KUANTAN - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berhasrat membuka Pusat Pembelajaran UMPSA Kuala Lumpur (UMPSA KL) sebagai usaha memperluas akses pendidikan tinggi khususnya dalam Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada masyarakat bandar serta golongan profesional yang bekerja.
Usaha tersebut sebahagian daripada persediaan UMPSA mengukuhkan kedudukan universiti itu sebagai hab TVET termaju di rantau ASEAN yang berteraskan kecemerlangan akademik, jaringan global dan keupayaan penghasilan graduan berkualiti tinggi.
Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias berkata, Kuala Lumpur kini menjadi lokasi strategik UMPSA bagi menarik lebih ramai pelajar dari wilayah tengah dan selatan Semenanjung Malaysia.
Menurutnya, strategi itu dilihat sebagai langkah terbaik untuk memperluas akses kepada pendidikan tinggi berkualiti serta menyediakan peluang pembelajaran yang lebih fleksibel kepada pelajar dalam dan luar negara.
"Inisiatif ini turut memastikan golongan muda mendapat akses kepada kemahiran teknikal berkualiti tinggi sejajar dengan permintaan pasaran buruh yang semakin memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
"Sudah tiba masanya UMPSA mempunyai Pusat Pembelajaran di Kuala Lumpur dalam menawarkan jaringan strategik bagi pelajar yang mencari akses TVET tanpa perlu pelajar ke kampus universiti di Gambang dan Pekan di Pahang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat persediaan dan menghadiri mesyuarat penyelarasan bersama anak-anak syarikat milik penuh UMPSA iaitu UMPSA Holdings dan UMPSA Advanced.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMPSA Holdings, Ts Mohd Fadzil Mohd Idris dan Ketua Pegawai Eksekutif UMPSA Advanced, Dr Ahmad Johari Mohamad.