642 Hari Mengupas Watak Pentadbir Hari Ini
Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana mengurniakan kesihatan yang terbaik untuk kita meneruskan agenda kehidupan kita di bumi Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang kita cintai. Mungkin rakan-rakan sekalian tertanya-tanya apa yang dimaksudkan dengan 642 hari? 642 hari juga bersamaan dengan 1 tahun 277 hari, kurang 88 hari mencukupkan angka dua tahun. Kita tinggalkan dahulu angka ini kerana ada perkara yang lebih penting untuk dibincangkan.
Amanat Tahun 2021
Selasa, 16 Februari 2021 bersamaan dengan 4 Rejab 1442 Hijrah, selama satu jam 48 minit, Naib Canselor ke-4 UMP, Yang Berbahagia Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff atau ramai mengenalinya sebagai Prof. Wawy diwawancara secara strim langsung UMPTV yang dikendalikan oleh Ketua Penyelidik Pejabat Naib Canselor, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd. Zain. Suatu pendekatan penyampaian amanat dalam suasana norma baharu. Tema yang dibicarakan agak menarik kerana ia membentuk satu epistimologi baharu dan pandangan sarwa yang menarik, bagaimana sesebuah universiti itu berfungsi. Agak terkesan dengan tema yang diperkenalkan kerana sebelum ini kita dihidangkan dengan tema-tema yang popular dan bombastik.
Bertemakan ‘Kemanusiaan dalam Ekosistem Universiti’, bunyinya amat santai. Tajuk ini menjadi tema dalam Amanat Naib Canselor UMP bagi tahun 2021. Kemanusiaan melambangkan humanity, melibatkan proses kehidupan, manakala ekosistem merupakan terma yang sering digunakan dalam ilmu biologi melambangkan satu proses.
Secara harfiah, tema ini amat mudah dihadam walaupun bersifat falsafah pemikiran. Tidak panjang lebar, lebih menerangkan kepada proses berbanding kepada sasaran pencapaian yang hendak dipenuhi. Prof. Wawy secara santai memberi analogi yang sangat mudah menerusi sebatang pokok. Bagaimana kekuatan akar pokok tersebut tidak nampak pada pandangan zahir manusia, dapat memberi nutrisi kepada bahagian yang lain sehingga menghasilkan buah untuk dinikmati, begitulah dengan organisasi universiti, kekuatan fundamental amat diperlukan bagi menghasilkan produk yang berkualiti.
Ekosistem dari Kaca Mata Pentadbir
Memetik kepada pandangan Naib Canselor UMP iaitu “iklim hari ini adalah ekosistem iaitu suasana yang berbeza dari tradisi”, perlu bagi semua pentadbir memahami apa itu yang dimaksudkan dengan ekosistem. Saya simpulkan kepada tiga perkara asas iaitu:
Pertama, kewujudan sebuah universiti jangan dilihat dari sudut fizikal semata-mata. Kehadiran komuniti UMP harus memberi impak yang mendalam kepada komuniti yang berada di sekitar universiti. UMP berfokus pada matlamatnya, memperkasakan agenda TVET. Kewujudan UMP juga seharusnya memberi impak terhadap komuniti sekitar dengan memberi kemakmuran kawasan setempat, menyediakan ruang pekerjaan, mengurangkan jenayah, menjadi faktor penarik pelabur, bakat dan perniagaan.
Kedua, hari ini kita bercakap atas landasan ekosistem universiti, bukan lagi sebagai industri pendidikan. Transformasi ini memerlukan kita berfikir dan bekerja dalam skop yang lebih besar. Isu universiti lebih besar dari pendidikan. Perancangan kita perlulah ke hadapan untuk kelestarian kampus seperti pembiayaan, kebolehpasaran graduan dan pengkomersialan produk universiti.
Ketiga, transformasi minda pentadbir. Perkara ini amat berkait rapat dengan soal ilmu, integriti, universality dan flexibility, kepantasan penyampaian maklumat serta tangkas dalam membuat keputusan yang efektif tanpa perlu pembaziran sumber. Ini adalah watak pentadbir universiti hari ini. Watak ini tidak boleh lahir terus dalam diri seorang pentadbir tetapi individu tersebut perlu menjalani satu proses pembelajaran sosial, memperkaya pengalaman dan ilmu. Inilah proses latihan yang perlu diikuti. UMP mempunyai kepelbagaian bakat dan watak yang mampu beri manfaat kepada ekosistem untuk memakmurkan sesuatu komuniti.
Lihat Di Sekeliling Kita
Kita harus bersyukur dengan kemakmuran negeri Pahang Darul Makmur. Kemakmuran ini memberi faedah yang amat banyak untuk rakyat negeri Pahang. Mungkin persoalan yang saya bangkitkan ini agak sensitif tetapi selaku Presiden yang mewakili suara pentadbir, kita harus berterus terang. UMP wujud sebagai sebuah komuniti akademik terbesar di negeri Pahang. Tapi apakah sumbangan besar kita terhadap negeri Pahang?
Apa yang terjadi pada Taman Teknologi Gambang? Masih kosong tanpa dibangunkan sedangkan ia berada di dalam kawasan berdekatan UMP. Di manakah gagasan penubuhan Yayasan Warisan Negeri Pahang? Di manakah gagasan koridor ilmu? Kalau disenaraikan sebagai persoalan kajian, sudah pasti siap sebuah tesis PhD!
Peranan pentadbir amat diperlukan dalam memikirkan kestabilan ekosistem sama ada di dalam kampus mahupun di luar kampus. Kita tidak lagi boleh berfikir di tampuk lama. Terlalu kerap diulang pentadbir harus dinamik, proaktif, kreatif dan melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa. Mohon perkara ini dihadam.
Ilmu dan Pengalaman
Ilmu menjadi panduan dalam kita mengurus. Tanpa ilmu kita hilang arah dalam mentadbir. Jika kita ditukarkan ke satu-satu jabatan yang baharu, perkara pertama yang harus kita adaptasi ialah proses perolehan ilmu. Watak baharu pentadbir menuntut untuk kita terus dengan pembelajaran kendiri (self-learning) dan budaya membina atau menjana ilmu (creating) melalui pendekatan lebih inovatif dan kreatif.
Jika tuan-tuan dan puan-puan ditempatkan di Pusat Sukan dan Kebudayaan misalannya, sudah tentu kita perlu cepat belajar bagaimana mengurus teknikal pertandingan, pengurusan seni budaya dan produksi. Jika kita ditempatkan di pengurusan akademik pula, kita perlu cepat mempelajari pengurusan penjadualan kursus, penyediaan pelaporan Pra-BoE, BoE dan perkara-perkara yang berkaitan dengan Senat. Adakala kerja kita akan bersifat berstruktur dan adakala akan bersifat rencam.
Hidup ini adalah hari-hari yang penuh cabaran. Sama sekali pentadbir tidak boleh lari dari cabaran yang datang. Kombinasi ilmu dan pengalaman, menghasilkan watak pentadbir berwibawa.
Pentadbir perlu berubah dengan melakukan sesuatu perkara dengan betul dan sebaik mungkin. Watak baharu ini harus didokong dengan semangat kebersamaan melalui konsep keserakanan, menyuburkan kolaborasi dan menghormati serta menghargai peranan rakan sekerja dalam melaksanakan suatu keputusan tangkas yang betul pada pertama kalinya.
Selamat Hari Ulang Tahun UMP Ke-19
Jika diukur pada fizikal manusia, umur 19 tahun boleh dikatakan masih muda, mempunyai idealisme tersendiri dan berani. Jika pada umur 19 tahun sebuah universiti dapat melahirkan watak pentabir yang berfikiran luas dan memahami terma sebuah universiti tidak ada parameter fizikal yang khusus, sudah tentu pada tahun 2040, UMP dikenali di seluruh dunia. Tidak mustahil.
16 Mei 2019 hingga 16 Febuari 2021, 642 hari telah ditempuh oleh Yang Berbahagia Naib Canselor. 11 perkara telah dicapai bahkan mungkin lebih lagi yang tidak dinyatakan. Walaupun tahun 2020 dianggap getir dengan cabaran COVID-19, Pentadbir UMP tetap memacu keperluan universiti. Cabaran itu diatasi dengan pelbagai kaedah penyampaian lebih berkesan walaupun tidak secara bersemuka. Ini membuktikan kita ikhlas, berintegriti dan berwibawa.
Kesimpulannya, garapan watak pentadbir ini menyuburkan budaya kecemerlangan untuk memacu keunggulan terbilang didasari dengan pengukuhan etika, integriti dan profesionalisme warganya.
PROFESIONAL-DINAMIK-TERUNGGUL
Disediakan oleh Mohd Raizalhilmy Mohd Rais, Presiden Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas merangkap Timbalan Presiden (Hubungan Korporat), Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam (MASTI)
- 251 views