzah, Pusat Komunikasi Korporat
- 3 views