Skip to main content

Pengalaman Sukarelawan Membina Kepimpinan

Dalam era di mana universiti berdepan cabaran mengimbangi autonomi institusi, akauntabiliti awam dan risiko reputasi, peranan pentadbir semakin menjadi penentu wajah institusi. Mereka tidak lagi sekadar mengurus sistem dan mematuhi prosedur, tetapi dituntut untuk menjadi pemimpin berwibawa, pembawa nilai serta pembuat keputusan beretika dalam persekitaran yang semakin kompleks dan tidak menentu. Dalam konteks ini, pengalaman sukarelawan khususnya melalui badan beruniform dan kerja-kerja kemasyarakatan muncul sebagai wahana signifikan dalam pembinaan kepimpinan pentadbir universiti. Pengalaman sedemikian bukan sahaja membentuk kecekapan kepimpinan praktikal, malah menyumbang kepada pemupukan kepekaan sosial, disiplin diri dan pertimbangan moral yang kritikal dalam tadbir urus universiti masa kini.

Melalui wacana berasaskan pengalaman yang diperkukuh dengan hujah keilmuan, kupasan ini menelusuri bagaimana pengalaman berkhidmat dalam dunia sebenar membentuk keterampilan kepimpinan, memperkukuh kepekaan moral serta menyumbang kepada pembudayaan nilai ihsan dan tanggungjawab sosial dalam tadbir urus universiti. Kupasan ini tidak bertujuan mengangkat pencapaian individu, sebaliknya menawarkan suatu renungan kritikal tentang bagaimana kepimpinan berteraskan nilai lazimnya terbina secara perlahan, senyap dan berperingkat melalui pengalaman khidmat yang berpanjangan.

Pembelajaran di Luar Sistem

Sebahagian besar pembinaan kepimpinan berlaku di luar bilik mesyuarat dan modul latihan formal. Pengalaman sukarelawan menyediakan ruang pembelajaran yang tidak distrukturkan secara rasmi, namun berupaya membentuk nilai, sikap dan keupayaan memimpin secara mendalam. Dalam situasi lapangan, individu belajar melalui tindakan, refleksi dan interaksi langsung dengan masyarakat yang berhadapan pelbagai cabaran sebenar.

Bagi pentadbir universiti, pengalaman ini membuka dimensi pembelajaran yang jarang diperoleh dalam rutin pentadbiran harian. Ia mempertemukan mereka dengan realiti sosial yang kompleks, sekali gus menuntut kebolehan menyesuaikan diri, memahami keperluan manusia dan membuat keputusan dalam keadaan serba terbatas. Kajian tempatan berkaitan pembelajaran berasaskan pengalaman turut menunjukkan bahawa pendedahan kepada situasi sebenar mampu membentuk kematangan emosi dan kebijaksanaan praktikal yang signifikan dalam konteks kepimpinan pendidikan tinggi.

Kepimpinan yang Terbina, Bukan Diwarisi

Dalam banyak organisasi, kepimpinan sering ditafsirkan melalui jawatan, autoriti dan struktur formal. Namun, pengalaman lapangan menunjukkan bahawa kepimpinan yang benar-benar berkesan jarang lahir semata-mata daripada pelantikan rasmi. Ia terbina melalui pengalaman yang mencabar cara berfikir, menguji ketahanan emosi dan memaksa seseorang berhadapan dengan realiti manusia yang kompleks.

Pengalaman sebegini sering mempertemukan pentadbir dengan situasi yang tidak mempunyai jawapan mutlak. Kekangan sumber, tekanan masa dan emosi masyarakat yang terkesan menuntut keputusan yang pantas tetapi berhemah. Dalam keadaan ini, kepimpinan tidak lagi bersifat teoritikal, sebaliknya menjadi amalan yang hidup, berteraskan situasi sebenar dan dinamik.

Kajian tempatan mengenai pembelajaran berasaskan pengalaman dalam pendidikan tinggi turut menunjukkan bahawa pendedahan kepada situasi sebenar di lapangan berupaya membentuk kematangan emosi, kebolehan membuat keputusan serta keupayaan memimpin dalam keadaan tidak menentu. Keterampilan ini sukar diperoleh melalui latihan formal semata-mata, namun amat signifikan dalam membentuk kepimpinan yang seimbang antara kecekapan dan kemanusiaan.

Bagi pentadbir universiti, pengalaman sukarelawan terutamanya yang melibatkan khidmat kemanusiaan dan pengurusan krisis menjadi ruang pembelajaran yang tidak selalu tersedia dalam rutin pentadbiran harian. Di sinilah kepimpinan diuji bukan melalui keupayaan mengeluarkan arahan, tetapi melalui kebolehan mendengar, membuat pertimbangan beretika dan hadir bersama mereka yang memerlukan.

Penglibatan dalam aktiviti sukarelawan mempertemukan pentadbir dengan situasi yang jarang mempunyai jawapan yang jelas. Kekangan sumber, tekanan masa dan emosi masyarakat yang terkesan memerlukan keputusan yang pantas tetapi berhemah. Dalam keadaan ini, kepimpinan tidak lagi bersifat teoritikal, sebaliknya menjadi amalan yang hidup dan dinamik.

Keterampilan, Keterlihatan dan Kepercayaan

Salah satu kesan utama pengalaman sukarelawan ialah peningkatan keterampilan kepimpinan yang bersifat praktikal dan berakar pada realiti. Pentadbir yang terlibat secara langsung dalam kerja-kerja khidmat masyarakat sering membangunkan keyakinan diri yang lahir daripada pengalaman sebenar, bukan sekadar kefahaman konseptual atau pengetahuan dasar.

Pada masa yang sama, keterlihatan pentadbir dalam aktiviti kemasyarakatan membina kepercayaan dalam kalangan warga universiti dan masyarakat. Keterlihatan ini bukan bertujuan publisiti, sebaliknya berfungsi sebagai kewibawaan kepimpinan di mata masyarakat iaitu suatu isyarat bahawa kepimpinan universiti tidak terpisah daripada kehidupan sebenar masyarakat di sekelilingnya. Dalam wacana tadbir urus institusi awam, kepercayaan merupakan modal sosial yang tidak boleh dibina melalui dasar atau arahan semata-mata.

Budaya sukarelawan tidak terbina melalui pelaksanaan yang bersifat rutin atau simbolik. Ia memerlukan kepimpinan teladan yang konsisten dan tulen. Apabila pentadbir memilih untuk turun ke lapangan dan terlibat secara langsung dalam kerja-kerja kemasyarakatan, mereka menghantar mesej yang jelas tentang nilai yang dipegang oleh institusi. Kehadiran sebegini memberi inspirasi kepada mahasiswa dan staf, sekali gus menyemai budaya kebersamaan serta tanggungjawab sosial dalam ekosistem universiti.

Dalam jangka panjang, budaya ini menyumbang kepada pembentukan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan dan berkemahiran, tetapi juga berjiwa masyarakat. Aspirasi ini selari dengan hasrat pendidikan tinggi negara yang menekankan pembangunan insan yang holistik, seimbang dan beretika.

Pengalaman sukarelawan sering mempertemukan pentadbir dengan situasi yang tidak mempunyai jawapan yang jelas. Kekangan sumber, tekanan masa dan emosi masyarakat yang terkesan menuntut keputusan yang pantas tetapi berhemah. Dalam keadaan sedemikian, kepimpinan tidak lagi bersifat abstrak, sebaliknya diterjemahkan melalui tindakan yang nyata dan bersandarkan situasi sebenar. 

Cabaran-cabaran ini mengasah keupayaan membaca situasi, mengurus konflik serta membuat keputusan dalam keadaan serba tidak pasti. Lebih penting, ia mengasah kepekaan moral dan empati, menjadikan kepimpinan lebih berakar pada nilai kemanusiaan. Pengalaman ini mengajar bahawa keberkesanan kepimpinan bukan terletak pada kesempurnaan keputusan, tetapi pada kejujuran niat dan kesediaan memikul tanggungjawab bersama.

Antara Tanggungjawab dan Kemanusiaan 

Walaupun pengalaman sukarelawan membawa banyak manfaat, ia juga menuntut refleksi yang jujur. Tekanan emosi, keletihan fizikal dan konflik peranan merupakan realiti yang tidak boleh dinafikan. Tanpa sokongan institusi yang mencukupi, pengalaman berkhidmat berisiko menjadi beban individu, malah boleh menjejaskan kesejahteraan emosi pentadbir itu sendiri.

Oleh itu, universiti perlu melihat penglibatan sukarelawan sebagai sebahagian daripada pembangunan profesional yang lebih berstruktur. Sokongan psikososial, ruang refleksi dan pengiktirafan yang wajar perlu disediakan agar pengalaman berkhidmat dapat dilestarikan secara sihat dan beretika. Pendekatan ini sejajar dengan penekanan kepimpinan berteraskan nilai yang turut digariskan dalam pelbagai dokumen strategik pendidikan tinggi negara.

Dalam pengalaman berkhidmat, terdapat detik-detik yang sukar diterjemahkan melalui angka, laporan atau penilaian prestasi. Ia hadir dalam bentuk keletihan yang tidak kelihatan, dilema membuat keputusan yang tiada pilihan sempurna serta perasaan serba salah apabila tuntutan institusi dan keperluan kemanusiaan bertembung. Pada saat-saat inilah, pengalaman sukarelawan mengajarkan bahawa kepimpinan bukan tentang mengetahui semua jawapan, tetapi tentang kesediaan memikul beban bersama.

 Pengalaman Sukarelawan Membina Kepimpinan

Kesedaran ini membentuk kefahaman bahawa universiti bukan sekadar organisasi akademik, tetapi sebuah komuniti manusia yang terdedah kepada risiko, emosi dan ketidaktentuan. Kepimpinan yang lahir daripada pengalaman berkhidmat menjadikan seseorang lebih berhati-hati dalam merangka dasar, lebih empatik dalam mengurus warga dan lebih sedar bahawa setiap keputusan pentadbiran mempunyai implikasi kemanusiaan yang nyata.

Kepimpinan Berteraskan Pengalaman 

Kepimpinan dalam pendidikan tinggi tidak wajar ditanggapi semata-mata sebagai hasil latihan formal atau pelantikan jawatan. Sebaliknya, ia merupakan suatu proses pembinaan berterusan yang terbentuk melalui pengalaman sebenar, khususnya pengalaman berkhidmat dalam konteks kemasyarakatan dan kemanusiaan. Pengalaman sedemikian membentuk keupayaan memimpin yang lebih matang, berempati dan berakar pada realiti masyarakat.

Dalam menghadapi cabaran masa hadapan sama ada krisis kesihatan, bencana alam, perubahan sosial mahupun tekanan institusi universiti memerlukan pentadbir yang bukan sahaja cekap mengurus sistem, tetapi juga berupaya memimpin manusia. Kepimpinan yang dipupuk melalui pengalaman sukarelawan berpotensi melahirkan pentadbir yang berjiwa rakyat, beretika serta relevan dengan keperluan masyarakat yang semakin kompleks dan dinamik.

Dalam kerangka Malaysia MADANI, pendekatan ini selari dengan penekanan terhadap nilai ihsan, kesejahteraan dan keyakinan yang diterjemahkan melalui tindakan nyata. Justeru, penglibatan pentadbir universiti dalam badan beruniform dan gerakan sukarelawan wajar dilihat sebagai suatu pelaburan strategik dalam pembangunan kepimpinan institusi, bukan sekadar aktiviti sampingan.

Universiti masa hadapan memerlukan barisan pentadbir yang bukan sahaja cekap mengurus, tetapi berakar pada nilai kemanusiaan dan kepercayaan masyarakat. Jika diinstitusikan secara terancang dan bijaksana, pengalaman sukarelawan berpotensi menjadi medan pembelajaran kepimpinan yang signifikan dalam melahirkan kepimpinan universiti yang relevan, beretika dan berimpak tinggi.

KapterBersekutu (PA) Mohd Raizalhilmy

Oleh: Kapten Bersekutu (Pa) Mohd Raizalhilmy Mohd Rais
E-mel: hilmy@umpsa.edu.my
Penulis adalah Setiausaha Jawatankuasa Kerja Ajutan Kor Siswa-Siswi Pertahanan Awam (KOR SISPA) Kebangsaan Merangkap Ketua Sukarelawan Pelajar, Jawatankuasa Bertindak Bencana UMPSA. 

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri