Kembara Lestari UMPSA santuni Komuniti Gugusan Felda Lok Heng sokong SDG
KOTA TINGGI, 17 Julai 2025 - Kembara Lestari UMPSA@Kota Tinggi berlangsung di Gugusan Felda Lok Heng berjaya menyantuni pembangunan komuniti setempat di samping menghulurkan sumbangan kepakaran kepada golongan yang berkeperluan melalui pelbagai aktiviti merangkumi kluster teknologi, khidmat komuniti, pendidikan, kelestarian, kerohanian dan sumbangan buat komuniti yang memberi manfaat buat komuniti setempat termasuklah golongan inklusif.
Seramai 43 sukarelawan UMPSA yang terdiri daripada Skuad Yayasan UMPSA, Sekretariat Ikatan Siswa Anak Darul Ta’zim (ISKANDAR UMPSA) dan Pertubuhan Mahasiswa Kota Tinggi serta sepuluh orang staf (UMPSA) daripada Pusat TVET Termaju dan Pusat Perkhidmatan Inklusif (PPI) telah berkampung dan tinggal bersama keluarga angkat di sekitar Felda Lok Heng selama lima hari bagi merasai suasana dan budaya masyarakat serta menjayakan program Kembara Lestari kali ini.
Hadir merasmikan program Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan Malaysia yang juga merupakan Ahli Parlimen Kota Tinggi.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar dan Naib Canselor, Professor Dr. Yatimah Alias.
Turut sama hadir Bendahari, Dato' Zainuddin Othman dan Pendaftar, Dato' Saiful Bahri Ahmad Bakarim.
Menurut Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled, penganjuran Kembara Lestari UMPSA ini sangat 'unik' kerana ia dilihat sebagai enjin atau platform yang mampu meningkatkan mobiliti sosioekonomi dan kedudukan penduduk setempat serta berjaya mendekati masyarakat dengan pelbagai pengisian yang dibuat secara sistematik.
“Berbeza dengan program yang lain, program ini bukan sahaja menyebar luas pendidikan namun mampu menaik taraf hidup dan kemampanan komuniti secara holistik.
"Program ini juga menggabungkan kepakaran ilmu dari universiti dengan keperluan komuniti untuk mencipta penyelesaian yang mapan terhadap masalah yang dihadapi,” katanya yang mengharapkan program ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
Malah, beliau turut memuji inisiatif UMPSA yang berjaya melaksanakan program ini yang dijalankan secara berstruktur dan berpakej yang meliputi kluster kelestarian, teknologi, komuniti, pendidikan dan sebagainya.
Tambahnya, program perlulah bersifat jangka panjang.
"Namun, ia memerlukan masyarakat yang bersedia untuk bekerjasama dalam menyumbang kepada kejayaan usaha yang dilakukan.
"Saya juga percaya dengan kepakaran UMPSA mampu memperkasa ekonomi masyarakat di sini agar supaya mereka tidak ketinggalan dalam arus kemajuan.
"Ini termasuklah usaha menjadikan Kota Tinggi sebagai hab keterjaminan makanan negara, kawasan ekopelancongan, pembangunan industri hiliran sektor pertanian dan sebagainya," ujarnya.
Sementara itu, menurut Dato’ Seri Abdul Razak, UMPSA turut memanfaatkan kepakaran teknikalnya dengan menyalurkan inovasi terus ke lapangan dengan menyentuh kehidupan dan membina masa depan.
“Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk pemasangan sistem solar di tiga buah sekolah bagi membekalkan tenaga mampan Dan kerja-kerja pendawaian semula di Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) bagi memastikan keselamatan dan kecekapan sistem elektrik termasuklah komuniti Orang Kurang Upaya (OKU).
"UMPSA juga mempunyai Pusat Perkhidmatan Inklusif (PPI) yang memainkan peranan strategik sebagai Hab Teknologi dan Ekosistem Inklusif (HATi) iaitu pusat sehenti inklusif rujukan, latihan dan komuniti hibrid yang digerakkan oleh komuniti aktivis teknologis setempat serta sejagat.
“Di bidang pertanian pula, sebanyak 50 anak pokok Ketum Ayam dan baja prebiotik hasil inovasi penyelidik UMPSA telah diagihkan kepada penduduk bagi meningkatkan kesuburan tanah dan hasil tuaian,” katanya dalam majlis perasmian yang berlangsung di Dewan Terbuka Lok Heng Barat," katanya.
Penduduk turut mengikuti bengkel bagi penanaman pokok Ketum Ayam hasil penyelidikan pensyarah UMPSA, Dr. Noormazlinah Ahmad yang berkepakaran dalam pertanian mampan, bioproduk dan kitaran sisa menggunakan teknologi lestari hijau.
Selain itu, bagi pelbagai aktiviti dijalankan dalam pembentukan generasi yang berilmu dan berdaya saing di Sekolah Menengah Kebangsaan Lokman Hakim, Sekolah Kebangsaan Felda Lok Heng dan Sekolah Kebangsaan Felda Lok Heng Selatan bagi usaha menanam minat belajar sejak usia muda agar mereka beraspirasi untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Dengan penyertaan 113 pelajar melalui Program Inspire, program diperhebatkan dengan pendedahan kepada Projek STEM dan pendekatan inovatif Street Science yang membentuk asas kukuh bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga berdaya inovasi tinggi dan berupaya memimpin perubahan di peringkat nasional serta global.
Program ini juga seiring dengan slogan 'Teknologi untuk Masyarakat' dan merealisasikan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 1: Tiada Kemiskinan, SDG 2: Tiada Kelaparan dan SDG 11: Komuniti dan Bandar yang Lestari yang turut mendukung aspirasi sektor agro makanan negara untuk lebih mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.
Kembara Lestari UMPSA ini turut mendapat kerjasama rakan-rakan penaja seperti Pharmaniaga, Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), ADABI, Yayasan JCORP, Yayasan Pelajaran Johor, Yayasan Perkasa Siswa, Yayasan MR.DIY, Klinik Kesihatan Lok Heng dan Klinik Pergigian Kota Tinggi.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 59 views