Skip to main content

Warga UMPSA berarak sambil berselawat rai Sambutan Maulidur Rasul peringkat universiti

PEKAN, 9 September 2025 - Warga Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah  (UMPSA) berarak  menuju ke Masjid Al-Jazari  dengan alunan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW sempena Sambutan Maulidul Rasul bagi tujuan memperingati keputeraan Nabi Muhammad SAW. 

Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias dan barisan pengurusan mendahului perarakan bersama 22 kontinjen mewakili jabatan dan fakulti dengan penuh warna-warni. 

Beliau merakamkan penghargaan kepada 22 kontinjen daripada pusat tanggungjawab yang mengambil bahagian serta mengharapkan agar majlis ini dapat memperkukuh kecintaan mahasiswa terhadap Rasulullah SAW dan memperkasa warga UMPSA sebagai model ummah madani.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Pendaftar, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim, Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Profesor Madya Dr. Rashidi Abbas, warga kerja dan mahasiswa UMPSA.

Warga UMPSA berarak sambil berselawat rai Sambutan Maulidur Rasul peringkat universiti

Dalam pada itu, Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad berkata, sambutan Maulidur Rasul bukan sekadar upacara tahunan, sebaliknya menjadi manifestasi kecintaan terhadap Nabi Muhammad SAW serta tekad warga kampus untuk mencontohi sunnah baginda dalam kehidupan seharian.

“Tema sambutan tahun ini amat bertepatan dengan keperluan semasa umat Islam. 

“Membangun Ummah Madani bermaksud melahirkan masyarakat yang berteraskan iman dan takwa, ilmu dan hikmah, akhlak mulia, perpaduan serta keseimbangan duniawi dan ukhrawi,” katanya yang hadir menyampaikan ucapan mewakili Naib Canselor. 

Program menyaksikan pemenang bagi pertandingan perarakan dimenangi oleh Jabatan Bendahari.

Warga UMPSA berarak sambil berselawat rai Sambutan Maulidur Rasul peringkat universiti

Manakala tempat kedua dan ketiga pula masing-masing telah dimenangi oleh Perpustakaan dan Pusat TVET.

Majlis turut diserikan dengan ceramah khas Maulidur Rasul yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Harryanto Rizal Lokman.

Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri