Skip to main content

Memaknai Integriti Dalam Tadbir Urus Universiti

Institusi pengajian tinggi (IPT) merupakan wadah penting dalam pembinaan ilmu, nilai dan kepimpinan masa hadapan negara. Sehubungan itu, tadbir urus universiti yang berintegriti bukan sahaja kritikal bagi menjamin kelangsungan institusi, malah berperanan besar dalam membentuk budaya akademik yang beretika, telus dan bertanggungjawab. 

Tadbir urus universiti merangkumi pelbagai aspek, termasuk pengurusan akademik, penyelidikan, kewangan, sumber manusia serta hubungan strategik dengan pihak berkepentingan seperti pelajar, staf, industri dan masyarakat. Walaupun, universiti lazimnya dilengkapi dengan rangka kerja perundangan, dasar, peraturan dan prosedur yang jelas, hakikatnya keberkesanan tadbir urus tidak akan tercapai tanpa penghayatan nilai integriti dalam kalangan warga universiti. Integriti menjadi asas kepada pembuatan keputusan yang adil, berhemah dan sentiasa berpaksikan kepentingan pendidikan serta pembangunan insan.

Memaknai Integriti Dalam Tadbir Urus Universiti

Integriti bukan sekadar prinsip pentadbiran atau slogan organisasi, sebaliknya ia bermula daripada personaliti individu dalam melaksanakan tugas. Ia terpancar melalui cara seseorang berfikir, membuat keputusan, memikul amanah serta berinteraksi dengan orang lain. Seorang pemimpin yang berintegriti bukan sekadar berperanan sebagai ketua dari sudut struktur, tetapi sebagai khalifah yang memikul tanggungjawab moral, etika dan spiritual. Justeru, integriti perlu bermula daripada pemimpin itu sendiri, kerana kepimpinan yang berkesan lahir daripada teladan dan keperibadian, bukan arahan semata-mata.

Keutuhan integriti seseorang terbentuk melalui kerangka nilai yang dipegang dan diamalkan secara konsisten. Kerangka nilai inilah yang membentuk sikap, menentukan pertimbangan serta memandu tindakan, sama ada ketika berada di bawah pengawasan atau sebaliknya. Dalam konteks ini, niat memainkan peranan yang sangat asas. Islam meletakkan niat sebagai teras kepada setiap amalan, kerana keikhlasan niat menentukan nilai dan keberkatan sesuatu tindakan.

Dalam mendukung keutuhan integriti individu, terdapat beberapa nilai teras yang boleh dijadikan asas kepada pembudayaan integriti yang saling melengkapi, iaitu iman, ihsan, istiqamah, itqan dan ikhlas.

Iman merupakan asas utama dalam pembentukan integriti warga universiti. Kesedaran bahawa setiap amanah akademik dan pentadbiran akan dipertanggungjawabkan mendorong pemimpin serta staf untuk bertindak secara jujur dan beretika. Dalam konteks universiti, iman diterjemahkan melalui ketelusan dalam pengurusan kewangan, kejujuran dalam penyelidikan dan penilaian akademik, serta keberanian untuk menolak sebarang bentuk penyelewengan walaupun berhadapan tekanan atau kepentingan tertentu.

Nilai ihsan pula menuntut warga universiti melaksanakan tugas dengan tahap kecemerlangan yang melebihi keperluan minimum yang ditetapkan. Tadbir urus universiti yang berteraskan ihsan mendorong amalan ketelusan dalam pelaporan, kesediaan memperbaiki kelemahan sistem, serta komitmen berterusan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelajar dan masyarakat. Sikap ihsan turut tercermin dalam kepimpinan akademik yang adil, prihatin dan berorientasikan pembangunan ilmu serta pembentukan insan secara menyeluruh.

Istiqamah menekankan kepentingan konsistensi dalam mengamalkan prinsip integriti. Dasar, peraturan dan tindakan tatatertib perlu dilaksanakan secara saksama tanpa mengira kedudukan atau jawatan. Dalam persekitaran universiti, penguatkuasaan etika akademik, dasar antirasuah serta tadbir urus penyelidikan yang konsisten akan meningkatkan kredibiliti institusi dan seterusnya membina kepercayaan warga kampus serta pihak luar.

Nilai itqan menuntut ketelitian dan ketepatan dalam setiap keputusan berkaitan tadbir urus universiti. Perancangan strategik, kelulusan projek penyelidikan, pembangunan infrastruktur serta pengurusan sumber kewangan perlu dibuat berdasarkan analisis yang teliti, berasaskan data dan mengambil kira implikasi jangka panjang terhadap kelestarian universiti. Ketelitian ini penting bagi memastikan setiap keputusan bukan sahaja memenuhi keperluan semasa, malah menyokong kecemerlangan akademik dan reputasi institusi secara berterusan.

Akhir sekali, nilai ikhlas merupakan roh kepada integriti tadbir urus universiti. Keikhlasan memastikan setiap tindakan dan keputusan dibuat demi kepentingan universiti, pelajar dan masyarakat, bukannya untuk kepentingan peribadi atau sekadar pencitraan. Pemimpin dan warga universiti yang ikhlas akan terus berpegang kepada nilai etika walaupun tanpa pengawasan, sekali gus membentuk budaya kerja yang berasaskan amanah dan tanggungjawab bersama.

Kesimpulannya, penghayatan teras integriti dalam tadbir urus universiti berupaya memperkukuh sistem pengurusan institusi pengajian tinggi secara holistik. Amalan nilai iman, ihsan, istiqamah, itqan dan ikhlas akan melahirkan kepimpinan universiti yang berwibawa, warga kampus yang beretika serta persekitaran akademik yang mampan dan dipercayai. Usaha ini selaras dengan peranan universiti sebagai peneraju pembangunan ilmu, pembentukan sahsiah dan kemajuan negara.

Siti Nurfatin

Oleh: SITI NURFATIN ABD RAZAK 
E-mel: fatinrazak@umpsa.edu.my

Penulis adalah Eksekutif, Unit Integriti dan Pematuhan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim