Aplikasi Madani di IPT: UMPSA Madani
Sebagai warga Malaysia, apakah yang anda tahu dan faham tentang kerajaan MADANI setakat ini? Adakah ia tinggal sebagai slogan politik atau hala tuju kerajaan pemerintah semata-mata? Apakah ia tiada kaitan dengan diri anda atau institusi di mana anda berada? Sebenarnya, sebagai warganegara, kita semua terikat dengan sistem pemerintahan negara, semua tertakluk kepada implementasi dasar-dasar pemerintahan negara. Kita tidak boleh tidak ambil tahu atau sekadar tunggu dan lihat kerana apa-apa dasar negara tidak akan berjaya jika kita rakyat tidak melaksanakan atau merealisasikan bersama-sama. Pada akhirnya, rakyat juga yang menikmati hasilnya, negara pula harum pada mata dunia.
Malaysia MADANI merupakan suatu ikhtiar secara bersepadu dan holistik untuk menjadikan segala dasar dan pelaksanaan di Malaysia lebih manusiawi yang sentiasa ditambah baik menerusi musyawarah dan maklum balas rakyat.
MADANI merupakan sintesis gaya Malaysia, yang menggabung jalin amalan sedia ada dengan kaedah baharu yang direka untuk menangani isu-isu baharu dan ketidakpastian. Enam nilai teras MADANI dicerakinkan sebagai kerangka dasar dan falsafah yang berkait rapat dan bersepadu dengan setiap satu menguatkan yang lain. MADANI diilhamkan berdasarkan konsep kesediaan menerima perubahan dengan mengambil kira saranan segenap lapisan masyarakat dengan hasrat pemulihan melalui reformasi substantif demi Malaysia yang lebih maju dan makmur.
Malaysia MADANI mewakili enam rukun iaitu:
1. M (keMampanan)
2. A (kesejAhteraan)
3. D (Daya cipta)
4. A (hormAT)
5. N (keyakiNan)
6. I (Ihsan)
Dalam hal ini, sebagai sebuah universiti awam (UA) yang sudah bertapak dan berkembang maju hampir 22 tahun, tidak ketinggalan untuk turut bersama menyokong kerajaan dan dasar kerajaan Malaysia setiap masa. Ini bertepatan dengan cita-cita dan harapan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Anwar Ibrahim iaitu generasi muda bangkit sebagai kekuatan baharu konsep Malaysia Madani dengan menolak fahaman jumud dan kolot yang hanya merugikan bangsa.
Kemampanan
Kemampanan merujuk kepada mutu hidup seimbang berdasarkan citra Malaysia yang unik berasaskan ilmu pengetahuan dan kearifan tempatan. Menyedari akan hal ini, UMPSA menumpukan bukan sahaja kepada pendidikan malahan penyelidikan yang menjadi nadi penting sebagai institusi pendidikan berteraskan teknologi kejuruteraan. Sebagai sebuah pusat perkembangan ilmu, maka sudah pastilah UMPSA merupakan antara penyumbang ilmu kepada pembangunan modal insan negara Malaysia. Elemen-elemen yang terdapat di dalam Rukun Negara terangkum dalam subjek-subjek keagamaan, kemanusiaan dan teknologi dan kejuruteraan.
Kesejahteraan
Kesejahteraan merujuk kepada kesejahteraan ekonomi, sosial dan kelestarian alam melalui budaya ilmu dan kepelbagaian pandangan. Aplikasi elemen ini di UMPSA adalah dengan mewujudkan persekitaran kampus yang mesra warga pekerja dan pelajar. Ini dapat dilihat pada kemudahan yang disediakan seperti gim, trek joging, pusat sejahtera, pusat sukan serta pemeriksaan kesihatan berkala untuk semua pekerja bagi melahirkan warga UMPSA yang sejahtera mental dan fizikal.
Hormat
Hormat pula merujuk kepada perilaku budi bahasa kepada kekayaan tradisi, merayakan kemajmukan dan meraikan perbezaan pandangan dunia. Sememangnya etika dan adab merupakan elemen penting yang ditekankan oleh UMPSA kepada para pelajarnya. Justeru, diberi peluang kepada semua pelajar UMPSA dari pelbagai agama dan bangsa untuk meraikan kepelbagaian dengan melaksanakan pertunjukan kebudayaan kaum setiap tahun dari dalam dan luar negara.
Keyakinan
Menghidupkan harapan terhadap perubahan seiring sikap amanah melakukan perubahan ke arah kebaikan. UMPSA sentiasa melangkah ke hadapan dalam bidang teknologi sehingga mendapat penarafan antarabangsa melalui penyelidikan dan daya cipta. Ini bagi memberikan keyakinan kepada masyarakat di luar sana akan keupayaan UMPSA sebagai sebuah universiti awam yang berdaya saing dalam menyediakan pendidikan bertaraf dunia dalam bidang teknologi dan kejuruteraan. Keyakinan masyarakat terhadap UMPSA dapat dilihat pada pertambahan jumlah pelajar yang mendaftar masuk ke UMPSA.
Daya Cipta
Pembaharuan dan pengupayaan modal insan bagi menjelmakan daya cipta manusia. Dalam hal ini, UMPSA sentiasa membuka dan memberi peluang kepada warganya untuk terus cemerlang dalam bidang masing-masing. Hasilnya UMPSA telah memenangi banyak pertandingan daya cipta sama ada di peringkat kebangsaan atau luar negara. Malahan, beberapa penyelidik UMPSA telah disenaraikan sebagai penyelidik yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa.
Ihsan
Belas ihsan akan nasib semua pihak melalui tindakan pemberdayaan kemanusiaan. Di UMPSA, diwujudkan Jabatan OKU (Orang Kurang Upaya) bagi memberi ruang dan peluang yang sama rata dalam kalangan warga UMPSA termasuklah warga OKU. UMPSA menerapkan nilai serta budaya kampus yang mesra OKU serta menggalakkan penglibatan warga OKU dalam bidang yang mereka ingin ceburi melalui khidmat bantuan dan sokongan yang sesuai.
UMPSA juga telah melancarkan kolej kediaman berkonsep wakaf yang pertama di negara ini bagi membantu pelajar dari golongan asnaf. Kolej kediaman ini dikenali sebagai Kolej Kediaman Mawaddah merupakan hasil kerjasama pihak UMPSA dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
Selain itu, UMPSA juga turut memperkenalkan set hidangan Menu Kasih buat pelajar di dalam kampus dengan menyediakan jualan makanan di dalam kampus dengan setiap hidangan pada harga siling RM3.50 menerusi inisiatif Food Basket Siswa Keluarga Malaysia. Inisiatif makanan berkualiti dengan harga serendah RM3.50 bagi setiap hidangan itu disambut baik pelajar dan menghargai usaha pihak universiti serta pengusaha kafeteria UMPSA bagi menjayakan usaha meringankan beban pelajar. Terdapat sembilan inisiatif atau kupon disediakan di bawah Food@Campus Keluarga Malaysia Keluarga UMPSA termasuk UMPSA Kasih, UMPSA Pek Kasih Sayang dan UMPSA Campus Pantry.
UMPSA terus mengekalkan tradisinya di bulan Ramadan dengan menyediakan juadah berbuka puasa secara percuma menggunakan talam kepada warganya yang berbuka puasa di Masjid UMPSA Kampus Gambang dan UMPSA Pekan sejak lebih sepuluh tahun lalu. Ia adalah hasil sumbangan organisasi korporat, anak syarikat UMPSA, jabatan dan Tabung Ramadan Yayasan UMPSA yang diterima daripada pihak luar termasuk individu dan pihak korporat yang menyumbang untuk melalui Yayasan UMPSA.
Kesimpulannya, dengan tidak mengaitkan dengan mana-mana agenda politik dan kepentingan, aplikasi MADANI ke dalam persekitaran institusi pengajian tinggi adalah sangat bermakna kerana di sinilah segalanya bermula iaitu mendidik mahasiswa yang bakal memegang tampuk pemerintahan negara serta pemupukan budaya MADANI dalam kalangan warga universiti dari pelbagai peringkat, pangkat dan jawatan.
E-mel: hasnah@umpsa.edu.my
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 4 views