Pak Musa: Penjaga Fauna dan Malim Gunung Pulau Permata Tropika
Pulau Tioman, Permata Tropika di Laut China Selatan
Pulau Tioman sering digambarkan sebagai permata tropika yang berkilau di Laut China Selatan, terletak di pesisir pantai timur Semenanjung Malaysia. Dengan lautnya yang membiru, pantai berpasir putih, dan hutan hujan tropika yang masih tebal, Pulau Tioman telah lama menjadi destinasi pelancongan terkenal bukan sahaja bagi rakyat Malaysia, tetapi juga bagi pengembara antarabangsa dan pencinta alam kepelbagaian bio. Namun, keindahan Pulau Tioman sebagai permata tropika bukan sekadar terletak pada pantainya yang memukau tetapi merupaksan sebuah pulau yang kaya dengan kepelbagaian bionya dengan khazanah flora dan fauna yang menjadikannya unik di rantau ini.
Di tengah keindahan alam luar biasa ini, ada seorang tokoh tempatan yang tidak asing lagi kepada komuniti setempat mahupun pelancong: Pak Musa panggilan mesranya, seorang malim gunung yang hampir 25 tahun menabur bakti sebagai pemandu pelancong khususnya dalam bidang ekopelancongan. Pak Musa bukan sekadar seorang pemandu yang membawa orang mendaki atau menjejak hutan, tetapi beliau adalah seorang penjaga fauna dan pencerita alam semula jadi. Namanya kini menjadi sebahagian daripada kisah Pulau Tioman sebagai permata tropika yang sebenar, bukan hanya indah pada pandangan mata, tetapi juga bernilai dari segi ilmu dan kelestarian.
Rencana ini akan mengupas kisah Pak Musa dalam mendidik, menjaga, memulihara dan mempromosikan Pulau Tioman dalam membentuk peranan dan sumbangan beliau kepada masyarakat dan pelancong yang diselang-seli dengan pengalaman, naratif, dan cabaran yang dihadapi oleh seorang malim gunung di sebuah pulau tropika yang semakin menerima tekanan pembangunan dan arus pelancongan moden. Kumpulan Penyelidik dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang diketuai oleh Felo Penyelidik Bersekutu di Pusat Bioaromatik, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Profesor Madya Dr. Abdul Syukor Abd Razak telah bersama-sama Pak Musa menelusuri denai hutan Permata Tropika ini.
Kumpulan Penyelidik UMPSA amat berterima kasih yang tidak terhingga kepada Tuan Haji Jumshoiry Novdani Mohd. Sulaiman selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Tioman (Tioman Development Authority) yang telah memberikan sokongan penuh dan kebenaran untuk menjalankan kajian penyelidikan biodiversiti, konservasi dan teknologi hijau di Pulau Tioman ini.

Ikon Tempatan dan Pewaris Tradisi
Pak Musa dilahirkan di salah sebuah kampung tradisional di Pulau Pinang dan sekarang ini telah menetap di Pulau Tioman bersama isterinya yang berasal dari Tioman, ketika pulau ini masih belum terkenal sebagai destinasi pelancongan antarabangsa. Beliau dan keluarganya membesar dengan suasana kampung nelayan, di mana hubungan dengan alam sekitar begitu rapat dan intim. Sejak kecil, Pak Musa sudah biasa dengan denai hutan, bunyi unggas malam, dan cerita-cerita orang tua mengenai legenda Pulau Tioman, termasuklah kisah naga yang berubah menjadi pulau.
Beliau adalah pewaris ilmu turun-temurun mengenai hutan, haiwan, dan laut. Apa yang beliau pelajari bukan dari buku teks, tetapi dari pengalaman secara langsung: mengikut ayah ke hutan, belajar mengenali burung daripada suara, memerhati tabiat kera, dan memahami musim ikan banyak dan sedikit dari tanda-tanda angin serta bintang. Semua ini menjadikan beliau bukan sekadar seorang individu tempatan, tetapi juga ikon yang menyatukan tradisi, ilmu, dan alam secara menyeluruh.
Pemandu Berpengalaman dalam Ekopelancongan
Ketika sektor pelancongan mula berkembang pada tahun 1980-an dan 1990-an, Pulau Tioman mula menarik perhatian penyelam skuba, pencinta alam, dan pengembara dunia serta penyelidik antarabangsa. Permintaan terhadap pemandu tempatan meningkat, dan di sinilah Pak Musa mula memainkan peranannya.
Beliau menjadi pemandu gunung dan hutan untuk pelancong yang ingin mengenali sisi sudut pandang yang lain di Pulau Tioman, bukan hanya lautnya, tetapi juga hutannya. Denai menuju ke Gunung Kajang, yang merupakan puncak tertinggi di Tioman, sering dipandu oleh beliau. Pelancong asing sering kagum dengan cara ilmiah Pak Musa menjejak jalan tanpa kompas moden, hanya berpandukan ingatan dan tanda alam seperti bentuk pokok, arah angin, dan bunyi unggas.
Pengalaman bertahun-tahun sebagai pemandu pelancong, menjadikan beliau seorang malim gunung yang dipercayai. Beliau mahir dengan tempat-tempat di mana burung tiong emas sering berterbangan, unggas-unggas daripada spesis terancam bersembunyi, lokasi tersembunyi kolam semula jadi, dan kawasan habitat spesis endemik serangga serta reptilia. Ini menjadikan lawatan kembara kami bersama Pak Musa bukan sekadar pendakian, tetapi pengembaraan ilmu yang mengasyikkan.

Kepakaran Mengenal Fauna Tioman
Salah satu keistimewaan utama Pak Musa ialah kepakaran beliau dalam mengenali fauna Pulau Tioman.
Burung: Beliau mampu membezakan suara burung enggang dengan burung murai batu, bahkan dapat meniru bunyi untuk menarik perhatian burung. Burung Tiong Emas yang menjadi simbol hutan tropika di Pulau Tioman, sering diperkenalkan beliau sebagai ‘penyebar benih hutan’ kerana peranannya dalam menyebarkan benih buah hutan di sini.
Mamalia: Dari kera ekor panjang hinggalah ke musang pandan, beliau mengenali tingkah laku mereka. Beliau sering menekankan kepada pelancong supaya tidak memberi makan kepada kera kerana ia boleh mengubah ekologi dan tingkah laku haiwan itu.
Reptilia: Ular sawa batik, ular tedung, dan biawak sering dijumpai di dalam hutan. Pak Musa tahu bagaimana untuk mengenal pasti ular berbisa dan bagaimana mengelakkan gangguan daripada haiwan berbisa.
Serangga dan Amfibia: Katak hutan, kupu-kupu, dan kumbang unik Pulau Tioman sering beliau tunjukkan kepada pengunjung sebagai bukti betapa pulau ini kaya dengan spesies kecil yang jarang ditemui di tempat lain.
Ilmu beliau bukan hanya biologi, tetapi juga budaya konservasi. Setiap haiwan ada cerita rakyatnya, misalnya, enggang dikaitkan dengan keanggunan, manakala ular sering dikaitkan dengan kewaspadaan yang menggambarkan sinergi keindahan ciptaan Ilahi yang Maha Pencipta.

Penjaga Kelestarian Alam
Walaupun menjadi pemandu pelancong, Pak Musa tidak melihat alam sebagai sumber keuntungan semata-mata. Beliau selalu menekankan prinsip bahawa alam mesti dijaga. Banyak kali beliau menegur pelancong yang cuba memetik bunga hutan atau membuang plastik di denai.
Beliau percaya bahawa ekopelancongan sebenar bukan hanya melihat alam, tetapi menghormatinya. Kerana itu, beliau sering mengajar pelancong kecil perkara seperti; jangan menjerit di hutan kerana ia mengganggu fauna, jangan memijak lumut atau tumbuhan kecil di denai dan iangan memberi makanan kepada haiwan liar. Prinsip beliau ringkas tetapi tegas: “Alam bukan untuk dimiliki, tetapi untuk diwarisi.”
Pencerita Alam Semula Jadi
Selain kepakaran mengenal fauna, Pak Musa mempunyai bakat luar biasa dalam bercerita. Bagi pelancong, lawatan kembara bersama beliau tidak pernah bosan kerana setiap perjalanan dipenuhi dengan kisah-kisah menarik dan memukau buat sesiapa sahaja yang mendengar butir bicaranya.
Beliau tahu bagaimana menghubungkan sains dengan cerita rakyat. Contohnya, ketika menerangkan tentang kelawar gua, beliau mengaitkannya dengan kepercayaan orang kampung bahawa kelawar adalah ‘penjaga malam’. Begitu juga dengan ular yang sering dikaitkan dengan ‘penjaga harta karun’ dalam mitos tempatan setempat.
Bakat bercerita ini menjadikan pelancong bukan sekadar mendapat ilmu, tetapi juga pengalaman budaya tempatan dan konservasi seperti berada dalam makmal hidup (living lab). Ramai pelancong asing menganggap pengalaman bersama Pak Musa sebagai ‘paling autentik’ kerana ia menggabungkan alam semesta dengan kisah hidup masyarakat tempatan.
Penyokong Pendidikan Komuniti
Pak Musa juga dikenali dalam kalangan guru-guru sekolah di Pulau Tioman kerana sering dipanggil untuk mengadakan program pendidikan alam sekitar. Anak-anak sekolah dibawa ke dalam hutan untuk mengenali tumbuhan, burung, dan serangga, dengan Pak Musa sebagai pemandu pelancong. Beliau percaya bahawa ilmu tentang alam harus bermula dari kecil. Jika anak-anak Pulau Tioman tidak diajar tentang hutan mereka, suatu hari nanti mereka mungkin tidak lagi menghargainya.
