Tanggungjawab Diri Dalam Era Kebocoran Data
Kedaulatan diri dalam belantara digital hari ini bukan sekadar persoalan teknokratik yang dilingkari kod komputer semata mata, malah ia merupakan manifestasi maruah insani yang paling dalam. Sejarah peradaban manusia telah lama mengajarkan bahawa rahsia dan privasi adalah benteng terakhir yang membezakan antara merdeka dengan perhambaan. Apabila kita menelusuri garis masa sosiologi masyarakat, maklumat peribadi dahulunya tersimpan rapi dalam lipatan adat dan adab yang dipanggil sebagai aib atau kehormatan diri. Namun, fajar modenisasi yang membawa bersama badai teknologi maklumat telah merobek selaput perlindungan tradisional tersebut, mendedahkan setiap urat nadi kehidupan rakyat kepada mata-mata rakus yang hanya melihat data sebagai komoditi dagangan. Fenomena kebocoran data yang melanda nusa kita kebelakangan ini sebenarnya mencerminkan satu krisis eksistensial yang besar, di mana sempadan antara ruang awam dengan ruang peribadi semakin menipis sehingga nyaris hilang sama sekali.
Secara falsafahnya, kewujudan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 atau Akta 709 bukanlah sekadar susunan teks perundangan yang kaku, tetapi ia merupakan satu kontrak sosial baharu dalam era pascamoden. Ia berfungsi sebagai payung hukum yang cuba memelihara hak individu daripada dicerobohi oleh kuasa korporat atau entiti yang tidak bertanggungjawab. Jika ditinjau dari sudut pandang agama, pemeliharaan data peribadi ini selari dengan konsep Maqasid Syariah, khususnya dalam konteks memelihara maruah dan harta benda. Islam sendiri sangat menitikberatkan soal izin dan amanah dalam setiap interaksi sosial. Apabila seseorang memuat naik maklumat tanpa berfikir panjang, mereka sebenarnya sedang mempertaruhkan amanah Tuhan terhadap tubuh dan identiti mereka kepada sistem yang tidak mempunyai jiwa. Kesedaran ini perlu meresap ke dalam sanubari setiap warganegara agar mereka tidak menjadi mangsa kepada kejahilan sendiri dalam menguruskan jejak digital yang ditinggalkan.
Sosiologi Melayu yang kaya dengan kiasan dan kearifan tempatan sentiasa mengingatkan kita agar berhati hati dalam berbicara mahupun bertindak, kerana sekali kata terucap, ia tidak akan kembali lagi. Prinsip ini sangat relevan apabila diaplikasikan dalam amalan muat naik dokumen di alam siber yang bersifat kekal. Budaya mendedahkan segala galanya demi mengejar pengiktirafan sosial telah melemahkan daya tahan masyarakat kita terhadap serangan siber. Keadaan ini bertambah parah apabila sains dan teknologi berkembang lebih pantas daripada kematangan akal budi penggunanya. Walaupun kita sering menyalahkan kelemahan sistem keselamatan institusi, hakikatnya individu adalah pemegang kunci utama kepada pintu masuk data mereka. Kebergantungan mutlak kepada pihak ketiga untuk menjaga keselamatan maklumat kita adalah satu kenaifan intelektual yang membahayakan masa depan negara.
Setiap warganet seharusnya menyedari bahawa setiap bait maklumat yang dilepaskan ke ruang terbuka merupakan satu pendedahan diri yang tidak boleh ditarik balik. Dalam konteks kemodenan, integriti data peribadi berkait rapat dengan kedaulatan identiti nasional. Apabila jutaan nombor kad pengenalan dan alamat rumah bertebaran di pasar gelap digital, ia bukan sekadar ancaman jenayah kewangan, tetapi satu penghinaan terhadap kedaulatan setiap nyawa yang diwakili oleh data tersebut. Oleh itu, langkah proaktif seperti membataskan perkongsian maklumat dan sentiasa menyemak niat serta tujuan setiap muat naik dokumen adalah manifestasi patriotisme moden. Kita tidak boleh lagi bersikap pasif dengan mengharapkan undang-undang semata mata untuk melindungi kita, sebaliknya kita perlu menjadi benteng pertahanan paling hadapan bagi melindungi privasi sendiri.
Transformasi budaya ini memerlukan anjakan paradigma daripada seorang pengguna yang konsumtif kepada seorang warganegara digital yang berintelektual dan berwaspada. Keupayaan untuk menapis, menyimpan, serta memadam maklumat secara bijaksana merupakan satu bentuk kemahiran hidup yang paling kritikal pada abad ini. Sejarah akan menilai kita bukan sahaja melalui pencapaian teknologi yang kita bina, tetapi melalui sejauh mana kita berjaya mempertahankan maruah kemanusiaan di tengah-tengah gelombang digital yang tidak menentu. Setiap individu mempunyai tanggungjawab moral untuk tidak membiarkan diri mereka menjadi titik terlemah dalam rantaian keselamatan negara. Akhir sekali, marilah kita menginsafi bahawa keselamatan data bukan sekadar isu teknikal, tetapi ia adalah perjuangan untuk mengekalkan hakikat kemanusiaan kita yang merdeka dalam sebuah dunia yang semakin dikawal oleh algoritma.

Oleh: MOHAMMAD BAIHAQI HASNI
E-mel: baihaqi@umpsa.edu.my
Penulis adalah Guru Bahasa Kanan, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 15 views