Konvokesyen Bukan Sekadar Temasya Penamat Ilmu
Konvoksyen merupakan suatu temasya meraikan para graduan setelah bertahun-tahun berada di institusi-instusi pengajian tinggi. Segulung ijazah yang diperoleh bukan sahaja penamat ilmu tetapi satu pengesahan sebagai insan berilmu. Sebaliknya, ilmu yang diperolehi itu seiring dengan adab dan keperibadian seseorang insan bagi memperlihatkan kejayaan membentuk peribadi disamping memperkukuhkan nilai serta rasa tanggungjawab dalam kehidupan selepas ini.
Konvokesyen merupakan satu pentas, satu semangat, satu sejarah bakal tercipta! Inilah masanya untuk meraikan setiap titik peluh, setiap usaha, dan setiap detik perjuangan graduan. Selangkah dipentas konvokesyen, graduan akan bergelar alumni. Seharusnya di hari konvokesyen, alumni boleh memberikan satu sumbangan berbentuk perkongsian ilmu dikalangan alumni. Ini bagi memastikan kesesuaian program yang telah dilalui dengan keperluan pasaran semasa dan halatuju universiti.
Hasil bentuk perkongsian ilmu ini akan memberikan perspektif segar dan mengukuhkan lagi program yang sediada. Selain itu, pendapat daripada alumni boleh memberi gambaran program yang dipelajari relevan dengan keperluan pasaran kerja dan selari perkembangan industri.
Graduan kini bukan lagi sebagai ‘tikus makmal’ atau bahan ujian bagi memenuhi keperluan kerjaya seharusnya dipandang sebagai ‘pencipta kerja’ yang mampu memenuhi kerjaya berteras digitalisasi menerusi kekuatan intelektual, sains inovasi dan teknologi tinggi.
Senyuman graduan yang menaiki pentas sehala menerima pengiktirafan ilmu seharusnya mempunyai azam untuk mengembalikan ilmu industri kepada bakal graduan. Kerjasama alumni perlu diwujudkan satu portal perkongsian ilmu dimana ilmu baharu boleh dikongsi dengan warga universiti bagi mengukuhkan bidang dan program di universiti dan institusi pengajian tinggi. Pengiktirafan program yang sediada dengan sokongan alumni mampu menarik minat untuk bakal pelajar baharu untuk memilih program pilihan. Alumni seharusnya bertindak sebagai satu pelengkap bagi penarik dalam sesebuah program.
Seharusnya universiti mempunyai satu skuad sukarelawan untuk mempromosikan konvokesyen ini sebagai satu majlis yang penuh gemilang untuk mempromosikan universiti.
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah meraikan Majlis Konvokesyen Ke-20 baru-baru ini. Ia akan menjadi satu kenangan terindah bagi graduan. Di sinilah tempat mencipta kejayaan di universiti berteraskan teknologi dim ana sebagai sebuah institusi yang menjunjung falsafah Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) termaju ke arah universiti terbaik dalam penyelidikan dan inovasi. Para graduan TVET Termaju haruslah menabur bakti di UMPSA dengan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi, industri, dan masyarakat dalam memastikan relevansi program-program teknikal dengan keperluan pasaran kerja.
UMPSA selaras dengan slogan ‘Teknologi untuk Masyarakat’, seharusnya sebagai tempat yang mematangkan pemikiran ke arah intelektual untuk para graduan ini menimba ilmu dan mempraktikkan kepada masyarakat dan melalui proses ‘adulting’. Di UMPSA ini, mereka telah belajar menjadi dewasa dan bertapak di peringkat global. Membangunkan modal insan berjiwa MADANI, Semasa di universiti, bakal graduan telah belajar menguruskan diri sendiri, menjalankan tanggungjawab kepada komuniti, mengurus kewangan, dan membuat keputusan yang matang.
Konvokesyen adalah meraikan umpama seorang pahlawan di belakang kejayaan mereka, dan kehadiran, sokongan serta doa restu keluarga adalah pendorong yang sangat bernilai dalam kehidupan para graduan ini.
Perjalanan sebagai seorang graduan bermula apabila berkonvokesyen. Ia bukan satu penamat tetapi satu langkah yang akan membentuk insan yang akan menabur bakti kepada agama, negara dan bangsa. Berakhirnya konvokesyen tetapi pendidikan tidak berakhir setelah mendapat diploma ataupun ijazah. Teruskan belajar dan beradaptasi dengan perkembangan dalam industri pilihan.

Oleh: BR. TS. DR. MOHAMMAD AFFENDY OMARDIN
E-mel: affendi@umpsa.edu.my
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 20 views