Pendidikan Percuma: Dari Kampus ke Komuniti, Bersama Membina Ekosistem Inklusif Negara
Pengumuman Dasar Pendidikan Percuma bagi pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) dan pelajar daripada keluarga miskin tegar di bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 merupakan satu langkah berani dan berprinsip. Ia bukan sekadar inisiatif kewangan, tetapi satu manifestasi nilai keadilan sosial dan pendidikan untuk semua, dengan aspirasi besar: keciciran sifar dan tiada sesiapa yang tercicir daripada pendidikan tinggi.
Namun, untuk memastikan dasar ini benar-benar berkesan, pendidikan percuma tidak boleh ditafsir secara sempit sebagai pengecualian yuran pengajian semata-mata. Sebaliknya, ia perlu dilihat sebagai usaha menyeluruh untuk menghapuskan halangan pendidikan yang bersifat fizikal, akademik, sosioekonomi dan sistemik. Pendidikan percuma yang sebenar menuntut ekosistem inklusif holistik merangkumi infrastruktur, infrostruktur, sokongan pembelajaran dan kelestarian kesejahteraan pelajar
Skop Pendidikan Percuma: Lebih daripada Yuran
Bagi pelajar OKU, cabaran pendidikan sering bersifat berlapis. Selain kekangan kewangan, mereka berdepan isu kebolehcapaian fizikal, penyesuaian pedagogi, teknologi bantu serta sokongan psikososial. Oleh itu, skop pendidikan percuma perlu merangkumi penyesuaian kaedah pengajaran dan pentaksiran, penggunaan teknologi bantu, fleksibiliti pembelajaran, sokongan mobiliti serta perkhidmatan sokongan akademik dan bukan akademik yang berterusan.
Pendekatan ini berasaskan prinsip keadilan (equity), bukan kesamarataan semata-mata. Setiap pelajar disokong berdasarkan keperluan sebenar agar potensi mereka dapat dioptimumkan. Dalam konteks ini, pendidikan percuma merupakan pelaburan strategik negara dalam modal insan inklusif, bukan beban kos jangka pendek.
Miskin Tegar: Menghapuskan Kos Tersembunyi Pendidikan
Bagi pelajar daripada keluarga miskin tegar, cabaran utama bukan sekadar yuran pengajian, tetapi kos tersembunyi pendidikan seperti penginapan, makanan, pengangkutan, bahan pembelajaran dan akses digital. Tanpa sokongan menyeluruh, pelajar berisiko tercicir walaupun yuran telah dikecualikan.
Oleh itu, pendidikan percuma perlu disokong dengan bantuan kos sara hidup kampus, sokongan kebajikan, akses kemudahan asas serta program pengupayaan bakat dan kebolehpasaran. Matlamatnya bukan sekadar melahirkan graduan, tetapi insan berdaya saing yang mampu berdikari dan menyumbang kembali kepada masyarakat.
UMPSA sebagai Hab Teknologi dan Ekosistem Inklusif
Di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), kesiapsiagaan ini dibangunkan secara berfasa sejak 2019 melalui Dasar Ekosistem Mesra OKU dan Inklusif (DAMAi). Dasar ini menjadi asas kepada penubuhan dan pengukuhan Pusat Perkhidmatan Inklusif (PPi) serta Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK DAMAi@UMPSA) sebagai dua entiti teras perkhidmatan inklusif universiti.
PPi UMPSA berfungsi sebagai pusat sehenti tadbir urus dan perkhidmatan inklusif, merangkumi tiga komponen utama: Studio Pusat Sehenti, Hab Teknologi dan Ekosistem Inklusif (HATi) dan Makmal/Bilik Latihan Inklusif. Kemudahan ini menyokong pembelajaran inklusif melalui studio audio visual, teknologi pintar, sudut Braille, ruang terapi sosial, gamifikasi, simulasi dan latihan berasaskan keperluan sebenar komuniti inklusif.
Pendekatan ini digerakkan berteraskan aspirasi MANDAT – muafakat aktivis teknologis, serta kerangka Komuniti 5.0 yang meletakkan teknologi sebagai pemudah cara dan manusia sebagai teras. Infrastruktur fizikal mesra OKU, infrostruktur sistem sokongan, serta ekosistem kolaboratif bersama agensi kerajaan, industri dan komuniti membolehkan UMPSA menyokong pendidikan percuma secara mampan.
Cabaran dan Peluang: Sinergi Quintuple Helix
Tidak dinafikan, pendidikan percuma holistik menuntut kos yang melibatkan perancangan, pelaksanaan, penyelenggaraan dan kelestarian ekosistem. Namun, cabaran ini tidak boleh dipikul oleh universiti secara bersendirian.
Pendekatan Quintuple Helix menawarkan solusi strategik melalui sinergi kerajaan, akademia, industri, komuniti dan alam sekitar. Konsep muafakat komuniti ‘sekampung’ inklusif membolehkan amanah dan manfaat dikongsi bersama. Pelajar bukan sekadar penerima manfaat, tetapi dibentuk sebagai Aktivis Teknologis Komuniti dan Ekosistem Inklusif Sejagat (AKTiF) yang menyumbang aktif kepada masyarakat sejak di alam kampus hingga bergraduat.
Impak Strategik kepada Pendidikan Tinggi Negara
Keberkesanan dasar pendidikan percuma akan terserlah apabila ia:
• Mengurangkan keciciran pelajar OKU dan miskin tegar;
• Meningkatkan kebolehpasaran graduan inklusif;
• Memperkukuh keadilan sosial dalam pendidikan tinggi; dan
• Menjadikan universiti sebagai living lab ekosistem inklusif negara.
Akhirnya, pendidikan percuma adalah cerminan nilai sebuah negara. Apabila dilaksanakan melalui ekosistem inklusif yang mantap, ia menjadi pemangkin transformasi pendidikan tinggi yang lebih adil, berdaya saing dan berperikemanusiaan demi Malaysia yang inklusif dan sejahtera.

Oleh: DR. MUNIRA ABDUL RAZAK
E-mel: munira@umpsa.edu.my
Penulis adalah Pengarah, Pusat Perkhidmatan Inklusif (PPi), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 42 views