1 Pengajian 2 Ijazah, Lavnesh tamat pengajian Kejuruteraan Mekanikal dan Pengangkutan
BEIJING, 9 Januari 2026 - Lavnesh Nagenthara Poobathy, 25, tidak menyangka berjaya menamatkan pengajian selama empat tahun setengah dalam Program Ijazah Dual di dua institusi dalam dan luar negara, iaitu di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Beijing Jiaotong University (BJTU), China.
Memiliki satu ijazah sahaja sudah cukup membanggakan, inikan pula dua. Peluang mengikuti program ini memberi pengalaman yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Lavnesh mengikuti program ijazah dual yang membolehkan beliau mengikuti pengajian selama dua tahun di UMPSA dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dan menyambung pengajian selama dua setengah tahun di BJTU, China dalam bidang Kejuruteraan Pengangkutan.
Anak kedua daripada tiga orang adik-beradik bagi pasangan pesara, Nagenthara Poobathy, 56 dan Lalitha Ramadass, 55 yang merupakan seorang guru berkata, peluang belajar di dua buah negara dengan sistem pendidikan dan budaya berbeza memang memberi impak besar dalam hidupnya.
“Sangat menarik kerana saya mendapat pendedahan terhadap perbezaan budaya dan gaya pengajaran pensyarah serta cara pembelajaran pelajar di kedua-dua negara.
“Misalannya, di China, waktu jam 12.00 tengah hari hingga 2 dan 6 petang adalah masa rehat yang tetap.
“Apabila loceng berbunyi, semua pelajar dan pensyarah akan berehat,” ujarnya yang berasal dari Selangor.
Katanya, walaupun bahasa yang digunakan dalam pengajaran dijalankan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris,
kadangkala pensyarah sukar menjelaskan dengan terperinci atau menyampaikan ilmu sepenuhnya.
“Namun, masalah ini dapat diatasi dengan bantuan rakan-rakan dari Malaysia yang berbangsa Cina.
“Lebih istimewa, Program Ijazah Dual ini, memberi peluang buat saya untuk mempelajari bahasa Cina dan meningkatkan kemahiran menyesuaikan diri dengan budaya serta negara lain, malah saya juga sanggup bekerja di luar negara.
“Ini membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan mendalami bidang kereta api dan kejuruteraan mekanikal,” jelasnya.
Baginya, China ialah negara yang sangat menarik dan unik.
Lavnesh berpeluang berkomunikasi dengan penduduk tempatan dan menyaksikan teknologi canggih yang mempengaruhi kehidupan seharian.
Malah, beliau dapat mengasah kemahiran adaptasi apabila tinggal di luar negara dengan budaya dan bahasa yang jauh berbeza daripada Malaysia.

Apatah lagi, program ini banyak membantu beliau melatih kemahiran menyesuaikan diri di tempat kerja kerana dapat berkomunikasi dengan yakin bersama pelbagai individu dari pelbagai negara.
Katanya, pengalaman menjalani latihan industri di Liuzhou Railway Vocational Technical College sangat berharga buatnya dirinya kerana di sini banyak hands-on training dan tenaga pengajar sangat supportive and hard working.
Beliau menggalakkan agar lepasan sekolah tidak melepaskan peluang memilih jurusan ini kerana program ini membuka minda dan meluaskan pandangan anda terhadap dunia.
Berkongsi pengalaman antara kenangan paling manis adalah penyertaan beliau mempersembahkan tarian Lemak Manis dan Zapin semasa ketibaan menteri-menteri yang melawat China.
Ujarnya, beliau sendiri pun tidak menyangka menjadi duta kecil mempromosikan kebudayaan kebudayaan negara kita.
“Walaupun berdepan cabaran komunikasi dalam bahasa Cina, bagi saya itu bukan halangan.
“Bagi mengatasinya, saya kerap berlatih bercakap menggunakan bahasa Cina bersama orang lain.
“Kini, saya merasakan pandangan saya terhadap dunia telah meluas, terutamanya melalui interaksi dengan orang dari pelbagai negara,” jelasnya.
Beliau kini dapat menyesuaikan diri dengan pantas dalam budaya yang berbeza, berasa lebih yakin dan matang, serta percaya bahawa pendedahan sebegini sangat penting dalam pembentukan dirinya.
Walaupun tanpa kehadiran keluarga, detik ini amat bermakna dengan kehadiran Naib Canselor, UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, pensyarah dan pegawai universiti yang meraikan kejayaan bersama rakan-rakan seperjuangan.
Selain itu, beliau tidak sabar untuk meraikan bersama keluarga menjelang Majis Konvokesyen UMPSA yang akan berlangsung pada hujung tahun ini.
Lavnesh merupakan salah seorang graduan daripada seramai 25 graduan kohort kedua yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan yang menyokong agenda pembangunan industri rel negara.
Majlis menyaksikan Presiden Beijing Jiaotong University (BJTU), Profesor Dr. Yu Zujun menyampaikan ijazah kepada para graduan disaksikan oleh Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias dan Timbalan Pengarah, Kluster Pembangunan Strategik Pelajar, Bahagian Pembangunan Modal Insan (BPMI), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Idayuwati Abdullah@Ab Rahman.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 29 views
Reports by: