Kembara Lestari UMPSA buka tirai jelajah 2026 santuni komuniti Permatang Keledang Pekan
PEKAN, 15 Februari 2026 - Program Kembara Lestari 2026 yang berlangsung selama lima hari di Permatang Keledang merupakan inisiatif khidmat masyarakat Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menyantuni komuniti setempat dengan memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti Orang Asli melalui pendekatan kelestarian, pemindahan ilmu dan penggunaan teknologi.
Program kendalian Yayasan UMPSA di lokasi terpilih kini singgah di lokasi ke-13 siri jelajah sejak diperkenalkan empat tahun lalu melibatkan pelbagai modul merangkumi teknologi, pendidikan, kelestarian dan khidmat komuniti termasuk inisiatif pertanian lestari, penambahbaikan kemudahan asas, projek inovasi berskala kecil serta pembangunan pendidikan dan sahsiah golongan muda.
Hadir merasmikan program ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Yang Berhormat Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib yang juga merupakan ADUN Peramu Jaya.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar yang juga Pengerusi Yayasan UMPSA dan Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias yang juga Timbalan Pengerusi Yayasan UMPSA serta ahli pemegang amanah Yayasan UMPSA, Datin Nur Sharmila Shaheen.

Dalam ucapannya, Yang Berhormat Dato’ Mohamad Nizar berkata, Kerajaan Negeri Pahang kekal komited menyokong inisiatif berimpak tinggi yang memberi manfaat sebenar kepada masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar dan komuniti orang asli.
“Program seperti Kembara Lestari ini selari dengan aspirasi negeri untuk memastikan pembangunan yang inklusif, mampan dan tidak meninggalkan mana- mana komuniti dalam arus kemajuan.
“Kerajaan Negeri juga menggalakkan kolaborasi strategik antara universiti, agensi kerajaan dan komuniti setempat.
“Kerjasama rentas sektor ini penting bagi memastikan pemindahan ilmu, teknologi dan kepakaran dapat dilaksanakan secara berkesan serta berterusan, selari dengan keperluan sebenar masyarakat di lapangan,” ujarnya.
Beliau juga turut berbangga dengan kejayaan pelajar sekolah ini apabila pasukan Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Keledang memenangi pingat emas kategori Robotik Inovasi pada International Robot Olympiad ke-26 2024/2025 di Busan, Korea Selatan tahun lalu.
Ujarnya, dengan kepakaran UMPSA terutamanya dalam STEM akan memberi peluang kepada pelajar untuk meneroka dunia sains dengan cara yang menyeronokkan, malah turut menyuntik semangat untuk belajar dan mencapai cita-cita terutamanya dalam bidang Sains dan Teknologi,” katanya yang turut menyampaikan hadiah dan sumbangan komputer riba dan telefon bimbit untuk kegunaan pembelajaran.
Hadir sama Wakil Khas Parlimen Pekan, Yang Berhormat Dato’ Aminuddin Mat. Yassin Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Tuan Ir. Ts. Mahat a/l Mat Dong.
Turut hadir Pendaftar UMPSA, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim dan Guru Besar SK Permatang Keledang, Cikgu Ahmad Zaki Zainudin dan Ketua Eksekutif Yayasan UMPSA, Mohd Jamil Mohd Ja’afar.
Dalam pada itu, YB Dato’ Mohamad Nizar berharap program seperti Kembara Lestari ini dapat diperluaskan ke lebih banyak lokaliti di seluruh negeri Pahang.
“Selain memberi manfaat terus kepada komuniti, pendekatan ini juga wajar dijadikan rujukan kepada inisiatif komuniti lain sebagai model pembangunan berasaskan kerjasama dan impak jangka Panjang,” katanya.
Sementara itu, Dato’ Seri Abdul Razak berkata, program kembara ini bukan sahaja menyebar luas pendidikan namun mampu menaik taraf hidup dan kemampanan komuniti secara holistik.
Seramai 60 sukarelawan Yayasan UMPSA berkampung di Permatang Keledang, Pekan bagi menjayakan Program Kembara Lestari@Permatang Keledang 2026 selama lima hari berakhir hari ini.
Pelbagai aktiviti turut berlangsung di sekolah antaranya Modul inovasi, STEM Kit DIY, Pameran STEM & Street Science untuk memperkasa murid-murid dengan ilmu dan kemahiran berfikir, di samping merangsang minat para murid dalam bidang Sains, Teknologi, dan Matematik sejak di bangku sekolah lagi.
Kluster Teknologi melaksanakan projek pemasangan solar dan vertical farming di sekitar kawasan SK Permatang Keledang manakala Kluster Komuniti berlangsung dengan aktiviti mural di sekolah dan Ziarah Prihatin berkunjung menyampaikan bekalan makanan.
Lain-lain program Bacaan Yasin, Tahlil dan solat berjemaah yang diadakan bersama murid-murid SK Permatang Keledang dan SK Sri Terentang.
Program ini dilaksanakan melalui kerjasama bersama GIATMARA Pekan, Yayasan MR.DIY, Public Islamic Bank Berhad (PIBB), Adabi dan lain-lain.
Lebih meriah seramai 200 komuniti setempat hadir menjayakan acara sukaneka yang berlangsung di padang sekolah.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 18 views
Reports by: