Skip to main content

Zon Perpustakaan Pekan menang Pertandingan Video Kreatif Amalan EKSA 2026

PEKAN, 6 Mei 2026 – Kreativiti dan komitmen warga kerja dalam membudayakan amalan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) terus diperkasakan apabila Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerusi Pusat Pengurusan Strategik & Kualiti (PPSK) berjaya menganjurkan Pertandingan Video Kreatif Amalan EKSA UMPSA 2026 baru-baru ini.

Pertandingan yang berlangsung dari 10 Februari hingga 10 Mac 2026 itu mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelbagai zon EKSA di universiti dengan penyertaan melibatkan 20 zon dari kampus Pekan dan Gambang.
Antara zon yang mengambil bahagian ialah Zon Perpustakaan Pekan, Zon Fakulti Sains & Teknologi Industri, Zon Canseleri Tun Abdul Razak Kiri, Zon Pusat Pembangunan & Pengurusan Harta Pekan, Zon Pusat Sains Matematik, Zon Pusat Bahasa Moden, Zon Akademi TVET Termaju, Zon Perpustakaan Gambang 1 dan 2 serta beberapa lagi zon lain.

Pertandingan itu diadakan sebagai platform untuk mencungkil idea kreatif warga universiti dalam menyampaikan mesej berkaitan amalan EKSA secara lebih interaktif dan berimpak tinggi.

Sesi penilaian telah dilaksanakan oleh panel juri yang dilantik secara rasmi oleh sekretariat EKSA UMPSA berdasarkan beberapa kriteria utama termasuk kreativiti penyampaian, kualiti penghasilan video, tahap pemahaman terhadap amalan EKSA, impak mesej serta keberkesanan keseluruhan kandungan video.

Hasil penilaian menyaksikan Zon Perpustakaan Pekan muncul sebagai johan pertandingan, manakala tempat kedua dimenangi oleh Zon Fakulti Sains & Teknologi Industri dan tempat ketiga disandang oleh Zon Canseleri Tun Abdul Razak Kiri.

Tempat keempat pula dimenangi oleh Zon Pusat Pembangunan & Pengurusan Harta Pekan, diikuti Zon Pusat Sains Matematik di kedudukan kelima.

Menurut pihak penganjur, markah pertandingan ini akan diambil kira dalam penilaian Anugerah Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) 2026 sempena Majlis Hari Kualiti & Inovasi UMPSA 2027.

Selain itu, semua peserta yang mengambil bahagian turut akan menerima sijil penyertaan sebagai penghargaan atas komitmen dan usaha mereka dalam menjayakan pertandingan tersebut.

Penganjuran pertandingan ini mencerminkan komitmen berterusan UMPSA dalam memperkukuh budaya kerja berkualiti, kreatif dan kondusif selaras dengan aspirasi universiti ke arah kecemerlangan pengurusan organisasi.

Disediakan Oleh: Jamrah Mahat, Pusat Pengurusan Strategik & Kualiti (PPSK)
 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri