FIM UMPSA raih Akreditasi Antarabangsa Lean Six Sigma daripada CSSC
Pada 8 Januari 2026 yang lalu, Fakulti Pengurusan Industri (FIM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah berjaya memperoleh akreditasi antarabangsa sebagai Penyedia Latihan dan Pensijilan Lean Six Sigma daripada The Council for Six Sigma Certification (CSSC), bagi program Yellow Belt.
Akreditasi ini yang berkuat kuasa mulai 8 Januari 2026 mengiktiraf FIM UMPSA sebagai institusi yang memenuhi piawaian antarabangsa dalam penyampaian latihan, penilaian dan pensijilan Lean Six Sigma. CSSC merupakan badan pensijilan Lean Six Sigma yang diiktiraf secara global, dan pencapaian ini meletakkan UMPSA dalam kalangan institusi terpilih di dunia yang mempunyai kelulusan tersebut.
Pencapaian ini disokong oleh 13 orang pensyarah FIM yang telah berjaya memperoleh pensijilan Lean Six Sigma Black Belt. Mereka menjadi teras kepada pelaksanaan latihan, pengajaran dan penilaian Lean Six Sigma di UMPSA. Ini bagi memastikan bahawa pendekatan Lean Six Sigma di FIM bukan sekadar berasaskan teori, tetapi diaplikasikan secara praktikal, berorientasikan industri dan berpandukan data, sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa.
Kurikulum Dipetakan Mengikut Standard Antarabangsa
Bagi memperoleh akreditasi CSSC, Program Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Industri, UMPSA telah melaksanakan proses pemetaan silibus yang sistematik bagi memastikan kandungan Lean Six Sigma Yellow Belt disepadukan di dalam kurikulum akademik program. Pemetaan ini melibatkan kursus BPT3343 Production Management, BPT3323 Quality Management and Control, BPT2333 Method-Based Technology Strategy, BPF1343 Principles of Operations Management dan BPT3343 Creativity and Innovation, yang telah diselaraskan dengan keperluan standard Lean Six Sigma Yellow Belt CSSC. Pendekatan ini memastikan pelajar bukan sahaja mempelajari konsep Lean Six Sigma, malah turut membangunkan kemahiran tersebut melalui struktur pembelajaran yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Selaras dengan perolehan akreditasi ini, semua pelajar Program Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Industri yang lulus peperiksaan khas Lean Six Sigma Yellow Belt akan layak menerima pensijilan rasmi daripada CSSC. Ini bermakna pelajar UMPSA akan memperoleh bukan sahaja ijazah akademik, malah satu pensijilan profesional antarabangsa yang meningkatkan kebolehpasaran, dan daya saing mereka di peringkat global.
Lambang Kualiti dan Kredibiliti UMPSA
Akreditasi ini menjadi lambang kualiti dan kredibiliti terhadap sistem latihan dan pendidikan di UMPSA. Melalui pengiktirafan CSSC ini, FIM UMPSA kini menyediakan laluan pembelajaran yang menggabungkan standard antarabangsa, keperluan industri dan kecemerlangan akademik, sekali gus memperkukuh kerjasama strategik antara universiti dan sektor industri. Pencapaian ini menyokong aspirasi UMPSA sebagai universiti berteraskan industri yang menekankan produktiviti, kualiti dan penambahbaikan berterusan. Dengan akreditasi ini, FIM UMPSA kini berada pada kedudukan strategik sebagai salah satu pusat rujukan Lean Six Sigma di peringkat nasional dan serantau.

Oleh: Ts. Dr. Norhana Mohd Aripin
E-mel: norhanama@umpsa.edu.my
Penulis adalah Ketua Jabatan (Pengurusan Teknologi Industri), Fakulti Pengurusan Industri (FIM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 127 views
Reports by: