Skip to main content

Perkahwinan Merentasi 2 Benua

Perkahwinan yang indah sepanjang hayat adalah sesuatu yang sering diimpikan oleh setiap insan. Suatu episod kehidupan yang disulami dengan pelbagai kisah suka dan duka dengan ditemani insan tersayang yang sedia berkongsi segalanya. Sering kali, pasangan suami isteri diingatkan untuk sentiasa bersabar dan bertolak ansur. Ini kerana, setiap suami dan isteri memiliki pandangan dan pemikiran yang berbeza kerana latar belakang yang unik. Mendirikan rumahtangga dengan pasangan berasal dari negara yang sama dan  memiliki bahasa ibunda yang sama merapatkan jurang perbezaan pendapat dan menjadikan proses komunikasi lebih berkesan. 

Walaubagaimanapun, kewujudan sistem pengangkutan moden dan jaringan komunikasi canggih telah menarik lebih ramai orang luar negara datang ke negara ini atas urusan pendidikan, perlancongan dan pekerjaan. Ini seterusnya telah membuka suatu lanskap baru dalam dunia kekeluargaan tradisional apabila terjalinnya perkahwinan dengan pasangan dari benua yang berbeza. Kelainan dari segi budaya, bahasa komunikasi dan makanan sajian harian adalah antara cabaran di awal usia perkahwinan. Kurangnya usaha dalam mengatasi cabaran ini boleh membawa kepada salah faham di antara pasangan yang membawa kepada pertelingkahan dan akhirnya kepada penceraian. 

Oleh yang demikian, perkahwinan yang terjalin di atas dasar kasih sayang perlu diperkuatkan lagi dengan kedua-dua pasangan sentiasa berusaha memahami serta menghormati perbezaan budaya masing-masing. Keprihatinan setiap pasangan dalam menambah ilmu pengetahuan yang diperlukan untuk benar-benar memahami budaya pasangan masing-masing adalah sangat penting dalam membina komunikasi yang efektif. Kewujudan internet dan perisian AI seperti Chatgpt memudahkan sebahagian besar informasi tentang setiap budaya mudah untuk diketahui. Kedua-dua pasangan mesti menjalinkan hubungan baik dengan keluarga dari kedua-dua belah pihak. 

Amalan bertanya khabar dan memberikan hadiah tanda ingatan berdasarkan budaya masing-masing adalah antara kaedah dalam memenangi hati keluarga pasangan. Sokongan berterusan dari kedua-dua keluarga amat penting dalam menjamin kebahagiaan rumahtangga dalam tempoh jangka panjang. Di kaca mata Islam, perkahwinan di dalam negara atau merentasi benua yang didasari atas keimanan akan sentiasa disinari kebahagiaan bagi meraih perkahwinan yang di berkati.

Perkahwinan merentasi dua benua bukan sekadar kisah jarak ribuan kilometer yang memisahkan tubuh, tetapi sebuah perjalanan iman yang menyatukan dua hati dalam satu tujuan: mencari reda Allah SWT. Dalam dunia moden yang pantas, cinta boleh bermula di ruang maya, berkembang melalui panggilan video, dan disahkan melalui akad yang penuh barakah. Namun, Islam mengajar bahawa perkahwinan bukan semata-mata ‘berjumpa’ pada tarikh tertentu, tetapi ‘berpaut’ pada nilai yang kekal, amanah, tanggungjawab, dan kasih sayang yang dipandu syariat. 

Hakikatnya, jarak bukan musuh utama, yang paling mencabar ialah pengurusan jiwa. Perbezaan masa, budaya, bahasa, cara berkomunikasi, dan gaya hidup sering menguji kesabaran. Ada hari yang terasa sunyi, ada malam yang penuh rindu, dan ada ketikanya kata-kata yang sepatutnya menjadi penenang bertukar menjadi salah faham. Namun, di situlah terletaknya rahmat ujian daripada Allah Yang Maha Mengetahui untuk mendidik pasangan agar lebih menghargai setiap peluang, lebih berhati-hati dalam tutur bicara, dan lebih bersungguh-sungguh untuk memelihara hubungan melalui adab dan doa.

Dalam perkahwinan yang dipisahkan benua, pasangan belajar bahawa cinta bukan hanya tentang kehadiran fizikal, tetapi kehadiran hati. Cinta itu terzahir apabila suami tetap memimpin walaupun dari jauh untuk menasihati, melindungi maruah isteri, memastikan nafkah, dan menjadi tempat rujuk yang menenangkan. Cinta itu juga terpancar apabila isteri menjaga kehormatan, memelihara rumah tangga, dan menguatkan doa yang tidak pernah putus. Mereka mungkin tidak berkongsi meja makan setiap hari, tetapi mereka berkongsi arah yang sama dalam menuju syurga, selangkah demi selangkah kearah mardhatillah. 

Islam tidak menafikan realiti hidup yang memerlukan hijrah, tuntutan kerja, atau tanggungjawab keluarga yang berada di negara berbeza. Tetapi Islam menetapkan garis panduan yang menyelamatkan perkahwinan daripada runtuh melalui komunikasi yang jujur, hak dan kewajipan yang jelas, batas pergaulan yang terjaga, serta usaha menyusun pertemuan secara berkala. Bahkan, perancangan yang rapi dalam hal visa, tempat tinggal, kewangan, dan masa bersama bukan sekadar strategi duniawi, tetapi sebahagian daripada ikhtiar yang dituntut syarak. Kerana cinta yang matang bukan cinta yang hanya ‘rasa’, tetapi cinta yang sanggup ‘mengurus’. Lebih indah, perkahwinan merentasi dua benua mengajar erti sabar yang sebenar. Sabar bukan menelan derita tanpa suara, tetapi menahan diri daripada merosakkan hubungan ketika emosi amarah memuncak. Sabar itu memilih untuk memaafkan, memilih untuk memahami, dan memilih untuk memperbaiki. Pada saat jarak memisahkan pelukan, iman menggantikan dengan ketenangan. Pada saat rindu membebankan hati, zikir menjadi pelindung. Pada saat dunia terasa sempit, doa menjadi ruang yang luas yang merupakan tempat dua insan bertemu dalam munajat yang sama.

Akhirnya, perkahwinan ini adalah cerminan bahawa Allah SWT mampu menyatukan yang jauh, apabila manusia bersungguh-sungguh menjaga hubungan dengan-Nya. Jika pasangan mampu menutup pintu fitnah, membuka pintu kepercayaan, dan memelihara batas syariat, maka jarak akan menjadi sebab bertambahnya nilai, bukan sebab runtuhnya cinta. Kerana cinta yang diredhai Ilahi bukan cinta yang bebas tanpa aturan, tetapi cinta yang tunduk kepada ketetapan Allah SWT. 

Maka, biarlah tajuk ‘Perkahwinan Merentasi Dua Benua’ bukan sekadar naratif romantik, tetapi sebuah inspirasi untuk membina keluarga berteraskan iman. Jadikan perbezaan benua sebagai medan membina kesetiaan, bukan alasan melonggarkan amanah. Jadikan rindu sebagai tenaga untuk berusaha, bukan ruang untuk kelalaian. Jadikan setiap jarak sebagai peringatan bahawa pertemuan paling agung bukanlah di lapangan terbang, tetapi di akhirat kelak, apabila dua hati yang pernah diuji oleh dunia, akhirnya disatukan dalam rahmat yang tidak berpenghujung. Semoga setiap pasangan yang melalui jalan ini terus dipimpin Allah SWT, dilapangkan urusan, dipelihara kasih, dan dikurniakan sakinah, mawaddah, wa rahmah, walau dipisahkan oleh dua benua. Wallahualam.

 

abdul syukor

Oleh: Profesor Madya. Dr. Abdul Syukor Abd Razak
E-mel: syukor@umpsa.edu.my

Penulis ialah Profesor Madya di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri