Pandemik Covid-19 didik manusia tentang hidup beretika
Sedar tak sedar kita telah mempraktikkan norma baharu dalam kehidupan kita sehari-hari hampir setahun. Umum menyedari bahawa dalam mengekang Pandemik Covid-19 dari terus merebak di negara ini, orang ramai dikehendaki mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, sentiasa membasuh tangan, duduk di rumah bersama keluarga jika tidak ada hal penting serta mengelakkan dari tempat sesak dan sempit. Keadaan ini sebenarnya secara tidak langsung telah mendidik masyarakat negara ini untuk patuh pada arahan kerajaan dan juga dapat mendisiplinkan diri dan keluarga masing-masing. Apa yang ingin dinyatakan di sini adalah Pandemik Covid-19 dalam diam telah mengajar manusia tentang hidup beretika. Persoalannya adakah selama ini masyarakat kita hidup tidak beretika? Secara amnya, masyarakat kita sememangnya sudah dididik untuk menjadi warganegara yang beretika. Lihat sahajalah kepada segala dasar yang telah diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia sejak merdeka sehingga kini adalah menjurus kepada kehidupan beretika rakyat Malaysia.
Pemupukan hidup beretika rakyat Malaysia dapat dilihat kepada dasar-dasar negara, slogan kemerdekaan, video pendek bertemakan sambutan perayaan di Malaysia dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Dari segi sejarah, peranan kerajaan dalam mendidik masyarakat untuk patuh kepada arahan kerajaan telah dapat dilihat semasa berlakunya darurat di Tanah Melayu pada tahun 1948-1960 bagi mengekang pengaruh Komunis yang bermaharajalela di ketika itu. Kerajaan telah memindahkan semua penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman tidak kira bangsa ke Kampung-kampung Baharu yang disediakan oleh kerajaan. Selain itu, kerajaan juga turut mengadakan sekatan jalan raya, memutuskan bantuan makanan kepada pihak komunis, mengadakan catuan makanan kepada penduduk kampung dan melancarkan perang saraf. Pelaksanaan rancangan seperti ini banyak membantu kerajaan mengekang kegiatan dan pengaruh komunis ketika itu. Apa yang penting adalah kepatuhan rakyat kepada arahan kerajaan merupakan kejayaan besar dalam mengurangkan anasir tidak baik dari terus mengancam nyawa penduduk tempatan.
Usaha kerajaan mendidik etika dan peradaban masyarakat negara ini diteruskan lagi dengan pengenalan dasar-dasar kerajaan yang menjurus kepada pemupukan etika di tempat kerja serta menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat tempatan dengan lebih efisien. Justeru, maka lahirkan Dasar Bersih, Cekap dan Amanah pada tahun 1982 yang diperkenalkan oleh YAB Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed, Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu. Kempen Bersih, Cekap dan Amanah yang diperkenalkan Dr. Mahathir pada April 1982 itu merupakan satu dasar yang menjadi amalan di negara ini yang diperkenalkan bukan untuk dipamerkan tetapi diamalkan. Nilai amanah membawa maksud jangan sesekali ambil apa yang bukan milik anda, manakala bangsa yang melakukan segala mengikut peraturan dan berpegang kuat kepada kebersihan, tidak akan terlibat dalam rasuah.
Seterusnya dengan melihat kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan, antara intipatinya adalah 'Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara'. Ternyata sekali elemen penting Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah untuk melahirkan warga yang beretika.
Secara khususnya, asas kepada kehidupan beretika masyarakat Malaysia adalah Rukun Negara itu sendiri. Rukun Negara telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-13 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, Yang di- Pertuan Agong IV. Walaupun asas utama pembentukan Rukun Negara membentuk perpaduan yang kukuh, tetapi prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Rukun Negara jelas untuk mendidik masyarakat ke arah etika dan peradaban yang tinggi.
Lima Prinsip Rukun Negara adalah:
• Kepercayaan Kepada Tuhan
• Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
• Keluhuran Perlembagaan
• Kedaulatan Undang-undang
• Kesopanan dan Kesusilaan
Berbalik kepada perbincangan tentang Pandemik Covid-19, secara mata kasar ia menampakkan satu wabak yang telah mengorbankan banyak jiwa dan ekonomi seluruh dunia. Itu memang tidak dapat dinafikan. Tetapi setiap apa yang berlaku sudah pasti ada hikmah yang tersembunyi.
Dalam konteks negara Malaysia hari ini, Pandemik Covid-19 hadir dalam suasana masyarakat yang sedang leka dalam erti kata mereka terlupa untuk mengamalkan beberapa etika yang sepatutnya mereka jaga disebabkan kemajuan Sains dan Teknologi. Antaranya ialah penghayatan masyarakat untuk mendekati satu sama lain kurang dipraktikkan. Untuk itu kehadiran Covid-19 menyebabkan mereka tidak dapat mendekati antara satu sama lain lagi dengan wujudnya penjarakan fizikal. Ini sebenarnya adalah peringatan untuk manusia agar menjaga silaturahim.
Begitu juga soal kebersihan yang dipandang ringan oleh masyarakat sebelum ini khususnya membasuh tangan, tetapi Covid-19 mengajak masyarakat untuk sentiasa membasuh tangan walau di mana sahaja mereka pergi. Ini bertepatan dengan apa yang dinyatakan di dalam al-Quran iaitu segala apa yang berlaku di dunia ini adalah disebabkan tangan-tangan manusia. Walaupun maksudnya merujuk kepada kemusnahan dan kezaliman yang berlaku di muka bumi ini adalah disebabkan oleh tangan manusia, tetapi kita boleh juga menggunakan ayat ini bila membincangkan tentang peri pentingnya menjaga kebersihan, iaitu tangan manusia kerana ia asas utama tersebarnya penyakit. Selain itu, usaha kerajaan mengurangkan pergerakan manusia juga merupakan satu usaha bagi mendidik masyarakat agar sentiasa menjaga kepentingan orang lain selain kepentingan diri sendiri. Ini memandangkan negara membangun atas kerjasama semua pihak, jadi kepentingan masyarakat keseluruhan adalah satu keutamaan.
Dalam usaha menangani Covid-19 pada hari ini, berpeganglah kita kepada pepatah ‘Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh’, iaitu jika semua masyarakat bersatu tangani Covid-19, kita akan berjaya, dan jika tidak berpecah kita tidak akan berjaya.
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang (UMP)
Oleh : Dr. Hasnah Hussiin
e-mel: hasnah@ump.edu.my
- 3391 views