UMPSA, IEM YES dan Nextgreen bergabung jayakan program plogging di Pantai Lagenda
PEKAN, 4 April 2026 – Seramai 50 peserta telah menyertai Program Plogging di Pantai Lagenda, Pekan yang berlangsung dalam suasana penuh semangat kesukarelawanan dan kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar.
Program ini merupakan anjuran bersama Kelab IEM Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Kelab Eco Nexus UMPSA dan Pusat Pembangunan Kelestarian UMPSA dengan kerjasama IEM Young Engineers Section (IEM YES) serta Nextgreen Sdn. Bhd.
Aktiviti yang bermula seawal jam 8.00 pagi itu dimulakan dengan sesi senaman ringan sebelum para peserta menjalankan aktiviti utama iaitu mengutip sampah di sekitar kawasan pantai.
Turut hadir memeriahkan program ialah Pengarah Pusat Pembangunan Kelestarian UMPSA, Dr. Suhaidah Hussain.
Hadir sama Pengerusi IEM YES Pahang, Muhammad Aiman Suhaimi, Timbalan Pengerusi IEM YES Pahang, Muhammad Faez Abdullah, Ahli IEM YES Pahang, Mohammad Jashri Mohd. Jali dan Pengurus Operasi Sumber Manusia Nextgreen Sdn. Bhd., Elise Tan.

Dr. Suhaidah merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua rakan strategik yang telah berganding bahu dalam menjayakan program ini, khususnya Kelab IEM UMPSA dan Kelab Eco Nexus UMPSA yang menunjukkan komitmen tinggi dalam menjayakan agenda kelestarian universiti.
Tambah beliau, program yang diadakan sempena sambutan Hari Bumi pada bulan April ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan kawasan pantai di samping memupuk budaya hidup lestari dalam kalangan masyarakat dan mahasiswa.
“Program ini bukan sahaja tertumpu kepada aktiviti mengutip sampah, malah berperanan penting dalam menghalang sisa pepejal daripada mengalir ke laut yang boleh menjejaskan ekosistem marin serta membahayakan hidupan laut,” ujarnya.
Pantai Lagenda yang terletak berhampiran UMPSA menjadikannya antara lokasi rekreasi utama warga universiti dan komuniti setempat.
Justeru, menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan kawasan ini sentiasa bersih, terpelihara dan lestari untuk generasi akan datang.
Sepanjang program berlangsung, para peserta berjaya mengumpulkan sebanyak 115 kilogram sisa daripada pelbagai jenis bahan buangan seperti plastik, botol, tisu dan lain-lain sisa pepejal.
Penganjuran program seperti ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform kolaborasi strategik antara universiti, badan profesional dan pihak industri dalam usaha memperkukuh amalan kelestarian serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penjagaan alam sekitar.
Sementara itu, menurut Pengerusi IEM YES Pahang, Muhammad Aiman Suhaimi, program sebegini bukan sahaja memberi impak positif kepada alam sekitar, malah turut membentuk nilai kepimpinan, kerja berpasukan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan golongan muda, khususnya mahasiswa kejuruteraan.
“Melalui penglibatan aktif dalam program komuniti seperti ini, para peserta dapat mengaplikasikan nilai kejuruteraan yang bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan fizikal, tetapi juga keseimbangan dengan kelestarian alam,” katanya.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Pembangunan Kelestarian
- 30 views
Reports by: