Rumusan Permasalahan dan Cabaran Pelajar UMP dalam Menjalani Pembelajaran Secara Dalam Talian
Pandemik Covid-19 telah memberikan impak yang besar kepada seluruh masyarakat dunia tanpa batasan. Selain sektor ekonomi dan pekerjaan, sektor pendidikan turut menerima tempias yang sangat hebat apabila hampir dua tahun sistem pembelajaran terpaksa dijalankan secara dalam talian (online).
Semua peringkat pengajian sama ada peringkat rendah, menengah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menggunakan kaedah pembelajaran secara dalam talian bagi memastikan sistem persekolahan dan pendidikan tinggi tetap berjalan seperti biasa. Namun, apakah kita semua merasakan kaedah ini memudahkan atau membebankan semua pihak iaitu guru, pensyarah dan pelajar? Pernahkah kita berfikir apakah masalah-masalah dan cabaran yang dihadapi oleh pelajar-pelajar ini semasa proses belajar secara dalam talian?
Justeru, satu kajian ringkas dan rawak telah dilakukan ke atas pelajar Universiti Malaysia Pahang (semester 1 2021/2022) bagi mengetahui permasalahan yang mereka hadapi untuk dijadikan panduan kepada pihak pentadbir dan pengajar agar tidak memandang remeh tentang perkara ini. Permasalahan mereka perlu dirai secara bijaksana agar tiada pelajar yang tertinggal dan terkebelakang dalam menuntut ilmu di era yang sangat mencabar.
Secara amnya, pelajar diploma atau ijazah menghadapi masalah dan cabaran yang sama. Cabaran paling besar adalah capaian internet yang kurang memuaskan. Boleh dikatakan hampir 80 peratus pelajar menghadapi masalah capaian internet yang tidak memuaskan. Ada pelajar yang mempunyai data internet yang tidak mencukupi walaupun mempunyai gajet sendiri. Masalah capaian internet akan berlaku jika keadaan cuaca yang tidak memuaskan seperti hujan dan tempat tinggal pelajar. Kadar capaian internet yang kurang memuaskan memberi kesan terhadap keinginan atau semangat pelajar ingin menuntut ilmu. Capaian internet yang terhad telah menyebabkan pelajar tidak mendapat maklumat yang ingin disampaikan oleh pensyarah dengan jelas, mereka akan terlepas perkara-perkara penting yang diajar oleh pensyarah serta kelewatan untuk menghantar tugasan atau ujian dalam masa yang ditetapkan. Keadaan bertambah parah apabila pensyarah tidak faham akan masalah yang dihadapi oleh pelajar. Selain masalah gangguan internet, ada juga pelajar yang mengalami data yang tidak mencukupi kerana terpaksa berkongsi dengan adik-beradik yang ramai dan menggunakan komputer secara bergilir-gilir.
Isu lain yang berkaitan dengan Internet adalah belajar secara dalam talian juga memerlukan kos yang tinggi kerana mereka perlu membeli komputer atau komputer riba (ini membebankan bila adik-beradik ramai), telefon pintar dan gadget lain untuk memudahkan pembelajaran secara dalam talian seperti memasang WIFI, membayar bil internet dan telefon. Bagi pelajar yang kurang berada ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada kewangan kerana terpaksa membayar dengan kos yang tinggi bagi membeli setiap keperluan pembelajaran secara dalam talian.
Yang kedua adalah masalah persekitaran yang tidak membantu menaikkan semangat pelajar untuk belajar. Antaranya, masalah persekitaran yang tidak kondusif, belajar di rumah, cuaca panas dan bilik yang sempit menyebabkan ketidakselesaan berlaku sepanjang pembelajaran. Begitu juga dengan suasana sekeliling yang bising sama ada dari rumah sendiri, rumah jiran dan luar kawasan rumah. Ada juga pelajar yang terpaksa mengemas rumah dan memasak, menghantar adik ke sekolah, gangguan daripada adik-beradik atau rakan sebilik jika berada di asrama serta ada yang merasakan terlalu letih kerana seharian mengadap komputer atau komputer riba. Keadaan persekitaran yang tidak kondusif ini menyebabkan mereka hilang fokus apatah lagi pensyarah tidak boleh memantau pergerakan mereka. Pelajar merasakan mereka tidak berada dalam suasana pembelajaran yang sebenar tidak dapat berkomunikasi dan berhadapan dengan pensyarah dan rakan-rakan sekelas untuk berbincang.
Masalah atau cabaran yang seterusnya adalah kurangnya masa untuk bersemuka dengan pensyarah. Pelajar juga turut hadapi masalah untuk bertanya atau memberikan pendapat secara peribadi tentang pembelajaran. Pemahaman terhadap sesuatu subjek juga tidak sepenuhnya kerana kurang penjelasan semasa kelas secara dalam talian yang mana ia tidak terperinci sebagaimana kelas secara bersemuka. Pelajar juga merasakan perhatian pensyarah kepada pelajar juga berkurang kerana belajar secara maya.
Selain itu, terdapat komen tentang pensyarah yang masih belum mahir dengan kaedah dan teknologi terkini dalam pembelajaran secara dalam talian ini juga memberi masalah dan cabaran kepada para pelajar. Pembelajaran dalam talian juga menyebabkan pelajar mudah hilang fokus kerana mereka tidak dapat melihat pensyarah mereka, dan pensyarah juga tidak nampak pelajar kerana kebanyakan pelajar sama ada tidak suka membuka kamera atau pun data yang tidak mencukupi menyebabkan mereka tidak boleh membuka kamera semasa kelas berlangsung. Kelas secara dalam talian juga dilihat pensyarah kurang mengenal pasti pelajar yang menghadapi masalah dalam subjek yang diajar. Pensyarah juga dikatakan kurang mengambil tahu tentang capaian Internet pelajar.
Cabaran-cabaran lain adalah pengurusan masa. Bila di rumah pelajar terpaksa membahagikan masa secara bijaksana antara seorang pelajar dan juga seorang anak. Ini berbeza jika belajar bersemuka di kampus mereka hanya fokus kepada diri mereka sebagai seorang pelajar. Tetapi dalam kes ini, pelajar mempunyai dua tanggungjawab iaitu untuk menguruskan pembelajaran dan pada masa yang sama melaksanakan kerja-kerja mereka sebagai seorang anak seperti membantu ibu bapa melakukan kerja-kerja rumah.
Pembelajaran secara dalam talian juga menyebabkan para pelajar tiada sokongan. Dalam hal ini, suasana pembelajaran tanpa kawan menjadi cabaran bagi pelajar yang jenis memerlukan sokongan daripada rakan sebaya. Sesi perbincangan secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan apatah lagi ini adalah salah satu cara berkesan untuk berbincang dan menyuarakan pandangan berbanding dengan pembelajaran secara dalam talian. Jadi, tugasan kumpulan kurang mencapai objektif yang diharapkan.
Secara umumnya, pembelajaran secara dalam talian menyebabkan pelajar mudah hilang fokus, kurang motivasi dan sistem sokongan serta tidak mendapat ilmu yang disampaikan secara maksima semasa dalam kelas. Oleh itu, semua pihak perlu maklum akan permasalahan dan cabaran yang dihadapi oleh para pelajar pada hari ini. Pembelajaran secara dalam talian memerlukan sokongan semua pihak bermula dengan pihak universiti, pensyarah, ibu bapa dan rakan sebaya. Semuanya memainkan peranan penting bagi memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam mendapatkan ilmu di era pandemik ini.
Penulis ialah pensyarah kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang (UMP).
e-mel: hasnah@ump.edu.my
- 4223 views