UMPSA hantar 2,000 pek makanan santuni petugas dan keluarga pelajar UPSI yang terlibat tragedi kemalangan jalan raya di Gerik
PEKAN, 9 Jun 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menyantuni para petugas dan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan menyediakan 2,000 pek makanan ‘Express Meal’ dengan nilai RM10,000 yang merupakan makanan retort sebagai salah satu inisiatif kemudahan buat pelajar tatkala mereka berdepan saat sukar lanjutan tragedi kemalangan jalan raya yang berlaku di Gerik, Perak pada hari ini.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, UMPSA menzahirkan ucapan takziah berikutan tragedi kemalangan jalan raya yang meragut nyawa 15 orang pelajar UPSI dan mencederakan beberapa orang yang lain dalam tragedi kemalangan yang berlaku ini.
“Kejadian menyayat hati ini bukan sahaja menimpa UPSI tetapi turut menggemparkan seluruh keluarga besar pendidikan tinggi negara.
“Malah, UMPSA turut berdukacita atas kehilangan permata bangsa ini.
“Kami di UMPSA memahami betapa getirnya saat yang perlu dilalui oleh UPSI dan seluruh keluarga pelajar yang terlibat,” ujarnya.
Katanya, warga UMPSA juga turut mendoakan agar mereka yang terlibat dalam kemalangan ini diberikan kesabaran, kekuatan dan kesembuhan segera.
“Semoga Allah SWT mempermudah urusan mereka dan meringankan beban yang ditanggung.
“Kepada yang telah pergi, semoga rohnya dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” tambah beliau dalam perkongsian di laman sosial Facebook Naib Canselor UMPSA pagi tadi.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan kesediaan pihak UMPSA sekiranya memerlukan apa-apa sokongan tambahan dan UMPSA sedia membantu semampunya atas semangat keserakanan universiti awam (UA).
Pada masa ini, urusan penghantaran makanan diuruskan menerusi Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) sebagai usaha UMPSA dalam menghulurkan bantuan meringankan urusan petugas dan keluarga pelajar yang terlibat di sana.
Selain itu, para petugas kaunseling UMPSA juga turut bersedia untuk memberi perkhidmatan perundingan dan kaunseling buat keluarga yang terkesan dengan tragedi yang menyayat hati ini.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 99 views