Keunikan juadah tradisional Hari Raya Aidilfitri di Malaysia tarik minat pelajar antarabangsa di UMPSA
Sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah waktu terbaik untuk meluangkan masa bersama keluarga dan menikmati juadah raya bersama-sama. Setiap keluarga mempunyai juadah kegemaran istimewa yang akan dihidangkan ketika hari raya. Juadah-juadah ini dinikmati bersama keluarga, jiran dan juga mereka yang berkunjung beraya dan ziarah menziarahi. Selain menikmati kelazatan juadah raya, cara ini juga dapat mengeratkan silaturahim melalui penyediaan dan perkongsian makanan istimewa. Terdapat sebahagian masyarakat turut berkongsi rezeki dengan membahagi-bahagikan makanan istimewa kepada jiran tetangga (Siti Nor Zuraikha, 2024). Seawal pagi atau sesudah menunaikan solat sunat hari raya juadah ini akan dikongsikan dengan jiran-jiran dan sudara mara yang terdekat.
Apa yang lebih istimewa, apabila menjelang hari raya, kita juga berpeluang menikmati hidangan yang tidak terdapat pada hari-hari biasa (Abdul Mutalib, 2024). Juadah dan masakan ini bukan sahaja istimewa tetapi menjadi makanan di Malaysia. Terdapat juadah yang diwarisi secara turun-menurun dalam kalangan orang tempatan dan luar (Unilever Food Solutions, 2024) yang menjadikan makanan Malaysia unik dan mempunyai pelbagai variasi rasa bentuk dan kombinasi.
Di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), sebahagian besar pelajar antarabangsa ini tidak pulang ke tanah air masing-masing untuk menyambut hari raya. Mereka menyambut perayaan ini dengan rakan-rakan di universiti ini. Para pelajar ini berpeluang menikmati pelbagai juadah makanan hari raya di negara ini. Secara tidak langsung, kerinduan mereka terhadap keluarga dapat diubati dengan meluangkan masa meniknmati juadah ini dan berkongsi atau bertukar cerita serta pengalaman.
Menurut MD Mainul Islam, pelajar dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) yang berasal dari Bangladesh, beliau amat mengemari Rendang Daging kerana ia seolah-olah mempunyai persamaan dengan makanan dari Bangladesh iaitu ‘Kala Bhuna’. Selain itu, ‘Sagu Gula Melaka’ juga mempunyai persamaan dengan makanan Bangladesh iaitu ‘Payesh’ ataupun ‘Shemai’. Kedua-dua makanan ini juga dinikmati semasa sambutan Aidilfitri di Bangladesh. Lebih menarik lagi, Mainul telah mencuba memasak ‘Rendang Daging’ dengan bantuan rakannya dan masakan yang mereka hasilkan ternyata sangat sedap.
Sementara itu, Salman Mohammed Banabila, pelajar Fakulti Komputer (FK) yang berasal dari Yaman berkongsi bahawa beliau menggemari ‘Nasi Kuning’. Hal ini adalah kerana keenakan nasi tersebut yang dimakan bersama dengan ayam. Nasi ini tidaklah sama seperti juadah di Yaman, namun makanan ini mampu mengubati kerinduan beliau terhadap juadah di Yaman. Salman juga telah mencuba memasak ‘Rendang’ semasa sambutan Aidilfitri lalu. Walaupun pada mulanya beliau agak sukar untuk menetapkan sukatan rempah yang diperlukan, namun pengalaman itu adalah menyeronokkan dan menjadikan dirinya berani mencuba dalam menghasilkan masakan baharu.
Seterusnya, pelajar yang berasal dari Indonesia, Azmi Wan Nurhaliza dari FK juga turut berkongsi bahawa beliau menyukai ‘Rendang’ dan kuih raya ‘Tart Nanas’ kerana makanan ini adalah seperti juadah raya di Indonesia. Menurut Liza, juadah semasa Aidilfitri di Malaysia dan Indonesia adalah lebih kurang sama kerana terdapat juga ‘Ketupat’ semasa sambutan Aidilfitri di Indonesia. Beliau turut berkongsi bahawa beliau telah cuba membuat kuih raya ‘Tart Nanas’. Walaupun hasilnya tidak sama seperti yang dijual di kedai, namun pengalaman itu adalah menyeronokkan dan membina hubungan baik beliau dengan kawan-kawannya di kolej.
Menurut Apenene Gedeon Prunel, pelajar FTKMA yang berasal dari Gabon, peluang beliau untuk turut sama menyambut Aidilfitri membuatkan dirinya sangat teruja untuk mengenali budaya di Malaysia. Sebagai pelajar yang bukan beragama Islam, beliau tidak menyangka mendapat peluang meraikan sambutan ini. Beliau telah mencuba pelbagai juadah raya di Malaysia dan amat menggemari ‘Rendang’ kerana rasanya yang unik. Beliau mendapati bahawa melalui makanan, semua kaum dan bangsa di negara ini disatukan dalam Sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Peringkat UMPSA. Selain itu, beliau menyatakan bahawa beliau tidak pernah cuba memasak juadah raya Malaysia dan berminat untuk belajar memasak ‘Rendang’. Menurut beliau, juadah rendang mungkin memerlukan masa dan bahan yang banyak, namun, ia adalah satu pengalaman yang menyeronokkan sebagai salah satu cara untuk mengenali budaya setempat.
Kesimpulannya, keunikan juadah tradisional Hari Raya bukan sekadar terletak pada rasa dan penyediaannya, tetapi turut membawa nilai budaya dan sosial yang perlu dihargai. Melalui perkongsian makanan dan pandangan pelajar antarabangsa di UMPSA, sambutan Aidilfitri menjadi medan interaksi budaya yang positif dan inklusif. Juadah makanan tradisonal dan kuih raya menjadi unsur memperkenalkan makanan tempatan kepada masyarakat luar negara yang lain. Ia secara tidak langsung dapat memperkenalkan kekayaan dan warisan Malaysia khususnya kepada masyarakat dunia melalui para pelajar antarabangsa ini. Selain itu, para pelajar dapat menimba pengalaman baharu menyambut sambutan Aidilfitri di negara ini.
Rujukan:
Perpustakaan Negeri Sabah (2023). 100 Juadah Perayaan. Diambil daripada: https://library.sabah.gov.my/index.php/ms/100-juadah-perayaan
Yaacob, S. N. Z. (2021, May 5). Makanan Hari Raya Yang Wajib Disediakan Setiap Tahun. Diambil daripada: https://my.theasianparent.com/makanan-hari-raya
Unilever Food Solutions. (n.d.). Makanan Warisan Untuk Hari Raya. Diambil daripada: https://www.unileverfoodsolutions.com.my/ms/inspirasi-chef/tradisi-rama…;

Guru Bahasa
Pusat Bahasa Moden
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
ainun@umpsa.edu.my

Guru Bahasa
Pusat Bahasa Moden
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
jamilahbebe@umpsa.edu.my
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 210 views