Memperkasa integriti melalui tatakelola keinsanan dalam memacu kelestarian UMPSA sebagai model institusi TVET nombor satu
Tatakelola yang baik bukan hanya kondusif dalam memastikan pertumbuhan ekonomi dan negara berpendapatan tinggi, malah ia adalah satu instrumen yang sangat penting ke arah negara bebas dari ketidakadilan dan kesenjangan sosial. Ketidaksamaan dan ketidakadilan dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 16 ini mampu ditaklif oleh negara Malaysia dengan memberi perhatian khusus melalui promosi hak dan potensi rakyat serta reduksi faktor-faktor politik dan sosial seperti diskriminasi, penindasan dan rasuah.
Agenda Pembangunan Mampan 2030 secara jelas menyatakan bahawa rasuah merupakan suatu halangan genting dalam pencapaian SDG secara total. Keiltizaman Kerajaan Madani dengan meletakkan sasaran yang jelas untuk bangkit dalam kedudukan Corruption Perception Index (CPI) ke tangga 25 dalam tempoh sepuluh tahun seperti yang dinyatakan di dalam Kerangka Ekonomi MADANI merupakan suatu usaha terancang dan bersepadu untuk mengukuhkan ekosistem kelestarian negara. Ini adalah rentetan daripada kedudukan Malaysia dalam carta CPI selama lima tahun tanpa perubahan signifikan iaitu kedudukan yang berada dalam julat 50 ke-60 dari tahun 2019 ke 2023 daripada 180 buah negara dan skor merudum iaitu 47 pada tahun 2022 daripada jumlah keseluruhan skor negara bebas rasuah iaitu skor 100.
Jadual 1: Kedudukan dan Skor Malaysia dalam CPI 2019-2023
(sumber: Ahmad, 2024)
Reformasi dalam memartabatkan kembali maruah Malaysia digerakkan dengan pelbagai inisiatif strategik seperti yang digariskan di dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 dan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028. Dasar tersebut dibentuk dengan perhatian khusus terhadap kerangka institusi seperti tatakelola korporat dan mekanisme kawalan, namun penekanan terhadap reformasi kendiri perlu diperkukuhkan. Iktikad negara agar rasuah dibasmi dan generasi teguh berintegriti dapat dibentuk secara holistik melalui penyematan nilai keinsanan yang menjadi tunjang kepada kaedah preventif dalam Kerangka Ekonomi MADANI. Ia meletakkan himpunan nilai teras insan yang perlu digerakkan oleh tatakelola keinsanan dalam menangani defisit integriti yang kritikal. Walaupun pelbagai kerangka eksklusif diperkenalkan sebagai antidot dalam menggugah kes rasuah, namun ia bakal menjadi residivisme sekiranya ia tidak melalui transformasi dalaman. Bak rantaian mutiara kata daripada Lao Tzu ‘Dia yang mengalahkan orang lain itu kuat, tetapi dia yang menakluki dirinya sendiri itu hebat’. Kemerosotan integriti dikaitkan dengan peningkatan sikap individualistik, self-centered dan juga kejayaan peribadi. Apabila kepentingan peribadi lebih mendominasi, maka manusia akan menjadi lupa diri dan mengetepikan hak orang lain. Integriti dan rasuah mempunyai hubungan yang dinamik. Sekiranya integriti meningkat, kes rasuah menurun dan juga hal sebaliknya akan berlaku. Maka amat penting manusia bertindak mengikut kerangka piawaian etika sama ada salah atau betul, dan integriti memastikan apa jua tindakan yang diambil selaras dengan pematuhan piawaian tersebut secara konsisten walaupun berdepan dengan cabaran dan godaan.
Tatakelola Keinsanan merujuk kepada mekanisme dalaman untuk memandu sikap manusia menjadi manusia yang baik. Jika manusia dipandu dengan nilai dan hati nurani yang baik, sikap positif akan terjelma walaupun dengan ketiadaan faktor luaran. Contohnya, membantu orang lain yang dalam kesusahan walaupun tiada balasan. Tanggungjawab mengelola nilai keinsanan dibentuk melalui kesedaran terhadap sifat manusia, peranan manusia dan tujuan hidup manusia seperti berikut:
Sifat manusia: Manusia terbentuk dari aspek nyata dan tidak nyata (tangible dan intangible seperti fizikal dan spiritual). Kewujudan kedua-dua aspek ini amat penting untuk menjadi manusia rasional. Jika ketiadaan salah satu aspek ini, kefungsian manusia tidak lengkap. Justeru, pertumbuhan watak yang berintegriti dengan unsur asas seperti kesedaran kendiri, kesihatan fikiran dan tubuh badan dan sifat perhambaan yang tulus terhadap pencipta dapat mengelakkan sebarang salah laku yang memanifestasikan dalam apa jua bentuk. Jika manusia menjadi alpa kerana kuasanya, terdapat kuasa lebih tinggi dan mutlak yang akan mengembalikan manusia ke bentuk asalnya tanah. Maka, tanggungjawab mengelola nilai insan perlu diurus dengan penuh kesedaran agar keterjebakan rasuah dapat dihindari.
Peranan manusia: Manusia hidup bukan sekadar untuk dirinya sahaja. ‘Menjadi manusia’ bererti bertanggungjawab terhadap Tuhannya, dirinya, keluarganya, masyarakat, alam sekitar dan juga negara. Sejajar dengan nilai teras utama Universiti Malaysia Pahang Al-sultan Abdullah yang menggariskan ‘hubungan yang kuat dengan Yang Maha Pencipta’, akauntabiliti dalaman akan terjelma sekiranya kita memahami bahawa sebarang tindakan yang diambil datang bersekali dengan manfaat atau mudarat. Ketaatan dan ketakutan kepada Pemunya Alam perlu dipasakkan agar membentuk sifat ihsan yang menghindari penindasan dan melakukan kerosakan. Justeru, apa jua tindakan perlu diambil secara berhati-hati dan tidak berlebihan kerana akhirnya, persoalan tanggungjawab dan peranannya akan dikembalikan kepada Pencipta sama ada ia kasih kepada saudaranya dan alam di sekelilingnya.
Tujuan hidup manusia: Komitmen untuk berbuat baik merupakan tujuan hidup manusia. Enam ciri-ciri tujuan hidup kebajikan sejagat (universal virtue) yang diterima pakai oleh kebanyakan falsafah dan agama adalah keberanian, keadilan, kemanusiaan, keunggulan, kesederhanaan dan kebijaksanaan. Ciri-ciri ini menjadi kompas moral dalam prinsip asas membuat keputusan serta tingkah laku beretika selaras dengan nilai teras UMPSA yang sarat dengan nilai keinsanan. ‘Teguh dalam mempertahankan prinsip yang disepakati’, ‘kreatif dalam membuat keputusan yang bijaksana’ atau ‘cekal dalam menghadapi cabaran’ merupakan mantra bermakna dalam membina individu berdaya tahan, bercirikan kepimpinan serta mempunyai kawalan diri yang tinggi dalam memaknai tujuan kehidupan manusiawi.
Kesedaran terhadap kesemua aspek tersebut merupakan satu instrumen empirikal dalam menyuburkan pegangan berintegriti setiap individu. Jika sebelumnya tatakelola sinonim terhadap staf semata-mata, kini tatakelola keinsanan yang berpusatkan kesedaran kawalan kendiri dapat diaplikasikan secara 360 darjah kepada semua golongan. Pelan strategik UMPSA 25 terutamanya fokus pengukuhan asas kelestarian kewangan dan sistem pengurusan yang cekap, mungkin dapat dicapai dengan komitmen jitu warganya. Tidak mustahil UMPSA mampu menjadi jaguh dan model institusi TVET nombor satu dengan pemerkasaan integriti iaitu ekosistem UMPSA dan sekalian warganya disokong melalui kesedaran sifat manusia, peranannya sebagai khalifah serta tujuan hidupnya sendiri. UMPSA mungkin dapat dicapai dengan mampu menjadi jaguh dan model institusi TVET nombor satu.
Gambar Rajah 1: Salah satu usaha UMPSA dalam menyokong tatakelola insan yang melibatkan pelajar dalam pentaksiran mock trial dalam Kursus Integriti dan Anti Rasuah
(UHC1032)
Oleh: DR. HADIJAH AHMAD
E-mel: hadijah@umpsa.edu.my
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 70 views