Selain itu, beliau sering menekankan nilai kesederhanaan: ambil apa yang perlu dari alam, dan bukan apa yang kita mahu. Prinsip ini beliau terapkan dalam pendidikan komuniti, selari dengan konsep kelestarian moden yang diterapkan oleh Kerajaan Malaysia iaitu Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (Environmental, Social and Governance).
Pelengkap Industri Pelancongan Tioman
Pulau Tioman kini mempunyai banyak resort mewah dan sederhana, pusat menyelam, dan fasiliti pelancongan moden. Namun, tanpa pemandu tempatan seperti Pak Musa, pengalaman pelancong akan menjadi kosong. Beliau melengkapkan industri pelancongan dengan menyediakan sesuatu yang tidak boleh ditawarkan oleh hotel atau resort di sekitarnya: hubungan langsung dengan alam dan komuniti tempatan serta Tuhan Yang Maha Pencipta merupakan sesuatu yang amat istimewa. Banyak agensi pelancongan antarabangsa yang secara khusus meminta khidmat beliau kerana reputasinya yang sangat baik. Bagi komuniti tempatan, kehadiran Pak Musa juga memberi nilai tambah ekonomi. Pelancong yang dipandu beliau sering membeli makanan, kraf tangan, atau perkhidmatan lain dari penduduk kampung.
Sumber Inspirasi Penyelidik Lokal dan Antarabangsa
Bukan sahaja pelancong, bahkan ramai penyelidik, pelajar dan tenaga akademik tempatan dan antarabangsa yang menjadikan Pak Musa sebagai sumber rujukan lapangan. Pensyarah universiti dan pelajar yang membuat kajian tentang biodiversiti Pulau Tioman sering mengikut beliau ke hutan. Bagi penyelidik dan staf akademik, Pak Musa adalah ‘perpustakaan hidup’. Beliau mampu menunjukkan lokasi spesifik di mana spesis tertentu boleh ditemui, sesuatu yang tidak tercatat dalam peta atau jurnal rasmi. Pengetahuan beliau melengkapkan data saintifik dengan dimensi budaya dan praktikal. Ada kisah di mana seorang pelajar biologi dari Jerman kagum kerana Pak Musa dapat mengenal pasti spesis burung hanya dengan melihat bulu yang gugur di tanah. Ini membuktikan bahawa pengalaman lapangan boleh menandingi sains moden dalam beberapa aspek.
Warisan yang Perlu Dilestarikan
Pak Musa kini sudah berusia agak lanjut, tetapi semangatnya tidak pernah pudar. Beliau masih membawa pelancong, walaupun dengan langkah yang lebih perlahan tetapi berenegetik. Banyak orang risau, jika beliau tiada lagi, siapakah yang akan menggantikan peranannya?
Warisan Pak Musa bukan sekadar pengetahuan tentang fauna, tetapi juga nilai dan falsafah hidup. Beliau mengajar kita bahawa manusia dan alam mesti hidup dalam harmoni serta bertoleransi. Pihak berkuasa tempatan dan organisasi pelancongan wajar memberi pengiktirafan rasmi kepada tokoh seperti Pak Musa. Beliau adalah khazanah manusia Pulau Tioman, yang sama pentingnya dengan hutan dan pantai itu sendiri.
Kisah Pak Musa mengingatkan kita bahawa pembangunan pelancongan tidak boleh menenggelamkan suara penjaga alam. Pulau Tioman mungkin dikenali kerana pantainya yang indah, tetapi tanpa penjaga seperti Pak Musa, keindahan itu mungkin hanya tinggal nama. Pak Musa bukan sekadar seorang malim gunung; beliau adalah penjaga fauna, pendidik, pencerita, pewaris dan simbol kelestarian. Sumbangannya membuktikan bahawa ekopelancongan hanya akan berjaya jika ia didukung oleh komuniti tempatan yang memahami alam lebih mendalam daripada mana-mana buku panduan. Dengan itu, marilah kita melihat Pulau Tioman bukan hanya sebagai destinasi bercuti, tetapi sebagai warisan semula jadi yang perlu dilindungi. Justeru, dalam mengekalkan warisan turun temurun ini, kisah Pak Musa harus terus dikenang, diceritakan, dan dihargai oleh generasi akan datang.

Oleh: PROFESOR MADYA. DR. ABDUL SYUKOR ABD RAZAK
E-mel: syukor@umpsa.edu.my
Penulis adalah Felo Penyelidik Bersekutu Pusat Bioaromatik, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 23 views