Menginsafi emosi di sebalik tradisi: Memaknakan raya dengan empati
Bila tiba Aidilfitri, ramai terbayangkan bau rendang dan lemang, dentuman meriam buluh, serta keriuhan keluarga berkumpul di kampung. Tradisi balik kampung, bermaaf-maafan dan ziarah-menziarahi sudah menjadi nadi kepada sambutan hari raya dalam budaya kita. Perayaan ini bukan sahaja menyatukan ahli keluarga, malah menghidupkan semula nilai kasih sayang dan hormat dalam masyarakat. Rumah akan dihiasi cantik serba baharu dan pelita juga sering dipasang sekeliling rumah menandakan betapa meriahnya sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Saya masih ingat suasana raya di rumah arwah atuk di Baling Kedah, riuh-rendah dengan suara sepupu, meja makan penuh juadah makan, tetapi ada juga yang duduk diam, tidak banyak bicara. Waktu itu saya tidak faham apa maknanya menyambut raya dalam keadaan tidak benar-benar gembira. Kini saya sedar, tidak semua orang menyambut raya dengan jiwa yang lapang. Ada pelbagai rasa dan perasaan menyelubungi setiap seorang daripada mereka yang menyambut perayaan ini.
Dalam suasana yang penuh kemeriahan itu tanpa disedari kita terpaksa mempamerkan emosi yang tidak selari dengan hati sebenar. Ada yang terpaksa senyum walaupun jiwa sedang luka fikiran dan serabut. Keadaan ini dikenali sebagai emotional labour iaitu perasaan yang dipamerkan tidak selaras dengan emosi yang dialami (Hochshild, 1983). Goffman (1959) pula menyamakan kehidupan sosial seperti sebuah pentas dan kita akan memakai ‘topeng’ tertentu untuk tampil seperti yang dijangka atau diharapkan. Maka tidak hairanlah, ramai berpura-pura ceria supaya tidak ditanya macam-macam.
Norma hari raya dipenuhi dengan skrip budaya (Shweder et al., 1998) iaitu soalan yang dianggap biasa kadang-kadang mudah menggores. “Bila nak kahwin, kerja apa sekarang, belum ada anak, UPPK dapat berapa A, atau nak sekolah asrama mana?” Kita semua sudah tentu pernah mendengar ataupun berhadapan dengan situasi perbualan yang mengandungi skrip-skrip sebegini. Apa yang kita lakukan pada waktu itu? Manakala Maslow (1943) pula mengingatkan, sebagai manusia kita semua mahu diterima dan dihargai. Tetapi adakah kita benar-benar memahami antara yang terpaksa hadir dan yang hadir dengan rela? Bagaimana suasana raya kita ketika itu? Perasaan dan emosi kita?
Hari ini, ‘topeng raya’ bukan sahaja dipakai di ruang tamu, tetapi juga di media sosial. Gambar keluarga lengkap, kapsyen gembira, semuanya jadi pentas hadapan dalam bentuk yang baharu (Goffman, 1959). Sebaliknya apa yang berlaku di belakang tabir, hanya empati yang boleh merasakannya. Mungkin sudah tiba masanya kita tulis skrip raya dengan lebih belas ihsan dan penuh simpati atau dengan erti kata lain ada akal budi.
Dari sudut emosi, raya di kampung dan bandar mencorakkan rasa yang berbeza. Di kampung, raya bernafas dalam irama yang mesra dan terbuka - pintu rumah sentiasa ternganga, tangan-tangan kecil berlumba-lumba mengutip duit raya dan suara takbir bersahutan menembus dinihari. Dalam suasana ini, luka hati terasa terubat sedikit demi sedikit, ditampal dengan senyuman jiran dan pelukan saudara. Ruang sosial di kampung membentuk interaksi yang lebih akrab kerana ia bersifat kolektif dan berakar pada nilai kebersamaan (Lefebvre, 1991). Di sini, kita tidak sekadar meraikan raya, tetapi juga berkongsi rasa suka dan duka disambut bersama.
Sebaliknya, raya di bandar terasa lebih sepi meski rumah dihias cantik dan meja makan penuh juadah. Senyum di media sosial menjadi hiasan wajib, tetapi di sebalik bingkai gambar keluarga yang sempurna, mungkin ada hati yang kekosongan. Jiran sekadar angguk di lif, suara takbir tenggelam dalam hiruk-pikuk kota, dan salam raya terasa hambar kerana tiada siapa yang benar-benar mengenali. Dalam masyarakat moden yang bersifat ‘cair’, hubungan manusia menjadi lebih longgar dan rapuh — pertemuan bersifat sementara, interaksi sering terhad dan emosi lebih tertutup (Bauman, 2000). Maka, tidak hairanlah ada yang memilih bercuti ke luar negara — bukan kerana mahu lari daripada raya, tetapi mahu menjauhkan diri daripada soalan-soalan yang mencuit luka lama. Di sini, ‘topeng raya’ mungkin lebih tebal, kerana di tengah lautan manusia, rasa sepi itu lebih nyata.
Islam mengajar kita erti taaruf dan Rahmah - saling mengenali dan berkasih sayang. Nabi Muhammad SAW bersabda, “Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Maka, raya yang sebenar ialah bila kita mampu hadir bukan hanya dengan kuih dan senyum, tetapi dengan hati yang sedia memahami.
Tahun ini, saya cuba untuk lebih mendengar daripada bercakap. Barangkali itu juga satu bentuk silaturahim yang kita lupa - mendengar dengan hati.
Rujukan:
Bauman, Z. (2000). Liquid Modernity. Polity Press.
Goffman, E. (1959). The Presentation of Self in Everyday Life. Anchor Books.
Hochschild, A. R. (1983). The Managed Heart: Commercialization of Human Feeling. University of California Press.
Lefebvre, H. (1991). The Production of Space. Blackwell.
Maslow, A. H. (1943). A Theory of Human Motivation. Psychological Review, 50(4), 370–396.
Shweder, R. A., et al. (1998). The Cultural Psychology of Development: One Mind, Many Mentalities. In W. Damon (Ed.), Handbook of Child Psychology (5th ed., Vol. 1). Wiley.
Riwayat al-Bukhari & Muslim. Hadis tentang kasih sayang sesama saudara Muslim.

Guru Bahasa
Pusat Bahasa Moden
jamilahbebe@umpsa.edu.my

Guru Bahasa
Pusat Bahasa Moden
amirhaikal@umpsa.edu.my

Guru Bahasa
Pusat Bahasa Moden
leonghuitheng@umpsa.edu.my
- 111 views