Mendidik Etika dan Adab Mahasiswa di Era ChatGPT
Dewasa ini kita kerap mendengar keluhan segelintir masyarakat terutamanya yang rapat dengan golongan remaja atau mahasiswa universiti tentang adab dan etika mereka yang dilihat agak membimbangkan. Tidak dapat dinafikan etika dan adab generasi muda masa kini banyak dipengaruhi oleh media sosial, rakan sebaya dan alam sekeliling berbanding ahli keluarga atau ibu bapa. Di sinilah timbulnya kebimbangan jika remaja tersebut sukar untuk membezakan yang manakah etika dan adab yang baik dan tidak baik untuk mereka amalkan dalam kegiatan seharian.
Antara isu etika dan adab generasi masa kini adalah masalah integriti, tidak menepati masa, tidak hormat guru/pensyarah, menggunakan perkataan/bahasa yang kurang sopan apabila berkomunikasi serta pengaruh pempengaruh (influencer) telah membentuk sikap dan perbuatan yang adakalanya merubah pemikiran dan perbuatan generasi masa kini. Tidak keterlaluan jika dikatakan media sosial merupakan agen penting kepada perubahan etika dan adab generasi muda masa kini yang kelihatan sangat membimbangkan.
Antara yang biasa dilihat pada masa kini adalah pelajar yang kurang menghormati pensyarah yang berperanan mendidik dan menyebarkan ilmu kepada mereka. Bukan persoalan tidak hormat semata-mata tetapi juga kurang respect. Ini dapat dibuktikan apabila pelajar tidak menggunakan perkataan yang sesuai apabila berbicara dengan pensyarah, tidak meminta maaf jika lewat datang ke kelas, tidak berterima kasih setelah kelas tamat, menipu kehadiran, menipu sakit, tidak fokus kepada pensyarah yang mengajar dengan membuat kerja-kerja lain serta menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pensyarah di media sosial.
Dewasa kini dapat dilihat datang ke kelas lewat tanpa alasan munasabah sudah menjadi perkara biasa dalam kalangan pelajar. Datang lewat ke kelas selepas 30 minit kelas berjalan sudah menjadi kebiasaan. Adakah kita sedang mendidik pelajar menjadi pekerja tidak berdisiplin suatu masa nanti? Tuntasnya, ini adalah masa untuk pelajar mendisplinkan diri mereka sebelum memasuki alam pekerjaan. Malahan ini adalah perkara asas dalam mendidik adab dan etika pelajar sebelum mereka keluar menjadi pekerja nanti.
Persoalan seterusnya adalah budaya integriti dalam membuat tugasan pelajar. Apa yang berlaku pelajar tidak mempraktikkan etika dan adab yang betul dalam menyiapkan tugasan yang diberikan. Pelajar secara sedar atau tidak, mereka hanya mencedok idea orang lain tanpa menulis rujukan (reference) atau dengan kata lain disebut sebagai ‘copy paste’.
Ini sebenarnya adalah satu kesalahan besar dalam dunia akademik kerana mengambil idea orang lain tanpa kebenaran penulis sebenar. Pelajar seharusnya mengamalkan etika dan adab yang betul dalam menuntut ilmu kerana haram mengambil hak orang lain tanpa kebenaran. Belajarlah untuk melahirkan atau mencipta idea sendiri.
Pelaksanaan kelas, kuiz dan ujian secara dalam talian turut memudahkan kecurangan etika dan adab pelajar. Tidak dinafikan sejak bermulanya PKP akibat Pandemik COVID-19, pengamalan kelas secara dalam talian mula menjadi popular. Dalam hal ini, kuliah dan juga kuiz adakalanya dijalankan secara dalam talian. Tetapi dalam sedar atau tidak, pelaksanaan kuiz atau ujian dalam talian terutamanya telah memudahkan berlakunya kecurangan etika pelajar kerana ia memberi laluan kepada pelajar untuk meniru sama ada merujuk buku, internet atau berbagai jawapan dengan rakan-rakan. Bukan mudah untuk mengelakkan perkara ini dari berlaku kecuali individu itu sendiri mempunyai tahap integriti yang tinggi. Justeru, pendekatan bersemuka adalah paling sesuai untuk menjaga integriti pelajar semasa membuat kuiz atau ujian.
Pelajar tidak memahami etika dan adab menuntut ilmu. Secara umumnya, generasi hari ini kurang mengetahui etika dan adab menuntut ilmu, bahkan mereka tidak nampak kepentingan ilmu ekoran tengah mengecapi kehidupan yang senang lenang, semuanya di hujung jari. Perkara paling asas dalam menuntut ilmu adalah seseorang itu harus mengetahui mengapa mereka perlu menuntut ilmu iaitu suatu kewajipan bagi semua umat manusia.
Perkara kedua adalah guru-guru perlu dihormati kerana merekalah yang memberikan kita ilmu dan juga pengetahuan. Selain itu, ilmu perlu ditulis dan dicatat kerana manusia tidak mampu untuk menyimpan semua ilmu di dalam minda mereka. Perkara-perkara penting yang disampaikan oleh guru/pensyarah perlu disalin dan disimpan untuk rujukan nanti. Tidak kira teknologi berkembang pesat dengan wujudnya telefon pintar, tablet, komputer riba dan sebagainya, ia tidak mampu menggantikan cara tradisi iaitu ilmu perlu ditulis secara fizikal bagi memudahkan pelajar menyemak semula. Berbanding nota yang disimpan di dalam tablet, komputer riba dan telefon pintar jika berlaku kerosakan, virus dan seumpamanya maka nota yang tersimpan akan hilang saat kita memerlukan. Setelah selesai menuntut ilmu, pelajar perlu mengucapkan terima kasih kepada pensyarah sebagai menghargai ilmu yang telah mereka curahkan.
Dewasa kini sudah agak sukar untuk melihat pelajar aktif dan mengambil bahagian dalam perbincangan dalam kelas. Ramai yang mengambil sikap pasif dalam kelas. Ini sangat berbeza dengan zaman sebelum lahirnya telefon pintar di mana pelajar sangat aktif dalam perbincangan dalam kelas. Mereka juga mengambil tahu isu-isu semasa yang berlaku di dalam dan luar negara. Tapi kini pelajar tidak seperti dulu lagi. Jika ditanya pensyarah untuk memberikan idea atau bertanya soalan semua membisu seribu bahasa. Semuanya akibat kurang membaca. Pokoknya adalah tidak membaca dan kurang membaca ilmu-ilmu akademik dan bukan akademik.
Pelajar hanya membaca apakah yang penting yang akan keluar di dalam peperiksaan. Inikah generasi yang bakal kita lahirkan, tahap pendidikan tinggi, tetapi ilmu cetek. Keadaan diburukkan lagi apabila ada sesetengah pempengaruh yang mengatakan tidak perlu belajar tinggi untuk berjaya dalam hidup. Ini boleh mematikan keinginan untuk mengejar ilmu dalam kalangan generasi yang baharu mengenal dunia. Tanpa berfikir panjang, keadaan ini telah membantutkan pembelajaran mereka.
Persoalannya, bagaimana kita hendak mendidik generasi era moden kini dengan etika dan adab yang betul atau baik? Dalam hal ini, rasanya kita boleh melihat bagaimana negara Jepun mendidik adab dan etika masyarakat mereka yang bermula sejak di bangku sekolah. Di peringkat ini, pelajar tidak ditekankan dengan peperiksaan yang menekan emosi pelajar.
Mereka hanya didedahkan dengan perkara-perkara yang membuat mereka merasa seronok dengan kehidupan awal mereka. Peringkat awal merupakan pendidikan berbentuk mendidik adab dan etika yang baik kepada pelajar agar pelajar mengetahui nilai-nilai positif untuk diamalkan. Ini sangat berlainan dengan sistem pendidikan di Malaysia yang menekankan peperiksaan seawal darjah 6.
Secara amnya sejak awal, kanak-kanak di Malaysia sudah ditekankan dengan peperiksaan berbanding pendidikan etika dan adab. Ini mungkin menjadi salah satu penyebab kenapa remaja masa kini berhadapan dengan masalah etika dan adab.
Penulis ialah pensyarah kanan di Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
e-mel: hasnah@umpsa.edu.my
- 580 views