Program SULAM Aplikasi Dinding Hijau perkasa kesedaran pengurusan air larian hujan
Kuantan, 11 Januari 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerusi Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) telah menganjurkan Program Service Learning Malaysia–University for Society (SULAM) bagi kursus Hidrauliks dan Hidrologi (DRA2723) bertemakan Aplikasi Dinding Hijau (Green Wall) dengan Baja dari Sisa Makanan untuk Pengurusan Air Larian Hujan bertempat di Perkampungan Sungai Karang Darat, Taman Mutiara Perdana Balok.
Program ini melibatkan seramai 42 orang pelajar Diploma Kejuruteraan Awam UMPSA bersama Komuniti Taman Mutiara Perdana sebagai usaha mengintegrasikan pembelajaran akademik dengan khidmat komuniti secara berstruktur dan berimpak.
Pelaksanaan program ini selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam melahirkan graduan yang seimbang, dengan kesedaran sosial dan peka terhadap isu alam sekitar dan keperluan masyarakat.
Program diketuai Pensyarah FTKA, Ts. Dr. Noor Suraya Romali merangkap pengarah projek dengan kerjasama Profesor Madya Dr. Abdul Syukor Abd. Razak dan pensyarah-pensyarah FTKA yang lain.

Menurut Ts. Dr. Noor Suraya, antara pengisian utama program ialah sesi taklimat objektif projek, pameran hasil kerja pelajar, demonstrasi proses pengkomposan sisa makanan serta pembinaan mini dinding hijau menggunakan bahan kitar semula.
“Pendekatan ini memberi pendedahan kepada komuniti mengenai kaedah pengurusan sisa makanan secara lestari, di samping memperkenalkan konsep pengurusan air larian hujan berasaskan alam seperti yang digariskan dalam Manual Saliran Mesra Alam Malaysia (MSMA).
“Penggunaan kompos daripada sisa makanan sebagai medium tanaman dalam sistem dinding hijau berpotensi mengurangkan pencemaran, menapis air larian hujan serta menyumbang kepada pengurangan risiko banjir kecil di kawasan perumahan.
“Selain itu, penglibatan secara langsung dalam program ini turut meningkatkan kemahiran teknikal, komunikasi dan kerja berpasukan dalam kalangan pelajar,” katanya.
Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada pihak komuniti Taman Mutiara Perdana, Balok selaku penganjur bersama program ini, serta Zulkhairi Md Ghani atas kesudian menaja dan menyediakan lokasi bagi menjayakan pelaksanaan program tersebut.
“Secara keseluruhannya, program SULAM ini bukan sahaja berperanan sebagai platform pemindahan ilmu, malah berjaya memupuk kesedaran tentang amalan hijau dan kelestarian alam sekitar dalam kalangan masyarakat setempat, sekali gus menyokong agenda pembangunan mampan negara,” ujarnya.
Pihak komuniti juga memberikan maklum balas yang sangat positif terhadap inisiatif dinding hijau ini, yang dilihat berupaya menangani isu alam sekitar seperti pengurusan sisa makanan serta masalah banjir kecil (minor flooding).
Menurut Pengerusi KRT Taman Mutiara Perdana, Zainudin Mohamed, pendedahan konsep tanaman ini adalah selari dengan matlamat dan objektif Komuniti Mutiara yang senantiasa berinisiatif ke hadapan di dalam program berkebun melalui Konsep 1 Rumah 1 Kebun (1R1K) yang telah bermula sejak tahun 2017 lagi.
“1R1K telah menempa pelbagai kejayaan dan anugerah pada peringkat negeri mahupun kebangsaan.
“Namun demikian konsep Aplikasi Dinding Hijau ini adalah satu kesinambungan dan cara moden untuk diaplikasikan di rumah-rumah warga komuniti sempena tahun baharu ini,” katanya.
Disediakan Oleh: Ts. Dr. Noor Suraya Romali, Pensyarah FTKA dan Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 44 views
Reports by: