Skip to main content

Sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2025 selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG)

21 Februari 2025 menandakan sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa (HBIA), sebuah perayaan tahunan yang bertujuan untuk menghargai kepelbagaian bahasa dan budaya di seluruh dunia. Sambutan ini berakar daripada peristiwa di Bangladesh pada tahun 1952, di mana perjuangan mempertahankan penggunaan bahasa Benggali sebagai bahasa ibunda yang akhirnya membawa kepada pengiktirafan kepentingan bahasa dalam identiti dan warisan budaya.

Menghargai bahasa ibunda adalah tanggungjawab kolektif setiap penuturnya bagi memastikan kelangsungan dan keberdayaan warisan linguistik bagi generasi akan datang. Setiap individu perlu berperanan dalam memelihara dan mengembangkan bahasa ibunda mereka. Penggunaan bahasa ibunda dalam kehidupan seharian merupakan tindakan secara tidak langsung dalam memelihara dan mengekalkan kewujudan sesuatu bahasa ibunda. 

Di Malaysia, beberapa institusi turut menyambut Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa (HBIA) setiap tahun. Bagi tahun 2025, sambutannya telah diadakan di Kuala Lumpur dan Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) pada 21 Februari 2025. Acara itu disambut  meriah dengan pelbagai aktiviti menarik yang bukan sahaja memupuk semangat perpaduan, tetapi juga mengangkat kepelbagaian bahasa dan budaya. Pengerusi Jawatankuasa HBIA 2025, Ustaz Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor turut menegaskan bahawa betapa pentingnya bahasa ibunda dalam membentuk identiti dan memelihara keharmonian dalam masyarakat kita.

Selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4: Pendidikan Berkualiti, pemeliharaan dan pengukuhan bahasa ibunda dalam sistem pendidikan menyumbang kepada akses pendidikan yang lebih inklusif dan saksama. Pendidikan dalam bahasa ibunda terbukti dapat meningkatkan keberkesanan pembelajaran, memperkukuh pemahaman konsep asas, dan mengurangkan kadar keciciran dalam kalangan pelajar, khususnya bagi masyarakat minoriti dan luar bandar. Selain itu, inisiatif ini juga berkait rapat dengan SDG 10: Mengurangkan Ketidaksamaan, kerana pemerkasaan bahasa ibunda dapat memperkukuh hak budaya dan linguistik. Hal ini bagi memastikan bahawa semua kelompok masyarakat mempunyai peluang yang sama dalam pendidikan dan pembangunan sosial.
Selain aspek pendidikan, pemeliharaan bahasa ibunda turut menyokong SDG 16: Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Kukuh, kerana bahasa merupakan asas kepada perpaduan sosial, komunikasi efektif, dan keharmonian antara pelbagai kelompok etnik. Melalui penghargaan terhadap kepelbagaian linguistik, masyarakat dapat membina jati diri yang lebih kukuh dan mengukuhkan perpaduan dalam sesebuah negara. Keadaan ini jelas dapat dilihat di negara Malaysia sendiri bagaimana bahasa menjadi alat perpaduan dan komunikasi secara meluas.  Oleh itu, sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa bukan sekadar meraikan kepelbagaian bahasa, tetapi juga merupakan langkah penting dalam merealisasikan matlamat pembangunan yang mampan dan inklusif di peringkat global.

Manakala menurut Dekan Pusat Bahasa Moden (PBM), Profesor Madya Dr. Nik Aloesnita Nik Mohd Alwi pemerkasaan bahasa ibunda bukan sekadar soal linguistik tetapi juga asas kepada pembangunan intelektual dan identiti nasional. Sehubungan itu, PBM menawarkan pelbagai kursus bahasa yang memberi peluang kepada pelajar untuk mempelajari dan menguasai pelbagai bahasa, termasuk bahasa ibunda mereka. Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh kefahaman budaya tetapi juga menyokong pembangunan masyarakat yang berpengetahuan dan menguasai bahasa sebagai alat berkomunikasi. Selaras dengan SDG 4: Pendidikan Berkualiti, usaha ini akan memastikan akses pendidikan yang lebih holistik kepada para pelajar serta meningkatkan literasi pelbagai bahasa yang dikuasai oleh mereka. Penguasaan pelbagai bahasa ini akan menjadikan mereka mahasiswa yang kompeten dalam bidang pekerjaan kelak. 

Jamilah Bebe Mohamad
Jamilah Bebe Mohamad

Guru Bahasa, Pusat Bahasa Moden 
e-mel: jamilahbebe@umpsa.edu.my

Leong Hui Theng
Leong Hui Theng

Guru Bahasa, Pusat Bahasa Moden 
e-mel: leonghuitheng@umpsa.edu.my

Reports by:
Admin UMP News