Jom Jadi Pekerja Idaman Majikan
Tarikh 1 Mei setiap tahun merupakan tarikh yang bermakna bagi kesemua pekerja di Malaysia kerana ia merupakan cuti khas bagi golongan pekerja sama ada pekerja di sektor awam, sektor swasta mahupun bekerja sendiri. Semua pekerja adalah penyumbang kepada kemajuan negara dan sememangnya disambut baik oleh setiap pekerja di Malaysia kerana sumbangan dan khidmat bakti mereka dihargai setiap masa.
Tema Hari Pekerja Tahun 2024 adalah ‘Pekerja Kesuma Bangsa’. Pemilihan tema ini adalah seiring dengan inisiatif kerajaan melahirkan modal insan yang mempunyai ciri-ciri kebudayaan, nilai dan aspirasi yang sama di samping berkompetensi untuk berinovasi serta meneroka bidang-bidang baharu yang merupakan faktor yang akan menentukan daya saing dan kemakmuran masa depan negara.
Setiap pekerja harus melakukan yang terbaik bagi menaikkan nama institusi, syarikat atau agensi di mana mereka bekerja. Seseorang pekerja harus melakukan kerja dengan niat yang ikhlas untuk majikan dan agensi tersebut, bukanlah semata-mata untuk mengejar pangkat serta darjat. Di sini disertakan beberapa ciri-ciri pekerja yang menjadi rebutan majikan pada masa kini.
Kelayakan akademik
Seseorang pekerja itu seharusnya mempunyai kelayakan akademik yang setara dengan jawatan yang dipohon dan lebih baik lagi jika mendapat kepujian yang cemerlang. Kelayakan akademik yang tinggi atau cemerlang sememangnya menjadi idaman majikan bagi memastikan pekerja tersebut mempunyai kepakaran dalam bidang yang diceburi.
Integriti
Sifat integriti merupakan nilai yang sangat penting dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Integriti bermaksud sifat jujur yang tinggi dalam diri seseorang individu sama ada pada diri sendiri atau di tempat kerja. Sifat ini adalah sangat diperlukan oleh majikan kerana sifat ini mampu menjaga nama dan reputasi institusi di mata orang ramai. Pekerja yang tidak berintegriti dengan mudah akan mencemarkan nama baik institusi dalam masa yang singkat dan hilang kepercayaan masyarakat terhadap institusi walaupun ia sudah lama berdiri teguh.
Tahap kecerdasan yang tinggi
Untuk menjadi pekerja yang diingini oleh majikan, seseorang itu perlulah mempunyai tahap kecerdasan yang tinggi. Ia dapat dilihat apabila seseorang pekerja itu sentiasa memberikan idea atau cadangan dari semasa ke semasa dalam menambah baik perkhidmatan organisasi tersebut. Dunia sentiasa berubah, maka keperluan dan pelaksanaan organisasi juga akan turut berubah serta kena berubah mengikut keperluan semasa. Idea baharu tidak datang sendiri, maka pekerja itu haruslah dari semasa ke semasa juga menimba ilmu yang baharu melalui kursus-kursus yang dihadiri. Harus ditekankan di sini, idea baharu perlukan ilmu baharu.
Personaliti yang menarik
Selain itu, seseorang itu juga perlu mempunyai personaliti yang menarik terutamanya bagi sektor yang memerlukan pertemuan dengan orang awam. Personaliti menarik ini merangkumi mudah mesra, sentiasa tersenyum, bersopan santun dan mudah untuk didekati. Ini merupakan tarikan utama masyarakat untuk datang ke sesuatu institusi atau organisasi bagi mendapatkan perkhidmatan. Sering kali kita mendengar rungutan orang ramai atau masyarakat yang tidak puas hati dengan layanan staf yang tidak melayan pelanggan dengan baik. Ini merupakan perkara yang perlu dijaga oleh semua pihak, kerana tanpa orang ramai siapalah organisasi tersebut.
Kerja berkumpulan
Mampu bekerja sebagai kumpulan (team-work). Perkara ini juga sangat penting kerana tanpa team-work yang kuat sesuatu institusi itu sukar untuk membangun. Dengan kata lain, seseorang itu perlu ada kebolehan untuk bekerja dengan orang lain walaupun berlainan pendapat dan pandangan. Sebagai contohnya, sesebuah universiti tidak boleh membangun tanpa bantuan kecemerlangan dari jabatan dan fakulti lain.
Kepimpinan
Secara ringkasnya, kepimpinan bermaksud kesanggupan seseorang untuk memikul tanggungjawab bagi mengetuai sesuatu kerja atau projek. Selain itu, seseorang itu juga perlu mempunyai kesediaan untuk memimpin organisasi mencapai matlamat. Tidak semua orang dilahirkan sebagai pemimpin, tetapi setiap individu akan bertindak sebagai pemimpin secara tidak langsung apabila berada di sesuatu organisasi. Di sini, pekerja akan belajar proses bagaimana untuk memimpin jabatan atau kumpulannya untuk mencapai matlamat organisasi.
Kekuatan dalaman
Aspek ini juga merupakan sesuatu yang dicari majikan kerana sesuatu organisasi atau syarikat sudah tentu akan berdepan pelbagai masalah. Justeru, kekuatan dalaman dalam menghadapi konflik di tempat kerja adalah suatu kemestian. Kekuatan dalaman ini termasuklah tidak mudah mengalah, tidak mudah putus asa, kecewa, dan mudah menyerah. Di mana boleh dilihat pekerja tersebut mempunyai kekuatan dalaman? Iaitu semasa institusi dilanda masalah kewangan menyebabkan banyak perbelanjaan operasi dikurangkan, pekerja itu sendiri yang bergerak mencari inisiatif untuk mengumpul dana, dan bukannya cabut lari mencari pekerjaan lain.
Kemahiran berkomunikasi
Kemahiran berkomunikasi merupakan elemen penting yang dicari oleh majikan pada masa kini. Dengan adanya kemahiran berkomunikasi, ia akan menaikkan hasil jualan syarikat, kesetiaan pengguna, kedudukan syarikat dan juga menarik minat masyarakat untuk menggunakan perkhidmatan anda. Jika anda ada nilai tambah seperti kebolehan bertutur dalam banyak Bahasa, ia akan memberikan kelebihan kepada anda sebagai pekerja. Dewasa ini, pekerja bukan sahaja pandai berkomunikasi malahan perlu menguasai pelbagai bahasa agar mereka mudah diterima oleh semua lapisan masyarakat dari pelbagai latar belakang budaya dan agama.
Kebolehan membuat keputusan
Seseorang itu perlu mempunyai keberanian dan keupayaan untuk membuat keputusan. Perkara ini penting kerana syarikat memerlukan seseorang pekerja yang cekap dalam membuat keputusan yang bijak dan bukannya seseorang yang tidak yakin serta takut untuk membuat keputusan. Sikap berani membuat keputusan mencerminkan diri anda yang berani menanggung risiko, berani hadapi cabaran dan mampu menangkis segala halangan untuk membawa nama baik syarikat ke peringkat yang lebih tinggi.
Menonjolkan kebolehan diri
Dalam hal ini, seseorang itu perlu menunjukkan bahawa dia mempunyai sesuatu yang unik bagi menarik perhatian majikan. Ini bermakna seseorang pekerja itu haruslah mempamerkan apa sahaja kebolehan yang ada pada dirinya untuk disumbangkan kepada pembangunan dan kelestarian orgnanisasi tersebut. Jangan malu untuk mempamerkan kebolehan anda yang tidak ada pada diri orang lain. Dengan erti kata yang lain, bukan nak menunjuk atau ‘show off’ tetapi dalam aspek pekerjaan, ia perlu dilihat dari sisi yang positif iaitu berani mempamerkan bakat dan kebolehan agar majikan melihat potensi diri anda dalam organisasi tersebut.
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
E-mel: hasnah@umpsa.edu.my
- 552 views