Persediaan menyambut persekolahan, Ramadan, dan lebaran: Peranan ibu bapa dalam pengurusan kewangan
Penggal persekolahan akan bermula pada minggu hadapan bagi takwim sesi persekolahan 2024/2025. Seperti tahun sebelumnya, minggu persekolahan bermula pada Mac, secara spesifiknya pada 10 dan 11 Mac mengikut negeri.
Keputusan tersebut diambil setelah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mempertimbangkan beberapa justifikasi sebelum menentukan penjadualan kembali sesi persekolahan pada bulan Januari.
Pastinya, ibu bapa telah menyiapkan persediaan material seperti pakaian sekolah, buku-buku, peralatan tulis, dan lain-lain yang mencukupi untuk memenuhi keperluan anak-anak mereka. Perancangan kewangan menjadi agenda yang kritikal untuk persiapan ini.
Selain daripada persiapan keperluan harian, ibu bapa perlu menyediakan mental dan emosi anak-anak supaya mereka dapat menyesuaikan diri dengan baik untuk sesi persekolahan akan datang. Semasa cuti sekolah, anak-anak mungkin tidur lewat, menghabiskan seharian bermain game, dan menikmati masa lapang dengan melakukan aktiviti-aktiviti santai.
Justeru, penting bagi ibu bapa membimbing anak-anak agar dapat menyesuaikan diri dengan jadual persekolahan yang bakal tiba. Ibu bapa perlu memainkan peranan untuk mengingatkan anak-anak agar dapat menjaga keseimbangan antara hiburan dan tanggungjawab akademik seusai persekolahan.
Tambahan pula, bagi anak-anak yang mengambil peperiksaan kebangsaan yang utama di peringkat pendidikan sekolah menengah, mereka perlu bersiap sedia seawal mungkin agar dapat menghadapi peperiksaan tersebut dengan efisien dan optimal. Ini termasuklah menyusun jadual harian dengan memberikan penekanan pada waktu belajar yang konsisten dan memberikan masa rehat yang cukup untuk mental dan fizikal mereka.
Oleh itu, pada awal persekolahan ini, perlu untuk anak-anak mengenali kekuatan dan kelemahan dalam mata pelajaran tertentu serta mencari bantuan dari guru atau rakan sebaya, kerana ia dapat menjadi strategi yang efektif dalam pembelajaran. Selain itu, penting untuk menjaga keseimbangan antara belajar dan bersantai agar anak-anak tidak merasa terlalu tertekan.
Sejurus minggu persekolahan bermula, bulan Ramadan akan menjelang dalam satu hari persekolah untuk Kumpulan A atau dua hari persekolahan untuk Kumpulan B, menjadi satu pertimbangan penting bagi ibu bapa untuk merancang dan menyusun jadual aktiviti harian anak-anak selaras dengan tuntutan ibadah dan persekolahan.
Ibu bapa, khususnya para ibu yang bekerja, mereka akan menjadi golongan yang amat sibuk menjelang minggu-minggu akan datang hingga ke bulan Syawal. Ini disebabkan oleh keperluan menyediakan hidangan berbuka walaupun ada yang memilih untuk membeli di bazar Ramadan sahaja.
Perancangan kewangan sekali lagi menjadi agenda penting dalam menjalani ibadah puasa. Justeru, Ramadan bukan semata-mata tentang aspek rohaniah, tetapi bulan tersebut juga memberi peluang untuk membina kekuatan kewangan. Dengan merancang kewangan secara berhemah, ibu bapa dapat memastikan bahawa keluarga mereka dapat menghadapi ibadah pada bulan Ramadan dengan tenang dan bermakna.
Keharusan untuk menguruskan kewangan kembali menjadi fokus utama, khususnya bagi ibu, yang perlu membuat perancangan untuk memilih baju raya yang sesuai dan sedondon bagi seisi keluarga, menjadikan Outfit of the Day (OTD) semakin penting dalam menyambut lebaran dewasa ini. Hal ini juga berlaku dalam menetapkan belanjawan yang bijak untuk belanja dapur, pulang beraya di kampung atau memperbaharui perabot rumah.
Justeru, bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam berjumlah RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 ke bawah, dapat membantu meringankan beban kewangan keluarga. Dengan sumbangan ini, diharapkan seisi keluarga dapat mempersiapkan diri dengan lebih baik untuk menyediakan keperluan persekolahan, menyambut bulan suci Ramadan dan merayakan lebaran tanpa rasa tertekan oleh masalah kewangan yang melampau.
Penulis ialah pensyarah kanan, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
E-mel: zuraina@umpsa.edu.my
- 334 views