COVID-19 : Sabar dan duduk rumah pra syarat mendapat rahmat Allah
Pandemik wabak penyakit bukanlah satu perkara baharu dalam tamadun manusia. Sedari tahun 165 M, 5 juta nyawa manusia terkorban akibat Antonine Plague. Penyakit ini merebak di Mesir, Greek dan Italy, dikatakan dibawa melalui darat oleh tentera Rom selepas berperang dengan Tamadun Mesopotamia.
Antara tahun 1346-1353 M pula, pandemik The Black Death menyerang benua Eropah, Afrika dan Asia. Penyakit hawar ini berpunca daripada tikus dan kuman yang diangkut menerusi kapal dagangan menerusi laluan laut. Sekurang-kurangnya 75 juta nyawa manusia terkorban.
Pada zaman moden, dengan populasi manusia semakin bertambah selain kemudahan pengangkutan udara dan laut merentas benua, pandemik bukanlah satu perkara yang pelik. Pandemik influenza yang melanda dunia antara tahun 1918 hingga 1920, mengorbankan hampir 50 juta nyawa dalam tempoh yang singkat
Sekarang, tamadun manusia diuji lagi dengan pandemik Covid-19. Dalam masa yang pantas, ribuan manusia daripada seluruh pelusuk dunia telah dijangkiti. Pada permulaan penyebaran virus baru ini, ia hanya tertumpu di negara China. Namun kini, penularannya sukar untuk dibendung daripada merentasi sempadan pelbagai negara.
Terdapat naratif berdalilkan hujah agama yang kurang cermat dalam menyantuni penyebaran Covid-19 ini. Pada awalnya, dihujahkan ia sebagai Kafarah terhadap kezaliman negara China ke atas Muslim Uighur, sehingga langsung tidak melanda umat Islam. Sekarang terbukti ia salah. Kemudian diikuti pula dengan naratif eskatologi, bahawa dunia sudah menghampiri penghujungnya. Tidaklah dinafikan kebenaran naratif ini, cuma jangan lupa bahawa kelahiran Nabi Muhammad SAW itu sendiri merupakan petanda akhir zaman, bahkan sebelum kelahiran Nabi lagi pandemik penyakit telah berlaku pada skala yang besar.
Terdapat banyak dalil al-Quran dan al-Hadith yang menerangkan betapa musibah itu adalah azab kecil akibat kerosakan yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia. Tetapi ia juga menjadi rahmat kepada Mukmin yang bersabar dan memberikan respon yang positif dalam menghadapinya. Dalam sepotong hadith Sahih Bukhari, Aisyah bertanya kepada Nabi Muhammad SAW mengenai taun. Jawab Nabi:
Ia adalah suatu azab yang diutuskan Allah ke atas sesiapa yang dikehendakiNya. Lalu dijadikannya oleh Allah sebagai rahmat untuk orang mukminin. Maka tidaklah seorang hamba itu ditimpa taun lalu dia duduk menetap di negerinya dengan sabar, dan dia tahu bahawa tidak akan ada yang menimpanya kecuali apa yang telah dituliskan oleh Allah kepadanya, melainkan baginya seumpama pahala mati syahid
Hadith ini jelas menerangkan respon sebenar umat Islam dalam berhadapan dengan Covid-19. Bukan semata-mata yakin dan redha dengan ketentuan Allah SWT semata-mata, tetapi perlu berikhtiar dengan tidak keluar daripada daerah kediamannya.
Di Malaysia, kerajaan telah menetapkan Perintah Kawalan Pergerakan sebagai ikhtiar untuk membendung penularan Covid-19 yang meningkat akibat kecuaian segelintir saudara kita. Tindakan ini terbukti berjaya mengurangkan secara drastik penyebaran virus berbahaya ini, seperti di wilayah Wuhan, China.
Tindakan yang sama pernah direkodkan dalam sejarah Islam. Menurut catatan Ibn al-Athir, pada tahun 1048 M, pandemik penyakit pernah melanda Tamadun Islam di Makkah, Iraq, Palestin dan Sham. Imam al-Zahabi meriwayatkan sekitar tahun 1055M, peristiwa itu menyebabkan masjid-masjid ditutup, dan langsung tidak didirikan solat (Siyar A’lam al-Nubala’, 18/311).
Dalam berhadapan dengan Covid-19 ini, majoriti penduduk dunia tiada langsung pengalaman untuk melaluinya. Lantas, tidak hairanlah mengapa masih berlaku tindakan yang dilihat sebagai mementingkan diri sendiri, terutama tidak mempedulikan Perintah Kawalan Pergerakan. Mudah-mudahan rakyat Malaysia dapat memberikan respon yang lebih baik dalam membendung penularan wabak ini, khasnya dalam kalangan umat Islam, kerana itulah pra syarat yang dinyatakan Nabi untuk melayakkan kita mendapat rahmat di sebalik ujian penyakit berjangkit.
Disediakan oleh : Dr Ahmad Irfan bin Ikmal Hisham, Ketua Program Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang (UMP). Emel: irfan@ump.edu.my
- 479 views