Skip to main content

Memperkasa Kepimpinan Wanita dalam Pendidikan Tinggi: Refleksi UMPSA melalui Program ELEVATE: Women in Leadership Excellence 2025 di Perth, Australia

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh agenda pembangunan bakat kepimpinan wanita apabila Pengarah Pusat Jaringan Global UMPSA, Profesor Madya Ts. Dr. Herma Dina Setiabudi telah terpilih menyertai ELEVATE: Women in Leadership Excellence Program di Perth, Australia pada 27 hingga 31 Oktober 2025.

Penganjuran program oleh Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dengan kerjasama Australian Institute of Management – Western Australia (AIM WA) menghimpunkan peserta daripada 14 institusi tempatan dan antarabangsa. Platform ini menjadi ruang strategik untuk wanita pemimpin mendalami amalan kepimpinan berasaskan penyelidikan, kefahaman diri, rangkaian profesional dan kemahiran komunikasi autentik, elemen penting bagi membina kepimpinan berimpak dalam ekosistem pendidikan tinggi.

Profesor Madya Ts. Dr. Herma Dina menyifatkan penyertaannya sebagai permulaan kepada perjalanan baharu dalam membina kepimpinan yang berwawasan dan berimpak, mencerminkan semangat program ini yang menekankan refleksi mendalam, latihan berstruktur dan pelan tindakan jangka panjang.

Pengisian Program dan Pengalaman Pembelajaran

Hari pertama membuka tirai dengan tiga topik penting: What is Leadership, Strength-Based Leadership dan Neuroscience of Leadership. Peserta mengenal pasti kekuatan peribadi menggunakan VIA Character Strength Profile serta memahami bagaimana SCARF Model (Status, Certainty, Autonomy, Relatedness and Fairness) dapat meningkatkan interaksi dan dinamik pasukan.

Hari kedua pula memberikan fokus kepada konsep Resilient Leadership, strategi pengurusan tenaga, serta cara membina leadership brand yang selari dengan nilai diri dan identiti institusi. Kepimpinan yang berkesan bukan hanya dinilai melalui pencapaian, tetapi nilai dan kesan yang dibawa.

Pada hari ketiga, peserta mendalami sumber kuasa dan pengaruh dalam kepimpinan serta kepentingan rangkaian profesional. Sesi komunikasi yang dikendalikan jurulatih teater profesional, Gabriel dan Angela, membuka ruang pembelajaran interaktif melalui lakon peranan bagi meningkatkan kejelasan mesej, empati dan kehadiran pemimpin. Hari tersebut diakhiri dengan ucapan spontan 5 minit oleh setiap peserta sebagai satu latihan untuk membina keyakinan dan keaslian dalam penyampaian.

Hari keempat menekankan keseimbangan antara kesihatan diri dan kepimpinan. Sesi dimulakan dengan latihan pernafasan bersama pakar kesejahteraan. Tiga pemimpin wanita berprofil tinggi Executive General Manager (Customer and Strategy) dan Managing Director (Hedland Maritime Initiative), Karlene Bylund, Vice President HSEQ, INPEX, Val Ee dan Director, AIM WA, Maria Luisa Perez berkongsi pengalaman memimpin dalam industri dominan lelaki, menekankan nilai integriti, akauntabiliti dan empati sebagai teras kepimpinan mampan.

Memperkasa Kepimpinan Wanita

Pada sebelah petang, peserta melawat City of Perth Council dan mendengar pembentangan oleh CEO Michelle Reynolds mengenai hala tuju strategik bandar, termasuk amalan kepimpinan inklusif dan gender-balanced leadership.

Program melabuhkan tirai dengan apresiasi oleh AKEPT dan AIM WA kepada semua peserta yang telah menunjukkan keberanian, kejelasan nilai, serta komitmen terhadap kepimpinan berkualiti. Para peserta diminta untuk menerapkan strategi yang dipelajari, kekal autentik dan terus membina pengaruh positif di institusi masing-masing.

Makna Strategik Bagi UMPSA dan Sektor Pendidikan Tinggi Malaysia

Penyertaan UMPSA dalam program seperti ELEVATE adalah selari dengan agenda nasional untuk memperkasa kepimpinan wanita dalam pendidikan tinggi. Ia mencerminkan kesungguhan universiti untuk membina pemimpin yang berdaya saing pada peringkat global, sekali gus memastikan UMPSA terus berada pada landasan yang tepat dalam memperkukuh ekosistem kepimpinan akademik negara.

Program ini juga memperlihatkan komitmen universiti terhadap pengukuhan tadbir urus melalui kepelbagaian perspektif, yang dilihat sebagai faktor kritikal dalam membuat keputusan strategik, membina budaya organisasi progresif serta meningkatkan keberkesanan kepimpinan berpasukan. Melalui inisiatif seperti ini, UMPSA turut menegaskan kepentingan pemerkasaan bakat wanita untuk mengisi peranan kepimpinan utama yang selama ini didominasi lelaki, sekali gus menyumbang kepada keseimbangan gender dalam struktur kepimpinan pendidikan tinggi.

Memperkasa Kepimpinan Wanita

Selain itu, penyertaan ini menyokong pembentukan budaya kepimpinan yang lebih inklusif dan responsif, di mana nilai integriti, empati dan profesionalisme menjadi asas amalan kepimpinan. Dalam konteks UMPSA, penyertaan Profesor Madya Ts. Dr. Herma Dina amat signifikan memandangkan portfolionya yang melibatkan jaringan global, kerjasama strategik dan mobiliti antarabangsa. Kompetensi baharu yang diperoleh menerusi program ELEVATE akan memperkukuh pendekatan UMPSA dalam diplomasi akademik, hubungan antarabangsa dan inisiatif pembangunan kepimpinan dalaman, seterusnya memacu kecemerlangan universiti di peringkat global.

Penutup: Kepimpinan Wanita Sebagai Pemangkin Masa Depan Pendidikan Tinggi

Program ELEVATE membuktikan bahawa kepimpinan bukan sekadar kedudukan, tetapi satu amalan yang dibentuk melalui ilmu, refleksi, sokongan komuniti dan keberanian untuk berubah. Melalui pelaburan konsisten dalam pembangunan bakat wanita, UMPSA menegaskan komitmennya untuk melahirkan pemimpin pendidikan tinggi yang bukan sahaja kompeten secara profesional, tetapi juga empati, tangkas dan berwawasan.

Pengalaman ini memperlihatkan langkah proaktif UMPSA dalam membentuk kepimpinan masa depan yang lebih dinamik dan berkesan. Lebih penting lagi, ia menonjolkan peranan kepimpinan wanita sebagai pemacu utama kecemerlangan institusi dan pembangunan negara. UMPSA sekali lagi menunjukkan bahawa institusi yang progresif ialah institusi yang berani mengangkat bakat, memupuk keupayaan dan memberi ruang kepada wanita untuk memimpin dengan yakin serta memberi impak yang berpanjangan.

UMPSA kekal komited dalam usaha melahirkan warga akademik yang berdaya saing, berpandangan global dan bersedia memacu kecemerlangan universiti di pentas antarabangsa.

Prof. Madya Ts. Dr. Herma Dina Setiabudi

Oleh: Prof. Madya Ts. Dr. Herma Dina Setiabudi, Pusat Jaringan Global
E-mel: herma@umpsa.edu.my

Penulis Ada Pengarah Pusat Jaringan Global, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri