Skip to main content

Mencipta sentuhan keselesaan kediaman menjelang Aidilfitri

Keindahan, kecantikan dan keselesaan adalah satu kemestian apabila menjelang Hari Raya Aidilfitri. Rumah yang cantik, bersih dan kemas dapat mewujudkan keceriaan dan ketenangan pada penghuni dan tetamu yang berkunjung semasa musim keceriaan. Tetamu bertandang di kediaman anda akan tertarik dengan gaya susunan yang menarik. 

Keceriaan kediaman semasa musim perayaan dikaitkan dengan hiasan dalaman. Hiasan dalaman bermaksud aturcara dalam menghias dan menyusun ruang dalaman kediaman bagi menjadikannya lebih selesa dan sesuai dengan cita rasa juga keperluan individu yang menjadi pemiliknya. 

Antara ruang dalaman kediaman yang sering digunakan adalah ruang tamu. Ruang tamu lazimnya terletak di kawasan pintu masuk utama. Ruang tamu adalah satu pertemuan antara tuan rumah dan tetamu yang datang meraikan suasana. 

Susun atur perabot dalaman seharusnya merujuk kepada keluasan kediaman. Pemilihan kerusi, meja, meja makan disesuaikan dengan ruang makan, bilangan pengguna, budaya makan, ketinggian pengguna dan masa yang diambil untuk sesi makan. Adalah penting untuk mengatur perabot mengikut fungsi agar tidak menghalang pergerakan penghuni. 

Sentuhan gubahan bunga juga mampu membangkitkan rasa ceria ruang dalaman. Pemilihan gubahan bunga untuk menyerikan dalaman secara langsung menyerikan dan mengurangkan pemandangan yang membosankan semasa berada di dalam sesebuah ruang. 

Persediaan untuk keselesaan menerusi kerja-kerja pembersihan. 

Kerja-kerja pembersihan boleh menambahkan seri dan membangkitkan suasana yang diidamkan. Kemasan rumah kediaman perlu menggunakan jenis pencuci yang sesuai bagi kegunaan kemasan seperti jubin, marmar, bata, granit, vinilcs, logam, kayu, plastik, papan lapis dan kemasan tembaga. Penggunaan bahan pencuci cecair berkuasa lembut boleh mencegah dari kerosakan kemasan dan kilauan sedia ada. 

Ruang dapur juga perlu dikemaskan agar bebas dari bau dan minyak. Penyusunan   alatan dan kelengkapan rumah perlu sistematik dan tidak menghalang laluan pergerakan keluarga.

Bagi memastikan udara dalam tempat kediaman sentiasa segar dan nyaman perlu menyediakan pengaliran udara yang baik. Ini dapat mengelakkan bau yang tidak menyenangkan berada di dalam tempat berkumpul. 

Keharmonian citarasa rekaan ruang  
Penataan Warna

 
Warna boleh menimbulkan kesan harmoni dan keceriaan ruang dalaman. Penerapan warna dinding seharusnya mengikut skema warna yang memainkan peranan dalam kesesuaian hiasan dan keselesaan tempat kediaman. Pemilihan skema warna yang selesa dan betul membangkitkan suasana kediaman kelihatan harmoni, selesa dan menarik. Skema warna jenis lembut seperti hijau muda, biru muda dan ungu muda akan memberikan penataan lembut terhadap ruang dalaman. Kelebihan warna lembut akan  menjadikan ruang lebih kecil dan sempit kelihatan lebih besar, memberi kesan kepada siling yang rendah kelihatan lebih tinggi dan menghasilkan suasana yang tenang, sejuk dan harmoni.

Manakala pemilihan warna terang seperti kuning, jingga dan merah, dimana warna terang akan menjadikan ruang lebih kecil dan sempit kelihatan lebih besar, menghasilkan suasana yang ceria dan terang serta memberi kesan kepada siling yang rendah kelihatan lebih tinggi.

Penggunaan warna gelap seperti hitam, perang dan biru tua memberikan kesan terhadap yang besar kelihatan lebih kecil, dan menghasilkan suasana yang tenang dan redup memberi kesan kepada siling yang tinggi kelihatan lebih rendah. Sebagai panduan, pemilihan skema warna untuk tempat kediaman perlu mengambilkira pencahayaan bilik atau ruang, saiz ruang bilik dan peralatan dan perabot yang sedia ada.

Keselesaan dan keceriaan ruang aktif dan ruang lain

Hiasan dalaman dan hiasan sampingan perlu disusun atur untuk melengkapkan suasana agar nampak hidup. Pemilihan fabrik bidai juga bagi mewujudkan ruang pemisah antara ruang privasi dan ruang aktiviti.

  
Selain itu, antara perlu dilihat adalah pengudaraan dalaman, termasuk sistem penyaman udara, pencahayaan dan sistem bunyi. Pengudaraan dalaman haruslah boleh melalui pintu, tingkap dan kekisi yang mencukupi. Kemajuan teknologi penyaman udara juga turut membantu memperbaiki peredaran udara tempat kediaman agar lebih selesa. 
Pencahayaan dalaman 

Penataan cahaya merupakan pemilihan yang seharusnya menyerlahkan suasana keceriaan yang mahu diwujudkan. Pencahayaan dalaman yang diaplikasikan mampu menerangi seluruh ruang tanpa sebarang halangan dan menyakitkan mata. Penataan cahaya dalaman yang baik akan memberi kesan menarik pada ruang yang diidamkan. Pemilihan lampu yang sesuai boleh menaikkan seri dalaman di mana sebagai panduan penggunaan lampu tumpu atas boleh mencorak suasana dramatik dan ia tidak menyilaukan pandangan.
Susun atur perabot 

Untuk hiasan dalaman perlu diambilkira tentang keluasan ruang, ketinggian siling, binaan asal ruang. Penyusunan ruang seharusnya memudahkan pergerakan penghuni dan keselesaan tetamu yang berkunjung.  Ruang berkerusi seharusnya tidak mengganggu pergerakan tetamu. Sekiranya tetamu dipelawa untuk konsep duduk bersila di mana ia popular dalam kalangan masyarakat Melayu, penggunaan tikar mengkuang lebih sesuai untuk menyerlahkan unsur ketimuran budaya masyarakat melayu. Dalam pada itu, pemilihan kemasan lantai yang sesuai dengan fungsinya agar tidak berlaku sebarang kemungkinan kemalangan boleh dielakkan

Kesimpulannya, ruang idaman mesti melalui sentuhan mesra rekaan. Keselesaan kediaman merupakan satu kemestian menjelang hari perayaan. Kediaman ceria di Hari Raya Aidilfitri seharusnya diterapkan ruang yang selesa. Sekiranya berkemampuan, sentuhan ajaib khidmat pakar dalam reka bentuk dalaman, pembekal perhiasan dalaman dan khidmat kontraktor pembersihan mampu menyuntik aktiviti keceriaan dalaman. Jadikan keceriaan ruang satu kepuasan tetamu berkunjung dan membanggakan tuan rumah. 

Br. Ts. Dr. Mohammad Affendy Omardin
Br. Ts. Dr. Mohammad Affendy Omardin

E-mel: affendy@umpsa.edu.my

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri