Menghilir di Sungai Pahang: Mencari Permata Yang Hilang
Negeri Pahang merupakan negeri yang banyak menyimpan kisah bersejarah dalam membantu mengangkat tamadun Melayu bersama dengan kerajaan-kerajaan Melayu yang lain seperti Melaka, Johor, Kedah dan beberapa negeri yang lain. Dalam hal ini, negeri Pahang merupakan negeri terbesar dan mempunyai sungai terpanjang di Malaysia.
Tidak keterlaluan jika dikatakan sungai Pahang menjadi lebuh raya ilmu kerana ia menyimpan seribu satu rahsia dari aspek sejarah, sistem pengangkutan, penyebaran ilmu, penyebaran agama Islam, bahasa, budaya, dan yang terpenting peranan sungai Pahang yang menyumbang kepada keunggulan Tamadun Melayu Pahang.
Sungai dianggap sebagai permata yang suatu masa dahulu sangat masyhur kepada pembangunan tamadun Pahang, tetapi kini semuanya telah tinggal dalam lipatan sejarah. Justeru, usaha pemuliharaan perlu dilaksanakan bagi memastikan khazanah berharga negeri Pahang terus terpelihara untuk tatapan generasi yang silih berganti.
Kehebatan Sungai Lembing
Kehebatan Sungai Lembing tidak boleh dinafikan lagi kerana ia telah menjadi nadi kepada pembangunan ekonomi dan peradaban negeri Pahang pada suatu ketika dahulu. Berikut merupakan beberapa kriteria yang menjadi bukti bahawa Sungai Lembing menyimpan seribu satu rahsia dan permata yang mengangkat negeri Pahang sebagai negeri yang mempunyai acuan peradaban yang tersendiri.
Sungai Lembing, suatu ketika dulu dikenali sebagai ‘El Dorado Timur’, di antara bandar yang terkaya dengan hasil pribumi. Operasi lombong ini merupakan satu-satunya lombong bawah tanah yang terbesar di Malaysia. Apa yang unik tentang lombong bjih di sini adalah ia mempunyai terowong yang terpanjang dan sempit yang menjadi sumber rezeki penduduk Sungai Lembing pada suatu masa dahulu.
Kedalaman lombong ini yang mencecah sedalam 700 meter dengan ketinggian 12 hingga 200 kaki, dan panjangnya sekitar 322 kilometer telah menjadikan lombong bijih timah Sungai Lembing sebagai lombong yang terdalam di dunia yang beroperasi secara manual dan letupan tanpa menggunakan peralatan mode. Ia perlu dijadikan tatapan generasi baharu hari ini kerana negara ini pernah diangkat oleh dunia luar dari sektor perlombongan bijih dan tinggalan ini perlu dikekalkan bagi memberi peringatan kepada mereka bahawa inilah teknologi yang dicipta oleh masyarakat tempatan pada masa dahulu yang tidak lagi dapat dilakukan oleh generasi pada hari ini.
Penemuan kapal lama era 1800-an di Lipis, Pahang
Kejadian banjir besar yang berlaku pada tahun 2021 telah merungkaikan satu kisah tentang kewujudan sebuah kapal lama di Pahang. Rangka dan serpihan yang dipercayai dari bangkai sebuah kapal lama yang digunakan pada era 1800-an ditemui di tepi Sungai Lipis berdekatan Jambatan Gantung Sungai Kampung Pagar Penjom.
Ia dikatakan timbul selepas banjir besar melanda daerah ini. Bangkai kapal yang dipercayai berusia lebih 200 tahun itu dijumpai oleh penduduk setempat dan tertera satu tulisan pada sekeping logam sebagai 'VIVIA AND SONS SHEATING' pada badan kapal tersebut. Kajian lanjut dan usaha pemuliharaan perlu dijalankan bagi mengesahkan identiti kapal dan sekali gus menambahkan keloksi dokumentasi sejarah Pahang.
Penemuan Bangkai Kapal di Pekan, Pahang
Sebuah lagi bangkai kapal lama yang tenggelam telah ditemui oleh penduduk Kampung Tanjung di Paloh Hinai, Pekan. Kejadian penemuan kapal ini juga dikaitkan dengan faktor alam seperti banjir besar yang akhirnya merungkai rahsia yang tersimpan dalam sungai tersebut. Penemuan kapal ini telah dikaitkan dengan misteri kepada tenggelamnya kapal dagang SS Amherst yang dirakam membuat pelayaran terakhirnya pada tahun 1900-an.
Jabatan Warisan Negara masih berusaha untuk menjalankan kajian lanjut bagi mengesahkan bangkai kapal tersebut adalah kapal yang dimaksudkan dengan melakukan pengkajian terhadap corong, tali sauh, kipas dan enjin kebuk pembakaran. Menurut mereka, kapal yang dimaksudkan itu dikatakan telah dibina di Glasgow dan telah belayar dari Singapura ke Kota Bharu dengan 77 penumpang.
Loghat Pahang Mengalir Ikut Laluan Sungai
Loghat Pahang dikatakan sangat istimewa kerana ia memiliki variasi sehingga 50 dialek dan kelajuan pertuturannya dikatakan mengikut aliran sungai di negeri itu. Loghat Pahang secara amnya adalah berbeza daripada hulu sungai sehinggalah ke hilir sungai Pahang. Asal-usul loghat Pahang dikatakan berasal daripada hilir sungai Pahang yang merupakan penempatan pertama di Pahang, dan kemudiannya bertebaran ke seluruh Pahang mengikut aliran-aliran sungai. Terdapat juga teori yang menyatakan loghat Pahang berasal daripada Ulu Tembeling dan Ulu Jelai, sebelum bertebaran mengikut arus sungai.
Asmah Omar menyenaraikan terdapat lapan jenis loghat Pahang iaitu Pekan, Benta, Raub, Ulu Tembeling, Rompin, Temerloh, Kuala Lipis dan Bentong. Loghat yang dituturkan di Kuantan, Jerantut dan beberapa bahagian di Pekan adalah berbeza daripada beberapa pelbagai aspek. Ada juga yang mengklasifikasikan loghat Pahang berdasarkan sungai Pahang seperti Sungai Jelai, Sungai Tembeling dan Sungai Pahang. Sungai Jelai dan Sungai Tembeling bertemu di Kuala Tembeling membentuk Sungai Pahang yang seterusnya mengalir ke Laut China Selatan. Usaha membuku dan mendokumentasikan pelbagai jenis loghat Pahang perlu diteruskan.
Peninggalan Kubu-kubu British di Pahang
Negeri Pahang merupakan sebuah negeri yang juga telah diduduki oleh kuasa British sejak tahun 1887-1957. Sudah pastinya terdapat tinggalan British di negeri ini selain bangunan dan monumen. Dalam hal ini, telah dijumpai lebih dari 12 kubu British ditemui di sepanjang pantai dari Beserah ke Telok Cempedak, Kuantan. Kubu kecil atau dipanggil 'bunker' dibina dengan fungsi sebagai pos pertahanan tentera ketika penjajahan British terutama semasa Perang Dunia Kedua. Kubu-kubu berkenaan dipercayai dibina oleh pihak British untuk mempertahankan kawasan kampung-kampung zaman dahulu daripada serangan tentera Jepun pada tahun 1941.
Kini, ia kelihatan terbiar dan usaha pemuliharaan sedang dijalankan oleh pihak berwajib bagi menjadikan ia sebagai satu tarikan pelancong. Peninggalan kubu British yang masih wujud sedikit sebanyak membangkitkan nostalgia penduduk akan sejarah penjajahan di Tanah Melayu.
Perbincangan ini jelas memperlihatkan sungai Pahang sebagai ‘nadi’ kepada perkembangan dan pembangunan peradaban Melayu Pahang pada peringkat awal dan tinggalannya masih dapat dilihat sehingga ke hari ini. Penemuan tinggalan sejarah ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya kerana di sini bermula segalanya, bukan sahaja sejarah malahan peradaban yang beridentitikan Melayu Pahang.
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang (UMP).
e-mel: hasnah@ump.edu.my
- 432 views